PADANG

Kota Tercinta

Rencana dan Foto oleh SINAGANAGA

untuk kolum Rakaman Pengembara Majalah Dewan Siswa edisi Mei 1998

Pengembara, kolek, pantai dan laut yang mengambil diri dan melimpahkan rezeki

KALAU Bukit Tinggi terkenal dengan jolokan nama Kota Wisata (Pelancongan), Padang pula dikenali dengan panggilan Kota Tercinta oleh masyarakat setempat. Rata -rata penduduk Padang berketurunan Minang dan beragama Islam. Padang, sebenarnya terletak di dalam jajahan Sumatera Barat di sebelah barat Kepulauan Sumatera, Indonesia. Dengan kedudukannya yang hampir dengan pinggir pantai, Selat Mentawai menjadi pemisah di antara Padang dengan Pulau Siberut, Pulau Sipo, Pulau Pagai Utara dan Pulau Pagai Selatan.

Sudah tiga hari kami berada di bumi Sumatera. Saya yang bertemankan seorang rakan, Not, memilih untuk memasuki Kepulauan Sumatera melalui pintu masuk di perlabuhan Dumai, Riau. Perjalanan kami ke Padang disertai Taufik, anak jati kelahiran Sumbar (Sumatera Barat) yang bertindak sebagai pemandu kenderaan merangkap pemandu pelancong. Saya memanggilnya, Tupik sahaja. Di sepanjang perjalanan anak muda berusia di awal 20-an inilah yang banyak memandu sambil mulutnya tidak berhenti-henti bercerita tentang objek-objek wisata yang kami temui.

Kenderaan pacuan empat roda adalah pilihan yang tepat jika memilih untuk menyusuri jalan darat di Kepulauan Sumatera kerana bentuk muka buminya yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang. Dengan sebahagian besar jalan raya yang berliku-liku dan sempit, kenderaan pacuan empat roda jenama 'Kijang' yang kami sewa dengan kadar Rp150,000.00 sehari dapat meloloskan dirinya dengan mudah. Tupik memang cermat dan cekap memandu. Di sepanjang perjalanan, pandangan mata kami dihiburkan dengan kehijauan dan lentuk-liuk anak-anak padi di sawah bendang yang diusahakan petani.

Semalam kami menginap di kawasan tanah tinggi Bukit Tinggi. Selepas sarapan 'seadanya' sahaja, kami segera bertolak ke Padang. Setiba di bandar Padang, kami terus dibawa bertemu Pak Shahrul, majikan Tupik dan tuan punya perusahaan kereta sewa dan pelancongan Citra Wisata Nusantara. "Nanti saya suruh Tupik bawa kamu 'putar-putar' dulu. Sore (petang), baru kembali ke sini lagi. Hal penginapan, biar saya yang uruskan. Mahu hotel yang berharga sekitar berapa rupiah?" Tanya lelaki hampir separuh abad yang masih kelihatan 'muda' itu. "Yang 'sedang-sedang' saja, pak", jawab saya, diiringi dekahan ketawa kami berempat. Memang terdapat pelbagai pilihan hotel untuk pelancong, dari yang bertaraf 5 bintang hinggalah kepada hotel-hotel murahan yang begitu sesuai untuk pengembara seperti kami di Padang.

Lantas kami 'putar-putar' di Panorama Ngarai Sianok kemudiannya. Dikhabarkan, dari atas cerun boleh dilihat panorama mengasyikkan jalinan petak-petak sawah di kawasan perkampungan di bawahnya. Tetapi malang, pandangan kami terhalang dengan keadaan berjerubu yang melanda sebahagian besar Indonesia ketika itu. "Kita ke lubang Jepang saja, pak!" Tupik mengajak kami melawat kesan tinggalan kubu tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang terletak beberapa meter sahaja dari kawasan cerun.

