DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR

(BAHAGIAN JENAYAH)

PERMOHONAN JENAYAH NO.           TAHUN 1998

Dalam perkara Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan;

Dan

Dalam perkara satu permohonan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk arahan-arahan di dalam hal Habeas Corpus di bawah Bab XXXVI Kanun Acara Jenayah 1965;

Dan

Dalam perkara seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82)

Antara

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM … Pemohon

Dan

KETUA POLIS NEGARA …           Responden

AFIDAVIT

Saya, DR. WAN AZIZAH BT. WAN ISMAIL (No. KP 8106005), seorang warganegara Malaysia yang cukup umur, seorang doktor perubatan, kini beralamat di No. 8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara, 50490 Kuala Lumpur, sesungguhnya berikrar dan mengatakan seperti berikut:-

1. Saya ialah isteri Pemohon (kemudian daripada ini dirujuk sebagai "Anwar") di sini.

2. Saya membuat Afidavit ini bagi pihak Anwar mengikut seksyen 367 Kanun Acara Jenayah 1965 atas alasan berikut. Semenjak tangkapan beliau pada 20.9.98 dan tahanan yang menyusul, di tempat atau tempat-tempat yang tidak diketahui, saya atau peguam-peguamnya hanya telah mendapat akses kepadanya bagi jangkamasa-jangkamasa yang begitu singkat pada 29.9.1998, 30.9.1998 dan 5.10.1998. Tarikh-tarikh pertama dan kedua adalah tarikh-tarikh bilamana Anwar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya masing-masing, untuk didakwa dengan kesalahan-kesalahan di bawah Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat, 1970 dan di bawah Kanun Keseksaan. Tarikh ketiga yang dinyatakan adalah tarikh bilamana Anwar dihadapkan ke Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) di Kuala Lumpur, yakni Mahkamah kepada mana kes-kes ini telah dipindahkan mengikut seksyen 418A Kanun Acara Jenayah. Oleh itu, peguam-Peguam Anwar belum lagi mempunyai kesempatan untuk berbincang sepenuhnya dengan Anwar bagi tujuan mendapatkan arahan-arahan darinya dan bagi membolehkannya mengikrarkan suatu afidavit (atau afidavit-afidavit) sebagai menyokong permohonan ini. Selanjutnya, dan yang paling penting, adalah hakikat bahawa memandangkan Anwar telah dan terus ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960, di tempat atau tempat-tempat yang tidak diketahui, adalah sukar untuk mendapat akses kepada beliau bagi tujuan yang dinyatakan.

3. Kecuali sekiranya dinyatakan sebaliknya, segala fakta-fakta dan perkara-perkara yang dinyatakan di sini adalah berdasarkan pengetahuan peribadi saya, dan adalah benar. Memandangkan saya membuat afidavit ini di bawah tekanan masa, saya mengekalkan hak untuk memfailkan afidavit-afidavit selanjutnya sebagai menyokong permohonan ini supaya dapat saya mengenengahkan fakta-fakta atau dokumen-dokumen lain atau selanjutnya.

4. Pada 20.9.98, Anwar telah ditangkap, dan semenjak dari itu beliau telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960.

5. Anwar tidak pernah dihadapkan ke Majistret di dalam tempoh 24 jam daripada masa beliau ditangkap, atau pada bila-bila masa, kecuali dan melainkan bahawa pada 29.9.1998, 30.9.1998 dan 5.10.1998 beliau telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) di Kuala Lumpur masing-masing. Saya telah dinasihatkan oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa ini adalah bertentangan dengan peruntukan-peruntukan Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.

Peristiwa-Peristiwa yang berlaku sehingga Penangkapan Anwar

6. Pada 2.9.1998, Anwar, yakni bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, telah dipecat secara terus ("summarily") daripada jawatan-jawatan tersebut yang telah dijawatnya di dalam Kerajaan.

