Tribunal Menyiasat Keganasan Polis

Melihat serta membaca pelbagai laporan, aduan dan rungutan orang ramai berhubung keganasan dan kezaliman Polis yang berlaku semenjak pemecatan DSAI, dan lebih-lebih lagi di akhir-akhir ini, saya rasakan sudah sampai masanya kita semua sebagai rakyat Malaysia bangun dan meminta kerajaan menubuhkan suatu tribunal penyiasatan yang bebas dan adil.

Tribunal Menyiasat Keganasan Polis (Tribunal) ini harus ditubuhkan dengan segera. Tribunal ini mesti sedia menerima sebarang laporan dan aduan berhubung sebarang keganasan Polis dan tidak terhad hanya kepada isu penyiksaan terhadap penyokong gerakan keadilan dan reformasi sahaja tetapi harus merangkumi lain-lain tahanan yang direman berhubung dengan pelbagai tuduhan.

Rakaman video dari pelbagai pihak mesti dikumpul sebagai bahan bukti siasatan. Terdapat juga timbunan koleksi gambar-gambar mangsa keganasan dengan pelbagai kecederaan dan lebam telah dirakamkan dan tersebar dengan meluas. Saya yakin terhadap kesahihan gambar-gambar dan rakaman-rakaman video yang diambil oleh berbagai lapisan rakyat termasuk mereka yang profesional dan disaksikan dengan mata kasar sendiri oleh puluhan ribu rakyat yang hadir dalam kesemua perhimpunan aman tersebut.

Saya sentiasa menitis air mata setiap kali menonton video atau VCD dokumentari "Laungan Reformasi" dan video selama 3 jam hasil kumpulan rakaman berita terbitan pelbagai agensi berita dan TV rantau ini termasuk dari Singapura, Australia, Indonesia dan beberapa lagi. Kesemua naskah video dan VCD tersebut boleh didapati secara meluas di serata pelusuk negara dan di seberang laut. (Bagi siapa yang belum menontonnya – adalah menjadi suatu kemestian untuk berbuat demikian bagi menghayati perjuangan menegak keadilan. Dan sebaik-baiknya setiap orang harus memiliki sendiri untuk disampaikan kepada saudara atau rakan lain yang belum menontonnya).

Seperti apa yang telah saya lakukan dalam "Analisis Rusuhan 14 April" (Rujuk antaranya laman berikut: https://members.tripod.com/~mahazalimtwo/144c.htm, http://members.xoom.com/r4mac/ 15 April) saya turut memainkan video (Laungan Reformasi dan Tape 3 Jam) tersebut dengan gerak perlahan serta menganalisis rakaman-rakaman yang telah dibuat. Kita akan dapat lihat keganasan-keganasan tersebut dilakukan dengan sengaja dan cara yang bersungguh oleh anggota-anggota polis berbagai pangkat dan bahagian.

Sebagai contoh, dalam suatu senario, seorang pemuda telah diheret oleh beberapa anggota preman. Sambil itu, datang seorang anggota preman yang lain berlari ke arah tahanan yang sedang diheret dan menumbuk ke dada tahanan tidak kurang dari dua kali.

Dalam suatu rakaman lain (dalam Tape 3 Jam sahaja), kita dapat lihat dengan terang dan jelas kejahatan dan busuk hatinya anggota-anggota Polis terutamanya SB. Ianya adalah rakaman di mana sekumpulan SB yang sedang berjalan di sekitar Jalan TAR kemudian dengan SENGAJA menolak beberapa buah motosikal yang terletak di tempat letak motosikal di tepi jalan. Motosikal-motosikal ini adalah kepunyaan orang awam, yang besar kemungkinan sedang membeli belah di Sogo atau di Pertama Kompleks dan bukannya mereka yang berdemonstrasi yang para SB kejar. Dan kalaupun ianya kepunyaan para penyokong gerakan keadilan, mengapa motosikal mereka yang menjadi mangsanya. Dan kalaupun ianya kepunyaan mereka yang berdemonstrasi mestikah motosikal-motosikal mereka dirosakkan?

Atau adakah ianya menjadi agenda Polis supaya dapat dituduh kepada "perusuh" yang bertindak "ganas" dengan merosakkan harta benda orang awam?

Rakaman di atas menguatkan cerita beberapa orang saksi yang melihat anggota-anggota polis menghumban ke dalam longkang beberapa buah motosikal yang di letak berdekatan dengan Stadium TPCA pada Okt 1998.

Jika motosikal-motosikal tersebut tidak diletakkan di tempat yang betul, bukanlah tugas Polis untuk merosakkannya. Tugas mereka hanyalah untuk mengeluarkan saman atau pun menyita kenderaan tersebut ke balai.

Yang saya katakan mereka dengan sengaja melakukan demikian ialah kerana kita dapat melihat dengan jelas bahawa kumpulan polis tersebut sedang berjalan dan telah pun beberapa langkah melepasi kawasan tempat motosikal di letak. Tetapi mereka berpatah balik hanya untuk menolak motosikal-motosikal tersebut dengan riak muka yang bersungguh-sungguh.

Berjalan bersama kumpulan Polis tersebut adalah beberapa orang asing (orang putih) yang saya agak mungkin wartawan asing. Ketika Polis SB tersebut sedang menumbangkan motosikal dilihat ada di antara wartawan tersebut menanyakan kepada anggota-anggota Polis tersebut. Dari riak gaya perbualan mereka, saya agak wartawan tersebut menanyakan mengapa Polis tersebut melakukan sedemikian. Soalan-soalan tersebut tidak diendahkan oleh SB-SB tersebut dan terus melakukannya dan meninggalkan motosikal dengan selerak di atas jalan.

Apakah maknanya semua ini?

Di dalam hampir semua rakaman menunjukkan apabila seseorang ditangkap, Polis akan berkerumun 4-5 orang (kadang-kala lebih) sambil memukul dan menendang tahanan BERTUBI-TUBI. Dalam keadaan tangan sudah terikat tahanan diketuk dengan belantang, dihentak dengan topi keledar dan ditendang dengan bersungguh. Mengapa saya gunakan perkataan bersungguh? Ianya adalah kerana jelas dan nyata bahawa para SB dan FRU ini memukul dan menganas dengan penuh niat ketika tahanan sudah tidak dapat bertindak apa-apa apatah lagi untuk membalas pukulan-pukulan tersebut. Malah di dalam semua rakaman tidak terdapat satupun aksi di mana penyokong menumbuk atau memukul Polis hanya setakat meronta untuk melepaskan diri jika ada dan kerana kesakitan.

Dalam keadaan digari dan diheret sambil di bawa oleh polis dengan kasar, kita dapat lihat polis-polis lain akan datang menumbuk, menendang dan menghentak lagi dengan cotar. Jelas ianya mengambarkan kebanyakan polis-polis tersebut melepaskan geram mereka.

Kita juga dapat melihat gambar-gambar mangsa kekejaman dan keganasan polis di dalam internet. Di antara yang terbaru adalah gambar-gambar menyayat hati apa yang berlaku pada 14 April. Gambar Mat Lazim dengan darah yang mengalir di muka. Gambar darah beku di dalam mata putih Tian Chua dan beberapa bengkak dan lebam lain. Gambar Malik Husin dalam ketika ditangkap terbongkok sujud ke tanah dipukul dengan kayu di kepala sambil nampak kaki seorang anggota polis yang memakai boot sedang menendang beliau.

Dalam satu klip (dalam "Laungan Reformasi") ketika kereta penyembur air sedang memancutkan air kepada mereka yang berhimpun di sekitar Istana Negara, dapat kedengaran dengan jelas kata-kata laungan "rasa kau, rasa kau, hoooi, rasa kau"

Dalam suatu lagi klip, kita dapat lihat seorang tahanan di hentak dengan topi keledar, ditumbuk dan kemudian dipukul dengan kayu dengan hayunan yang kuat ke atas kepala beliau dengan tidak kurang dari 3 kali. Rakaman ini dibuat di hadapan kedai KL Letrik Sdn Bhd. Wisma Datuk Dagang.

Seperti mana yang sedang dilakukan oleh Polis dan beberapa agensi kerajaan yang lain, kita harus juga mengumpul dan menyebarkan gambar-gambar dan rakaman video dan VCD yang pelbagai kepada orang ramai agar mereka yang hanya setakat ini bergantung dengan media kerajaan dapat melihat apa yang selama ini kerajaan menyekat dari sampai kepada mereka.

Pak Lah sebagai Menteri Dalam Negeri harus bertanggung jawab terhadap apa yang dilakukan oleh polis. Pak Lah tidak boleh menggunakan helah untuk "pass"kan kepada orang lain tanggung jawab yang diamanahkan kepadanya. Kita masih ingat laporan Suruhanraya Diraja menyiasat kecederaan DSAI turut membongkar bahawa kecederaan yang dialami DSAI adalah dengan niat untuk membunuh.

Wajarkah seluruh media kerajaan menayangkan kekejaman yang turut dilakukan oleh polis negara lain termasuk di Amerika? Adakah itu sebab atau alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka? Adakah ianya untuk mengalih pandangan rakyat?

Kesalahan tetap suatu kesalahan. Keganasan tetap suatu keganasan. Tidak kira siapa yang melakukan. Seorang anggota biasa polis atau Ketua Polis Negara, jika melakukan kesalahan tetap salah. Orang awam atau anggota polis yang melakukan kejahatan tetap salah. Seorang Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri yang dipertanggungjawabkan dengan tugas menjaga polis dan menjaga ketenteraman serta keselamatan rakyat harus memikul tugas tersebut dengan amanah kerana ianya akan dipersoalkan di Hari Kemudian.

Mereka boleh mengabui mata rakyat dengan pelbagai laporan yang dipesongkan dalam media. Mereka boleh membohongi rakyat dengan penubuhan perlagai badan siasatan. Tetapi segalanya telah dirakaman secara Mutlak oleh Mahkamah Allah. Tunggulah masanya. Seperti yang disebut oleh seorang wanita dalam rakaman "Laungan Reformasi" ketika dihalau oleh polis setelah dikejar menyatakan "tunggulah nanti – kita berjumpa di Akhirat!"

Penubuhan Tribunal Menyiasat Keganasan Polis mesti disegerakan. Tribunal ini mesti suatu badan bebas. Ianya mesti dianggotai oleh orang-orang yang dihormati dan mewakili rakyat.

 

Sekian,

Ibrahim Baba

Rabu, 21 April, 1999