Setelah membayar sejumlah kecil rupiah, kami menuruni 128 anak tangga untuk sampai ke 'perut' kubu. Dengan 25 lorong yang dibina bersimpang-siur bagi menghubungkan di antara satu sama lain, kami tersesat seketika kerana kesemua lorong kelihatannya hampir serupa. Ada kalanya kami terpaksa merangkak kerana siling yang rendah daripada kedudukan lantai kubu. Suasana di dalamnya begitu sunyi. Mungkin kerana tidak banyak pengunjung yang datang pada hari itu. Ada di antara lorong-lorong itu berukuran hampir 10 meter luas. Kononnya di situlah tempat untuk panglima-panglima tentera Jepun berkumpul dan bermesyuarat. Dinding batunya dipahat ke dalam dengan jalur-jalur menegak bagi mengelakkan dari berlakunya kesan bergema.

Udara di dalam kubu begitu lembab dan sejuk. Hanya limpahan cahaya yang samar-samar daripada lampu-lampu kalimantang kecil membantu perjalanan kami hingga ke hujung kubu yang menempatkan dapur dan penjara tahanan perang. Di dinding sebelah atas dapur di bina lorong intipan yang hanya boleh memuatkan seorang tentera dalam posisi meniarap. Dari sini seseorang itu boleh melihat sebarang kemaraan musuh yang cuba untuk menawan kubu. Di penjuru dapur pula terdapat sebuah lubang yang menghala terus ke bawah cerun. Di sinilah dibuang segala sampah-sarap dari dapur. Dan kami diberitahu juga bahawa mayat-mayat turut dibuang melalui lubang ini.

Kami bertiga menemui kembali jalan keluar hasil bantuan dua orang anak kecil yang cukup biasa dengan keadaan lubang kubu itu. Saya menghulurkan Rp2000.00 sebagai tanda terima kasih. Dan sekali lagi kami terpaksa 'menapak' 128 anak tangga untuk sampai ke atas muka lubang kubu. Peluh terpercik di dahi masing-masing. "Capek (penat) pak?" Tanya Tupik yang juga kelihatan termengah-mengah. "Aman!" Jawab saya, yang tidak mahu mengaku kalah sambil menyembunyikan perasaan sebenar.

Kami ke Pantai Puti Gandoriah untuk makan tengah hari. Walaupun hari sudah menjelang petang. Hidangan 'nasi set' yang dibungkus dengan daun pisang berlaukkan sambal berlado, udang goreng, bergedel daging, rendang daging, dan gulai ayam masak lemak begitu menyelerakan apabila perut sudah terasa lapar benar. Sambal berlado yang teramat pedas itulah yang saya 'ulang-ulang' berkali-kali sehingga licin di piring. Not sendiri sudah menghabiskan tiga bungkus 'nasi set'. Saya membuka bungkusan 'nasi set' yang keempat. Lazat amat!!!

Selesai makan, saya bergambar di samping perahu-perahu kolek nelayan sambil menghirup udara segar di pantai. Anak-anak kecil sibuk bermain layang-layang. Fikiran saya merawang-rawang kenangan silam semasa kecil.

"Bapak tahu ngak tentang cerita lagenda Si Malim Kundang yang menderhaka terhadap ibunya?" Soalan Tupik memutuskan terus lamunan saya. "Ooo... kalau di Malaysia macam cerita Si Tengganglah agaknya tu...", sambut teman saya, Not. "Kesan sejarahnya masih ada di sini, pak", cerita Tupik lagi. Terpanggil dengan cerita-cerita Tupik, kami bergegas ke Pantai Air Manis untuk menilai sendiri kesahihan cerita Si Malim Kundang yang disumpah menjadi batu kerana menderhaka kepada ibunya itu.

Kenderaan pacuan empat roda kami membelok ke sebuah lorong kecil lalu memasuki ke sebuah perkampungan nelayan. Perjalanan kami terhenti apabila dihalang oleh beberapa orang pemuda tempatan. "Harus bayar tiket masuk dulu, pak!", arah Tupik. Saya mengeluarkan beberapa helai wang kertas rupiah dan menyerahkannya kepada Tupik. Kami meneruskan perjalanan dan akhirnya kenderaan kami menghampiri kawasan pantai yang berpasir agak kehitam-hitaman. Sekali lagi kami dihalang oleh beberapa orang pemuda dengan kartu tiket di tangan. "Aduh! Kok sudah dibayar tiket masuk harus membayar tiket parking segala nih?" Tupik merungut sambil mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal sedikit pun. Tanpa banyak soal-jawab Not pula menghulurkan beberapa keping wang kertas rupiah.

