MARI KITA TAMATKAN KEZALIMAN DR. MAHATHIR DAN KERAJAN BARISAN NASIONAL

Dewan Pemuda PAS Pusat mengingatkan kepada rakyat supaya tidak terpengaruh dengan propaganda Dr. Mahathir dan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang cuba menimbulkan perasaan takut kepada rakyat terhadap perubahan Kerajaan BN kepada sebuah kerajaan baru.

Dr. Mahathir dan BN membuat serangan propaganda melalui media massa kononnya rakyat akan menderita jika berlaku rusuhan sedangkan hakikatnya rakyat sudah lama menderita di bawah kerajaan BN dengan berbagai-bagai kezaliman dan ketidakadilan berlaku ke atas mereka, bahkan kezaliman dan ketidakadilan juga berlaku ke atas bekas orang nombor dua negara iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Hasil dari kezaliman dan ketidakadilan Dr. Mahathir dan kerajaan BN menyebabkan rakyat yang terdiri dari berbagai-bagai peringkat lapisan masyarakat sama ada golongan profesional, kakitangan kerajaan, swasta, peniaga, penganggur, mahasiswa sehingga pelajar-pelajar sekolah meluahkan perasaan mereka melalui perhimpunan-perhimpunan yang dilakukan secara aman. Rakyat sedar dan melihat sendiri bagaimana ketidakadilan berlaku dalam pengendalian kes Dato’ Seri Anwar yang jelas menunjukkan pengendalian kes tersebut membelakangkan prinsip undang-undang. Apabila rakyat menyaksikan keadilan undang-undang tidak dapat ditegakkan malah dicabuli akhirnya mereka perlu menyertai perhimpunan aman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Perhimpunan yang dilakukan secara aman ini yang kemudiannya menjadi tegang adalah akibat provokasi jahat polis, maka senanglah Dr. Mahathir dan kerajaan BN menuduh kononnya penunjuk perasaan ini bertindak ganas dan melakukan rusuhan. Sebaliknya jika tiada perhimpunan dibuat Dr. Mahathir akan mengatakan pembangkang dan Dato’ Seri Anwar sudah tidak mendapatkan sokongan dan simpati rakyat, tetapi bila rakyat membuat perhimpunan aman Dr. Mahathir mengatakan perhimpunan aman itu adalah rusuhan yang ganas. Realitinya Dr. Mahathir akan melakukan apa sahaja cara untuk melemahkan pergerakan rakyat seperti mana provokasi jahat polis kepada rakyat yang menyertai perhimpunan aman.

Hasil provokasi jahat polis, Dr. Mahathir melakukan serangan propaganda melalui media massa kononnya ada rusuhan ganas supaya rakyat takut membuat perubahan untuk menukar kepimpinan Dr. Mahathir dan Kerajaan BN. Rakyat patut melihat bahawa tunjuk perasaan ini adalah manifestasi kebencian mereka kepada Kerajaan BN, oleh itu mereka tidak perlu takut untuk menjatuhkan Dr. Mahathir dan Kerajaan BN. Jangan sampai hasrat rakyat untuk menukar kerajaan terbantut akibat kelicikan Dr. Mahathir mengeksploitasikan isu rusuhan ganas ini. Rakyat perlu ingat sekiranya mereka berjaya ditakutkan dan tidak membuat perubahan menjatuhkan Dr. Mahathir dan Kerajaan BN maka kezaliman dan ketidakadilan akan bertambah lagi hebat dan berleluasa.

Dewan Pemuda PAS Pusat menyeru kepada semua warga rakyat Malaysia supaya memberi kesedaran kepada setiap orang yang berada di sekeliling kita bermula dari keluarga, rakan, jiran dan masyarakat setempat tentang kepentingan membuat perubahan menukar kerajaan yang ada pada hari ini. Begitu juga ketua-ketua jabatan kerajaan, swasta, ketua kampung, para imam dan pemimpin masyarakat perlu menyedarkan orang di bawah mereka untuk melakukan perubahan. Warga kota seharusnya mengambil inisiatif mengirim berita bagi memastikan keluarga dan masyarakat di kampung menerima maklumat yang secukupnya. Dewan Pemuda PAS Pusat juga mengajak semua rakyat supaya membulatkan tekad dan azam untuk menamatkan kezaliman Dr. Mahahathir dan Kerajaan BN dengan menolak mereka dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

"BERTEKAD MENCAPAI KEMENANGAN"

"BANGKIT TOLAK BN"

 

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

20 April 1999 / 4 Muharam 1420