ABSTRAK

KESAN PENGAJARAN PENDEKATAN PROSES DAN PENDEKATAN TERKAWAL

DALAM PENULISAN KARANGAN TAHUN ENAM

Penyelidikan ini menjuruskan perhatian untuk melihat kesan pengajaran dua pendekatan penulisan karangan mata pelajaran Bahasa Melayu terhadap pelajar-pelajar tahun enam di sebuah sekolah kebangsaan. Pendekatan-pendekatan itu ialah Pendekatan Proses dan Pendekatan Terkawal. Kesan yang hendak diukur melalui penyelidikan ini ialah pencapaian para pelajar dalam aspek penulisan karangan pada peringkat sebelum dan selepas penyelidikan.

Seramai 128 orang pelajar tahun enam telah dipilih sebagai sampel. Pelajar-pelajar ini diagihkan kepada empat kumpulan. Dua kumpulan pencapaian tinggi dan dua kumpulan pencapaian rendah. Satu kumpulan pelajar berpencapaian tinggi diberikan rawatan Pendekatan Proses dan satu kumpulan lagi diberikan rawatan Pendekatan Terkawal. Dua kumpulan pelajar berpencapaian rendah diberikan juga rawatan Pendekatan Proses dan Pendekatan Terkawal.

Data-data penyelidikan didapati daripada dua peringkat ujian iaitu ujian prapenyelidikan dan ujian selepas penyelidikan. Data-data di analisis dengan menggunakan kaedah analisis kovarian dan ujian Scheffe.

Hasil daripada analisis data, menunjukkan pencapaian penulisan karangan seperti berikut:

a) Kedua-dua pendekatan mengajar iaitu Pendekatan Proses dan Pendekatan Terkawal berjaya meningkatkan kemajuan pelajar dalam penulisan karangan. Terdapat perbezaan yang signifikan pada paras P < 0.05 dalam ujian peringkat selepas penyelidikan. b) Pelajar kumpulan Pendekatan Proses menunjukkan kemajuan yang lebih baik daripada pelajar kumpulan Pendekatan Terkawal. Min Pendekatan Proses lebih tinggi daripada min Pendekatan Terkawal. c) Bagi kelompok pelajar kategori pencapaian tinggi dan rendah, kelompok pelajar di bawah Pendekatan Proses menunjukkan kemajuan yang lebih baik daripada kelompok pelajar yang didedahkan dengan Pendekatan Terkawal.