Memang terdapat runtuhan objek yang kelihatan seperti muara sebuah kapal di tepi pantai itu. Terdapat beberapa objek lain seperti longgokkan tali, bekas menyimpan air dan objek manusia yang sedang sujud di atasnya. Sukar hendak menilai dan mengagak sama ada objek-objek ini memang terkena sumpahan seperti yang tertera dalam metosnya, atau fenomena luluhan angin dan air laut, atau simen yang ditempa sedemikian rupa atau barangkali ukiran batu oleh orang zaman dahulu kala bagi mengenang cerita Si Malim Kundang untuk dijadikan teladan generasi akan datang.

"Inilah kononnya jasad Si Malim Kundang, pak. Dulu masih berkeadaan lengkap dan sempurna. Kini hampir musnah ditelan zaman", cerita Tupik bersungguh-sungguh. "Ermmm... kalau jasad Si Malim Kundang di sini, mayat ibunya ditanam di mana ya?" soal saya, mengusik. Lantas lucuan itu disambut dengan iringan dekahan ketawa Tupik dan Not.

Kami tinggalkan Si Malim Kundang yang masih sujud 'tidak sudah-sudah' itu lantas menuju ke Lembah Anai. Di pertengahan jalan kami singgah di Puncak Kiambang yang menjadi tapak cerapan popular untuk melihat panorama menarik kotak-kotak sawah yang terbentang luas sambil bersantai menikmati suasana tenang dan damai di sini.

Air Terjun Lembah Anai adalah satu lagi objek wisata yang sering dikunjungi pelancong jika singgah ke Padang. Saya menganggarkan bahawa air terjun itu setinggi 8 tingkat bangunan jika dihitung dari puncak hingga ke permukaan kolamnya. Percikan airnya sering membasahi muka saya yang berdiri kira-kira 10 meter di pinggir kolam. "Tidak ada orang mandi di sini, Tupik?" Tanya saya sambil bermain-main di gigi air. "Dalam benar, pak", jawab Tupik, pendek. Tupik berjalan terkial-kial di atas permukaan batu-batu licin untuk mencari sudut paling sesuai bagi mengambil gambar kenang-kenangan kami bersama-sama Air Terjun Lembah Anai. "Ini sahaja jarak yang paling jauh boleh saya pergi, pak! Itu pun tidak nampak keseluruhan air terjunnya", laungnya dari arah kolong di bawah jambatan. Suaranya berbaur dengan bunyi deras air terjun. "Kamu ambil gambar kami dan sebahagian bawah air terjun dahulu, kemudian ambil gambar di sebahagian atas pula. Nanti boleh disambung kedua-dua gambar itu". Sebenarnya cadangan saya itu langsung tidak boleh diterima pakai. Tetapi, Tupik tetap akur.

Sebelum pulang ke bandar Padang, kami singgah ke Taman Wisata Malibao Anai. Sungai berjeram dengan airnya yang sejuk dan jernih hampir membuat saya terlupa tentang temu janji kami bersama-sama Pak Shahrul. "Tupik! Kita pulang dulu yok!" ajak saya. 'Kijang' kami meluncur laju di jalan raya menuju ke bandar Padang.

Kerana sudah bosan dengan menu yang hampir serupa pada setiap hari, kami 'belanja' Tupik makan di restoran Keluarga Beng Selamat. Selesai makan kami 'putar-putar' sebentar di sekitar bandar Padang untuk menikmati keindahannya di sebelah malam. Malam itu kami tidur awal kerana harus meneruskan perjalanan ke destinasi yang lain pula keesokan hari. Dalam tidur saya bermimipi berjumpa seorang puteri di Danau Singkarak. Ehmm!

~ finish ~

BATU SANGKAR: Menjejaki Pusat Pemerintahan Kerajaan Minangkabau: Rencana oleh SINAGANAGA
RUMAH?: