Berita Harian
8 Disember, 1998

Tingkat potensi sebenar khazanah hutan negara

PENGURUSAN hutan mapan yang menjadi pegangan Malaysia berjaya memastikan 20 juta hektar atau 61 peratus daripada negara ini masih diliputi hutan hujan tropika, termasuk lima juta hektar yang menjadi hutan simpanan kekal.

 Bagi menjamin pengurusan hutan tidak dipandang remeh dan terabai, Dasar Hutan Kebangsaan diwujudkan pada 1978, disusuli dengan Akta Perhutanan Negara 1984.

 Sehingga kini, program pengurusan hutan mapan merangkumi 12.74 juta hektar manakala 1.16 juta hektar dijadikan taman negara, perlindungan hidupan liar dan hutan simpanan.

 Pada masa yang sama, 6.2 juta hektar dikhaskan bagi tujuan pembangunan ekonomi negara dan sebarang kaedah pembalakan diharamkan sama sekali dalam kawasan yang diwartakan itu.

 Dalam pengurusan seumpama itu, pembalakan di kawasan yang dibenarkan perlu menepati syarat tertentu iaitu hanya antara tujuh hingga 12 pokok yang ditebang daripada 500 pokok dalam setiap kawasan satu hektar.

 Pokok yang ditebang pula perlu melebihi diameter 45 sentimeter dan pemilihan pokok dibuat supaya anak-anak pokok baru berpeluang mendapat cahaya yang mencukupi untuk membesar selain mewajibkan penanaman semula.

 Pengurusan teratur itu membolehkan 1.65 hektar hutan balak yang ditebang kini ditanam semula, termasuk 64 kawasan sebagai hutan rekreasi, 90,000 hektar penanaman balak komersil, 24,155 hektar tanaman rotan dan 1,516 hektar pokok buah-buahan.

 Kerajaan turut menyediakan peruntukan RM335.7 juta untuk pelbagai projek tanaman semula hutan selain menggalakkan penanaman pohon hutan di kawasan bandar dan kampung sebagai sumber ekonomi tambahan jangka panjang.

 Pendekatan itu dijangka dapat meningkatkan kesedaran masyarakat umum mengenai flora dan fauna supaya khazanah negara dapat dihargai dan diberi perlindungan yang sewajarnya.

 Mengikut kajian Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), hutan tropika negara dihuni 15,000 spesies tumbuhan berbunga, 300 spesies mamalia, 700 spesies burung, 300 spesies reptilia, 165 spesies amfibia, 300 spesies ikan air tawar dan berjuta-juta spesies serangga.

 Hutan juga mempunyai pelbagai sumber ekonomi selain balak seperti getah, damar, steroid, rotan, buluh, rempah, minyak serta pewarna yang menjadi bahan asas menghasilkan pelbagai barangan.

 Antara barangan yang dibuat menggunakan hasil hutan termasuk kopi, pelekat, bola golf, gula-gula getah, ubat gigi dan alat solek manakala masih banyak lagi khazanah hutan pelbagai guna yang belum disedari manusia.

 Lantaran itu, hutan tidak harus dianggap sebagai gedung pembekal balak saja tetapi lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dilakukan bagi menyedari potensi ekonomi sebenar hutan tempatan.

 Sebagai contoh, eksport rotan dari Indonesia kini melebihi RM342 juta setahun manakala setiap tiga meter persegi tanaman pokok ipil-ipil mampu menghasilkan bahan api menyamai satu juta tong minyak setahun.

 Malah, hampir 90 peratus tanaman makanan dan bijirin utama dunia yang kini diusahakan secara komersil seperti kopi, gula, pisang, limau, padi, jagung serta koko berasal dari hutan dan hampir 1,600 spesies tumbuhan liar sudah dikenal pasti berpotensi dijadikan makanan manusia.

 Selain menjadi sumber makanan, pelbagai jenis ubat dan bahan industri turut dihasilkan daripada sumber hutan. Hampir 25 peratus daripada bahan perubatan di Amerika Syarikat adalah hasil daripada hutan hujan tropika.

 Institut Barah Kebangsaan Amerika Syarikat mengesahkan bahawa 75 peratus daripada sumber tumbuhan yang dikenal pasti dapat menyembuhkan barah hidup di hutan hujan tropika dan kajian menyeluruh mengenainya belum disempurnakan.

 Hutan tempatan juga menjadi habitat tongkat ali (Eurycoma longifolia), tumbuhan dan jika dikomersilkan ia mampu memberi saingan yang setara kepada Viagra tanpa sebarang kesan sampingan yang berbahaya.

 Khasiat pokok kuinin yang diguna dalam perubatan pesakit malaria tidak asing lagi di rantau Asia dan kemungkinan bahan mengubati barah atau Aids masih terpendam di hutan tempatan adalah tinggi dan wajar diterokai.

 Mengikut kajian Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (Frim), tongkat ali sudah lama digunakan dalam perubatan tradisional Melayu untuk mengubati tekanan darah tinggi, kencing manis, penyakit angin serta memanaskan badan.

 Namun khasiat yang sering diperkatakan dan mempunyai nilai komersil tinggi ialah kebolehannya mengubati penyakit kebatinan meskipun sejauh mana kebenarannya itu belum terbukti.

 Kedah adalah antara negeri yang memproses ubatan daripada tongkat ali dan dianggarkan nilai ekonomi akar serta batang tongkat ali di Kedah adalah antara RM332,100 hingga RM8.3 juta setahun bergantung kepada kaedah jualan.

 Namun, pengambilan berlebihan dan kegagalan menanam semula mungkin akan mengakibatkan spesies itu pupus berikutan peningkatan permintaan serta harga pasaran tongkat ali yang naik secara mendadak kebelakangan ini.

 Sejak kehadiran El Nino dan La Nina, masyarakat lebih menyedari kepentingan mengekalkan tumbuhan hutan sebagai pelindung kepada kesan cuaca terhadap alam sekitar, terutama sebagai pengawal suhu persekitaran.

 Amalan penebangan tidak terkawal dan pembakaran terbuka di hutan hujan tropika dikenal pasti sebagai faktor utama menyebabkan peningkatan suhu secara mendadak yang dilebih dikenali sebagai kesan rumah hijau.

 Pembakaran terbuka akan menyebabkan pelepasan karbon dioksida serta gas methane yang menyerap kesan radiasi dan membentuk lapisan pengeluar haba dengan membebaskannya ke dalam atmosfera bumi.

 Mengikut kajian, kesan daripada penebangan hutan menyebabkan pelepasan antara lima hingga 10 bilion tan karbon dioksida ke atmosfera setiap tahun, termasuk antara tiga hingga enam bilion tan dari hutan hujan tropika.

 Secara keseluruhan, hampir separuh daripada kesan peningkatan suhu global berpunca akibat penebangan hutan, justeru penanaman semula hutan perlu sejajar dengan penebangan bagi mengurangkan kesan terbabit.

 Tumbuhan menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen dalam proses fotosintesis dan secara tidak langsung ketepuan karbon dioksida atmosfera menurun, sekali gus kesan pemanasan global akan turut berkurangan.

 Lantaran itu, kepelbagaian biologi hutan wajar diberi keutamaan sebagai pembekal sumber pendapatan yang berterusan tanpa mengehadkan anggaran berdasarkan nilai hutan hujan tropika dari segi pembalakan semata-mata.

 Jika digabungkan, pendapatan jangka panjang daripada pelancongan, perubatan, flora dan fauna dari hutan jauh lebih tinggi berbanding hasil sumber pembalakan yang terhad bekalan walaupun pulangan jangka pendeknya lumayan.

 Menurut pakar perunding ekologi, Dr Zainuddin Dahaban, yang memenangi pingat emas Persatuan Pencinta Alam/Tan Teck Guan 1998 untuk tesis bertajuk, 'Kesan Pembalakan Terurus ke atas Hidupan Liar Hutan Diteroka Bukit di Sarawak', masih banyak isu membabitkan sektor perhutanan tempatan yang belum dikaji.

 "Sepanjang tempoh kajian selama tiga tahun, pemantauan dilakukan terhadap tabiat dan habitat hidupan liar di kawasan hutan sebelum, ketika dan selepas pembalakan dilakukan.

 "Saat paling menyedihkan bagi saya ialah ketika mendapati pohon yang menjadi habitat pelbagai spesies monyet dan unggas hilang dalam sekelip mata selepas tumbuh subur tanpa gangguan selama hampir 80 tahun.

 "Masyarakat hanya menilai hutan mengikut bekalan balak saja kerana harga tinggi di pasaran dunia, tetapi tidak menyedari ada hasil hutan yang jauh lebih berharga.

 "Selain itu, hutan tempatan juga menjadi habitat beberapa spesies endemik yang mungkin pupus sama sekali jika kajian terperinci serta usaha penanaman semula atau pembiakan flora dan fauna terbabit tidak dilakukan," katanya yang menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Kebangsaan Malaysia untuk tesis terbabit.

 Sementara itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mengadakan bengkel bertajuk, 'Ekonomi Perhutanan dan Polisi: R&D Ke arah Mencapai Pengurusan Hutan Mapan', baru-baru ini bagi mengupas potensi serta nilai sebenar hasil hutan selain balak.

 Kertas kerja yang disediakan oleh Awang Noor Abd Ghani, Rusli Mohd, Shukri Mohamed, Faridah Hanum dan Mohamed Zakaria Hussin dari Fakulti Perhutanan UPM serta Mohd Shahwahid Othman dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM memberikan anggaran terperinci nilai hasil hutan berkenaan.

 Sebagai contoh, hasil petai (Parkia speciosa) dan durian liar menghasilkan RM42,461 setahun manakala hasil bukan kayu dari hutan simpanan Pasoh, termasuk tongkat ali, gaharu (Aqualaria malaccensis) dan kayu manis (Cinnamomum mollissimum), dianggarkan RM44,591 setahun.

 Simpanan karbon semula jadi dalam hutan tempatan pula dianggarkan sekitar RM500 juta pada tahun 1989 iaitu pengurangan sebanyak RM300 juta berbanding simpanan tahun 1971 akibat pembalakan secara besar-besaran.

 Pendapatan purata tahunan negara menerusi eksport perabot rotan berjumlah RM107.9 juta dengan kutipan royalti tahunan bagi mengumpul rotan pula mencecah RM156,064.

 Buluh turut menjadi komoditi utama perusahaan membuat kayu penyepit, colok serta perabot dengan anggaran nilai ekonomi tahunan sebanyak RM178,274, tidak termasuk nilai komersil 82.2 juta rumpun buluh yang tumbuh subur di dalam kawasan hutan simpanan tetap.

 Selain hasil tumbuhan dan hidupan liar dari segi komersil, hutan juga menjadi sumber makanan kepada masyarakat orang Asli selain pelbagai kegunaan perubatan yang masih dipertikaikan oleh pengamal perubatan moden.

 Dari segi nilai ekonomi dalam bentuk daging pula, untuk tempoh setahun bagi Sabah dan Sarawak, sumbangan daripada bangau putih ialah RM246,000 seekor manakala nilai komersil beruk ekor panjang ialah RM1,650 seekor.

 Rusa sambar pula adalah antara haiwan yang mempunyai nilai ekonomi tahunan tertinggi iaitu sejumlah RM530,400 di Sabah dan RM24,852,555 di Sarawak manakala nilai tahunan untuk babi hutan di Sarawak ialah RM3,335,332.

 Sarang burung layang-layang yang menjadi makanan kegemaran masyarakat Cina membawa pendapatan RM6.75 juta setahun untuk kerajaan Sarawak dan RM6 juta bagi kerajaan Sabah.

 Banyak juga hasil anggota binatang yang diburu dan didagangkan secara haram seperti alat kelamin pelbagai haiwan, kulit penyu, hempedu beruang matahari, tanduk rusa dan lain-lain.

 Pulangan yang lumayan dalam perniagaan anggota haiwan liar serta permintaan tinggi terhadapnya menggalakkan aktiviti pemburu haram yang lazimnya menjadi pembekal kepada tabib Cina tempatan dan luar negara.

 Sebagai contoh, seekor gajah dianggarkan bernilai RM224,000 dan kebanyakan anggota haiwan dijual mengikut gram untuk pelbagai kegunaan perubatan dan harganya pula adalah tinggi.

 Namun, amalan itu wajar dibanteras dengan meningkatkan penguatkuasaan dan sebagai alternatif, khazanah semulajadi rimba ini wajar dipulihara serta dieksploitasi sebagai tarikan sektor pelancongan negara.

 Pada hakikatnya, cara pengurusan hutan serta pemuliharaan koleksi fauna serta flora tempatan wajar dikaji semula dan strategi lebih mantap perlu dirumus bagi memastikan pendapatan maksimum dari hutan tanpa menjejaskan kepelbagaian biologi asal hutan negara.

 Ternyata hasil hutan selain daripada balak jauh melebihi pulangan sektor pembalakan sendiri dan budi bicara kita dalam menguruskan pengambilan khazanah rimba yang berharga akan menentukan masa depan belantara tempatan.

 Hutan hujan tropika menghijau dengan pelbagai sumber semula jadi atau tanah landai yang gondol tanpa sebarang kehidupan? Tepuk dada, tanya selera.