7. Pada hari berikutnya, 3.9.1998, di dalam prosiding di Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) yang tiada hubungkait sama sekali dengan Anwar, iaitu suatu permohonan oleh seorang Dato' S. Nallakaruppan, empat afidavit telah difailkan oleh pendakwa raya. Afidavit-afidavit tersebut adalah afidavit-afidavit ACP Ramasamy a/l Veerapan, Ketua Pengarah Penjara, SAC II Musa Hassan dan Peguam Negara. Afidavit-afidavit tersebut telah diikrarkan sebagai jawapan kepada permohonan oleh Dato' S. Nallakaruppan, yang pada ketika itu ditahan di Bukit Aman atas dakwaan kesalahan-kesalahan di bawah seksyen 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 (yang memperuntukkan hukuman mati mandatori) untuk suatu perintah supaya beliau (Dato' S. Nallakaruppan) dipindahkan dari Bukit Aman dan dihantar kembali ke Penjara Sungai Buloh. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit-eksibit bertanda "WAWI-1", "WAWI-2", "WAWI-3" dan "WAWI-4" masing-masing salinan-salinan transkrip afidavit-afidavit ini sepertimana muncul di dalam "The Star" bertarikh 4.9.98. Afidavit SAC II Musa Hassan (eksibit "WAWI-3") mengandungi pengataan-pengataan terhadap Anwar antara lain mengenai kegiatan tak bermoral, penderhakaan dan rasuah.

8. Anwar telah pada segala masa menafikan sekeras-kerasnya pengataan-pengataan dan mendakwa bahawa terdapatnya suatu konspirasi politik di peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya dari jawatan-jawatan yang dipegang. Anwar sebenarnya telah menyedari sejak setahun yang lalu kewujudan suatu konspirasi sebegini di kalangan ahli-ahli politik kanan. Konspirasi itu semakin memuncak sejurus sebelum Perhimpunan Agung UMNO dalam bulan Jun tahun ini. Anwar telah memulakan suatu guaman sivil di Bahagian Sivil Mahkamah yang Mulia ini pada 17.6.1998 terhadap penulis dan penerbit sebuah buku bertajuk "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM" (kemudian daripada ini dirujuk sebagai "Buku tersebut") bagi tort fitnah dan tort kospirasi. Sebagai langkah interim, Anwar telah memohon dan mendapat injunksi-injunksi termasuklah pada 31.7.1998, satu injunksi interlokutori inter-partes terhadap penulis, penerbit dan seorang lagi menghalang antara lain penerbitan dan pengedaran Buku tersebut dan pengulangan dan penerbitan semula fitnah-fitnah dahsyat yang terkandung di dalamnya. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-5" sesalinan perintah injunksi interlokutori tersebut.

9. Meksipun demikian, Anwar telah dipecat secara terus ("summarily") daripada jawatan-jawatan awamnya pada 2.9.1998, dan di dalam suatu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UMNO yang diadakan pada malam 3.9.1998, Anwar, yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden UMNO yang telah terpilih, telah dibuang sebagai ahli parti itu dan dipecat sebagai Timbalan Presiden. Pada masa yang material, alasan yang diberi bagi pemecatan-pemecatan Anwar adalah bahawa beliau bersalah melakukan perbuatan-perbuatan yang tak bermoral, yang merupakan satu daripada pengataan-pengataan dalam afidavit SAC II Musa Hassan yang dirujuk di dalam perenggan 7 di atas.

10. Media massa tempatan telah pada 3.9.1998 dan 4.9.1998 menerbitkan secara verbatim keempat-empat afidavit tersebut menerusi media elektronik, penyiaran dan media cetak. Saya mohon izin untuk merujuk kepada eksibit-eksibit bertanda "WAWI-1", "WAWI-2", "WAWI-3" dan "WAWI-4" masing-masing. Afidavit Dato' S. Nallakaruppan yang menyokong permohonannya seperti yang dirujuk di dalam perenggan 7 di sini, kepada mana afidavit-afidavit tersebut difailkan sebagai jawapan, tidak pula diterbitkan. Sebenarnya, pada 3.9.1998 telah terbit suatu edisi khas akhbar "The Malay Mail", yang menghuraikan kandungan-kandungan afidavit-afidavit tersebut. Edisi khas "The Malay Mail" itu telah diedarkan dan dijual kepada umum di awal petang hari berkenaan. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-6" sesalinan halaman hadapan dan halaman-halaman berikutnya akhbar "The Malay Mail" edisi khas. Saya telah dimaklumkan oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa penerbitan dan pengedaran edisi khas "The Malay Mail" ini berlaku sebelum selesainya prosiding di Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) yang berhubungkait. Saya telah dinasihati oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa perbuatan sedemikian belum pernah terjadi sebelum ini, luar aturan dan janggal.

11. Saya telah dimaklumkan oleh peguamcara saya bahawa Majlis Peguam, sehubungan dengan perkara ini, telah mengeluarkan suatu kenyataan akhbar di mana ia menyuarakan rasa bimbangnya yang amat mendalam ke atas perkara ini. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini bersesama sebagai eksibit bertanda "WAWI-7" sesalinan kenyataan akhbar tersebut dan sesalinan laporan akhbar mengenainya yang muncul di dalam " The Star" bertarikh 9.9.1998. Antara lain, Majlis Peguam telah mengenengahkan hakikat bahawa peguam mewakili Dato' S. Nallakaruppan telah memohon kepada Mahkamah antara lain untuk membuang beberapa perenggan-perenggan tertentu di dalam afidavit yang diikrarkan oleh SAC II Musa Hassan (eksibit "WAWI-3"). Walau bagaimanapun sebelum hujahan-hujahan sepenuhnya didengar dan keputusan dibuat oleh Yang Arif Hakim terhadap permohonan tersebut, afidavit-afidavit tersebut telah diterbitkan in extenso menerusi media massa. Majlis Peguam selanjutnya berpandangan bahawa penerbitan afidavit, yang saya faham merujuk kepada afidavit SAC II Musa Hassan (eksibit "WAWI-3"), yang mengandungi pengataan-pengataan serius terhadap suatu pihak ketiga, di dalam hal ini Anwar, yang bukan merupakan suatu pihak di dalam prosiding berkenaan dan tidak berada dalam kedudukan untuk didengar, adalah suatu pelanggaran peraturan-peraturan kesaksamaan dan keadilan asasi.

12. Semenjak dari itu, media massa tempatan telah terus menerbitkan dengan begitu meluas kenyataan-kenyataan yang tidak tersokong di sisi undang-undang, yang dipetik dari Perdana Menteri, beberapa Menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin UMNO, yang memfitnah Anwar tanpa memberi tahap laporan yang serupa kepada jawapan-jawapan dari Anwar serta penafian-penafian kerasnya terhadap pengataan-pengataan itu.

13. Walau bagaimanapun dan walaupun adanya serangan berterusan dari media tempatan terhadap Anwar, tidak ada apa-apa pertuduhan dikemukakan terhadapnya berhubungkait dengan pengataan-pengataan itu sehingga 29.9.1998 dan 30.9.1998. Pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan pada tarikh-tarikh tersebut sama sekali tidak berhubungkait dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960. Pada 22.9.1998 Perdana Menteri di suatu sidang akhbar yang panjang yang telah diberi liputan yang meluas oleh media massa tempatan, telah membuat kenyataan-kenyataan mengenai Anwar, yang telah disiarkan menerusi televisyen dan ditonton dan didengar oleh saya, yang bersifat keji, mengaibkan dan tidak tersokong di sisi undang-undang. Memandangkan sifat keji dan aib kenyataan-kenyataan tersebut, saya merasa jijik untuk menghuraikannya di dalam kandungan afidavit ini dan memohon izin Makhkamah Mulia ini untuk merujuk kepada satu daripada laporan akhbar di mana kenyataan-kenyataan yang dimaksudkan itu dihuraikan. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini bersesama sebagai eksibit bertanda "WAWI-8" beberapa keratan daripada sidang akhbar tersebut yang dilaporkan di dalam akhbar "The Sun" bertarikh 23.9.1998 Pada 25.9.1998 Perdana Menteri sekali lagi membuat kenyataan mengenai Anwar yang bersifat keji dan mengaibkan dan tidak tersokong di sisi undang-undang. Perdana Menteri telah dilaporkan berkata, merujuk kepada Anwar, bahawa beliau tidak mahu seorang pemimpin yang tidak bermoral untuk mengambil alih darinya. Beliau menambah bahawa sekiranya kita mempunyai pemimpin sebegitu, Malaysia mungkin akan hilang kemerdekaannya. Perdana Menteri juga mengatakan bahawa Anwar tidak layak untuk memimpin negara ini dan bahawa beliau boleh terdedah kepada berbagai godaan dari orang-orang asing bagi memuaskan nafsunya (Anwar), dan mereka dengan itu akan menguasainya. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-9" sesalinan laporan berkenaan di dalam "The Sun" bertarikh 26.9.98.

14. Walaupun sedemikian dan meskipun terdapatnya jaminan-jaminan berterusan daripada Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara (kemudian daripada ini dirujuk sebagai "KPN") bahawa kononnya terdapat bukit-bukti yang cukup dan konklusif untuk Anwar dituduh di dalam Mahkamah untuk beberapa kesalahan-kesalahan yang dikatakan, tidak ada sebarang pertuduhan sedemikian yang dikemukakan terhadap Anwar sehinggalah 29.9.1998 dan 30.9.1998, iaitu 9 hari selepas beliau ditangkap. Di dalam tempoh itu, Perdana Menteri, beberapa Menteri di dalam Kabinet dan pemimpin-pemimpin UMNO memperhebatkan lagi kecaman terhadap Anwar. Oleh kerana Anwar ditahan, beliau dinafikan kesempatan untuk membela dirinya terhadap pengataan-pengataan dan kecaman-kecaman itu. Ini jelas menunjukkan mala fides di pihak KPN dan semua pihak-pihak berkenaan.

Penangkapan Anwar

15. Pada hari Ahad, 20.9.98, lebih kurang jam 9.15 malam, Anwar dan saya berada di dalam suatu sidang akhbar yang diadakan di ruang tamu rumah kami. Tiba-tiba sekurang-kurangnya 30 orang termasuk anggota, kemungkinannya dari Unit Tindakan Khas (kemudian daripada ini dirujuk sebagai "UTK") yang memakai balaclava dan mengacukan senjata-senjata automatis, berserta anggota polis berseragam dan berpakaian biasa yang bersenjata, memecah masuk rumah kami. Mereka merempuh menerusi pintu hadapan, tingkap hadapan dan pintu kaca bergelungsur yang terletak di ruang tamu dan di dalam berbuat demikian mereka telah memecahkan satu pintu dan memecahkan pintu kaca bergelungsur itu. Ini dilakukan walaupun terdapatnya jalan menerusi pintu-pintu lain yang pada masa material, terbuka. Mereka menghampiri kami dari arah belakang. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-10" suatu gambar akhbar yang muncul di dalam "The Star" bertarikh 21.9.1998 yang menunjukkan beberapa daripada anggota-anggota UTK yang telah memecah masuk ke dalam rumah kami pada 29.9.1998. [Saya kemudiannya mendapat tahu bahawa pada masa penangkapan Anwar, lebih dari 200 anggota polis mengawal di sekitar kawasan di mana terletaknya rumah kami dan telah menyekat semua jalan yang menuju ke rumah kami.]

16. Saya dan Anwar telah dibawa ke suatu sudut ruang tamu itu di mana beberapa anggota daripada pasukan serbuan telah mengelilingi kami dan memintas kami daripada ahli-ahli keluarga yang lain dan mereka yang hadir di situ.

17. Di dalam keadaan panik yang berlaku, Anwar berusaha untuk meredakan keadaan dan menenangkan hadirin termasuk ahli-ahli keluarga dan pemberita-pemberita yang berada di situ dan meminta agar mereka sabar dan membenarkan beliau mengawal keadaan.

18. Ketua pasukan serbuan itu memperkenalkan dirinya kepada saya dan Anwar dan mengatakan bahawa mereka datang untuk menangkap Anwar. Pada masa itu, sebab-sebab tangkapan tidak diberitahu. Anwar kemudiannya memaklumkan ketua pasukan serbuan itu bahawa peguamcaranya telahpun sebelum itu mengirimkan surat kepada Peguam Negara (salinan kembar kepada Ketua Polis Negara) pada 11.9.1998 memaklumkan mereka bahawa sekiranya tangkapan akan dibuat, beliau (Anwar) akan memberi kerjasama sepenuhnya dan menghadapkan dirinya secara aman bilamana diminta berbuat demikian. Di dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara telahpun menjawab di dalam sepucuk surat bertarikh 12.9.1998 yang menyatakan bahawa Peguam Negara telah maklum kandungan surat (11.9.1998) tersebut. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan bersesama di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-11" sesalinan surat-surat tersebut. Sebagai jawapan, Anwar diberitahu bahawa pasukan serbuan itu hanya bertindak atas arahan-arahan dari pihak atasan mereka.

19. Anwar kemudiannya meminta supaya ditunjukkan Waran Tangkapan yang dikeluarkan terhadapnya. Beliau dimaklumkan bahawa tidak ada Waran Tangkapan. Anwar memberitahu ketua pasukan serbuan itu bahawa caralaku dan tindak-tanduk mereka sungguh tidak bersesuaian dengan kedudukan mereka sebagai pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang dan tanpa menghormati sedikitpun ndang-undang dan kehormatan diri.

20. Anwar kemudiannya meminta agar beliau dibenarkan naik ke atas supaya dapat bertukar pakaian. Anwar meninggalkan ruang tamu disertai beberapa anggota dari pasukan serbuan itu. Saya mengikut mereka ke atas. Kemudian, sebelum meninggalkan rumah, seorang daripada peguam keluarga kami telah dimaklumkan oleh seorang anggota polis bahawa Anwar ditangkap kerana kesalahan (yang dikatakan) di bawah seksyen 377D. Tiada butiran lanjut mengenai kesalahan yang dikatakan itu dimaklumkan pada bila-bila masa (sehinggalah Anwar dihadapkan ke Mahkamah pada 29.9.1998 dan 30.9.1998) sama ada kepada Anwar, kepada saya ataupun kepada mana-mana daripada peguam-peguam keluarga kami.

21. Saya dan 5 daripada 6 anak-anak kami mengikut Anwar dan disuruh masuk satu van putih diiringi oleh 4 anggota polis. Dua daripada mereka adalah pegawai-pegawai UTK bersenjata. Mereka berdua ini duduk bersama kami di bahagian belakang van. Dua lagi, termasuk seorang yang memandu, duduk di kerusi hadapan van. [Anak perempuan kami yang keempat, Nurul Ilham, tidak dibenarkan menaiki van itu bersama kami. Sambil berlinang airmata, Ilham merayu untuk dibenarkan masuk ke van. Adik-beradiknya juga merayu dengan polis untuk membenarkannya ikut bersama, tetapi tidak berhasil. Saya ingin menambah di sini bahawa 2 hari kemudian, Nurul Ilham telah diserang "anxiety" di sekolah dan terpaksa dibawa pulang, menyebabkan tercetusnya rasa cemas dan risau di kalangan kami di rumah.]

22. Kami diberitahu bahawa kami dibawa ke Bukit Aman. Semasa perjalanan, setelah lebih kurang 15 minit berlalu, van itu berhenti. Anwar disuruh turun dan dipindahkan ke sebuah kereta polis, yang kelihatan seperti sebuah kereta polis Proton Wira berwarna putih. Saya merayu kepada pegawai-pegawai polis yang ada untuk mengizinkan saya mengiringi Anwar di dalam kereta yang sama tetapi permintaan ini telah ditolak.

23. Beberapa detik kemudian, kereta polis Proton Wira itu meninggalkan tempat itu. Saya dan anak-anak dibawa di dalam van tersebut ke Bukit Aman di mana saya diberitahu oleh seorang pegawai polis bahawa Anwar telahpun tiba di sana. Saya merayu untuk bertemu dengannya tetapi telah tidak diberi kebenaran. Semenjak dari itu, kecuali dan melainkan pada 29.9.1998, 30.9.1998 dan 5.10.1998, bilamana Anwar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) di Kuala Lumpur masing-masing, saya tidak berjumpa dengannya dan tidak dimaklumkan di mana beliau berada walaupun saya telah berkali-kali menelefon Bukit Aman dan beberapa pucuk surat telahpun dihantar oleh peguam-peguam keluarga kami kepada KPN. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan bersesama di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-12" surat-surat tersebut. Peguam-peguam Anwar juga tidak dibenarkan bertemu dengannya, kecuali dan melainkan pada 29.9.1998, 30.9.1998 dan 5.10.1998, bilamana beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) di Kuala Lumpur masing-masing. Perjumpaan-perjumpaan itu tidak memberikan kesempatan secukupnya untuk perbincangan matan di antara Anwar dan peguam-peguamnya.

24. Beberapa hari selepas malam Anwar ditangkap, peguam kami, Tetuan Aris Rizal Christopher Fernando & Co, telah menerima sepucuk surat daripada pihak polis bertarikh 22.9.1998 dan ditandatangani oleh seorang bernama Dato' Ramli bin Yusuff bagi pihak KPN. Adalah termaktub di dalamnya bahawa Anwar telah ditangkap di bawah seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 bagi membolehkan polis menjalankan penyiasatan. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-13" sesalinan surat bertarikh 22.9.1998 tersebut. Kemudian, peguam kami menerima sepucuk lagi surat dari pihak polis, bertarikh 23.9.1998 dan ditandatangani oleh seorang Abdul Muluf bin Hj. Ali bagi pihak KPN. Adalah termaktub di dalam surat tersebut bahawa Anwar sedang ditahan di bawah seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 dan bahawa pada peringkat itu, penyiasatan ke atasnya masih dijalankan. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-14" sesalinan surat bertarikh 23.9.1998 tersebut. Di dalam hal ini, media tempatan telah melaporkan bahawa beberapa alasan telah disebut sebagai menjustifikasikan tangkapan dan penahanan Anwar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960. Antara alasan-alasan tersebut adalah gangguan terhadap ketenteraman awam, perhimpunan haram dan rusuhan. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-15" sesalinan laporan mengenai perkara tersebut yang tersiar di akhbar "New Straits Times" bertarikh 21.9.1998. Saya ingin dengan jelas mengatakan bahawa, bertentangan dengan pengataan-pengataan bahawa Anwar telah membangkitkan perasaan orang awam untuk bertindak secara ganas dan merusuh, Anwar telah pada setiap masa menasihati mereka yang hadir di perkumpulan-perkumpulan yang menyokong pandangan-pandangan dan pendirian-pendirian yang beliau perjuangkan:

(i) supaya sentiasa menjaga keamanan dan patuh kepada undang-undang; (ii) supaya jangan berkelakuan di dalam cara yang mungkin mencetuskan gangguan kepada keamanan; (iii) supaya jangan menggunakan keganasan dalam apa cara sekalipun; dan (iv) supaya jangan menghalang polis di dalam pelaksanaan tugas-tugas mereka (polis).

Perlakuan Anwar semasa tangkapannya mencerminkan pendekatannya vis-a-vis pihak polis. Akhbar melaporkan bahawa Ketua Polis Bandaraya, Datuk Kamaruddin Ali telah mengatakan bahawa tidak terdapat apa-apa rintangan semasa Anwar ditangkap. Ketua polis itu menambah bahawa sebenarnya, Anwar bekerjasama dengan pihak polis. Saya mohon izin merujuk kepada eksibit bertanda "WAWI-15" di mana fakta ini dilaporkan.

Alasan-alasan Mengapa Tangkapan dan Tahanan Anwar Salah dan Tidak Sah

25. Saya dinasihatkan oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya seperti berikut:

(a) bahawa perbuatan-perbuatan yang dikaitkan dengan Anwar tidak termasuk di dalam lingkungan dan skop Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 dan oleh yang demikian, Akta Keselamtan Dalam Negeri, 1960 tidak terpakai di dalam keadaan kes ini. Di dalam hal ini, saya ingin mengatakan bahawa :

(i) pada 21.6.1960 Allahyarham Tun Abdul Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, telah memberitahu Parlimen bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri bertujuan melindungi orangramai daripada kegiatan subversif komunis dan bahawa kuasa-kuasa di bawah undang-undang itu tidak akan disalahgunakan. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-16" sesalinan Parliamentary Debates, Dewan Ra'ayat, 21 Jun 1960, kolum 1184 sehingga 1192 yang merekodkan ucapan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika membaca Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri buat kali kedua. Saya sesungguhnya percaya bahawa keganasan komunis, yang jelas merupakan asas penggubalan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, telah hampir hilang semenjak tahun-tahun 1970an. Selepas Perjanjian Bangkok 1989, keganasan dari komunis lenyap sama sekali.

(ii) Allahyarham Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, pernah mengikrarkan suatu afidavit bertarikh 18.11.1987 dan difailkan di dalam Permohonan Jenayah No. CR-54-30 tahun 1987 di mana beliau mengatakan antara lain bahawa daripada jaminan-jaminan berulang kali dari pemimpin-pemimpin sebelumnya dan "predecessors"nya, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, YAB Tun Abdul Razak, dan YAB Tun Dr. Ismail, saya memahami bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 adalah langkah bagi mencegah kebangkitan semula ancaman Komunis terhadap negara. Beliau juga mengatakan bahawa semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau berusaha untuk memastikan bahawa jaminan-jaminan "predecessors"nya, bahawa kuasa-kuasa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 tidak akan disalahgunakan untuk menahan bangkangan politik yang sah dan kegiatan demokratik rakyat, akan dihormati. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-17" sesalinan afidavit tersebut.

(iii) Dalam bulan Mac 1966, Perdana Menteri Malaysia kini, ketika itu Ahli Parlimen Kota Star Selatan dan seorang "government backbencher", telah berkata di Parlimen bahawa tiada sesiapa yang betul fikirannya menggemari ISA. Ianya adalah sebenarnya suatu penidakkan segala prinsip-prinsip demokrasi. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-18" sesalinan Parliamentary Debates, Dewan Ra'ayat, 22 Mac 1966, kolum 6882.

(b) selanjutnya, meskipun Anwar telah dikatakan terlibat di dalam suatu perhimpunan haram, yang dinafikan, terdapat peruntukan-peruntukan di dalam Akta Polis 1967 (Akta 344) yang boleh dan sepatutnya telah digunakan dan bukannya Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960, yang bertujuan untuk sama sekali melupuskan daripada Anwar hak-hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan;

(c) meskipun Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 terpakai, ianya tidak boleh mengetepikan bidangkuasa Mahkamah yang Mulia ini untuk memeriksa kesahihan di sisi undang-undang tangkapan dan penahanan Anwar;

(d) selanjutnya dan sebagai alternatif, tidak ada apa-apa alasan bagi tangkapan dan penahanan Anwar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 atau bahawa alasan-alasan yang diberi untuk tangkapan Anwar adalah tidak betul;

(e) tangkapan Anwar dan penahannya yang berterusan adalah pelanggaran terhadap hak-hak asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan di bawah peruntukan-peruntukan undang-undang bersifat mandatori;

(f) dalam apahal sekalipun, keseluruhan proses tangkapan dan penahanan Anwar terjejas oleh mala fides di pihak KPN sepertimana yang dihuraikan selepas ini.

Mala Fides di pihak KPN

26. Saya sesunguhnya percaya bahawa perkara-perkara yang dihuraikan di dalam perenggan-perenggan 5 sehingga 24 Afidavit ini jelas menunjukkan mala fides di pihak KPN. Keadaan-keadaan mala fides selanjutnya dikemukakan selepas ini.

(a) Pada 15.9.1998, Mohamad bin Ahmad, bekas Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan, telah ditangkap kononnya atas kesangsian suatu kesalahan di bawah seksyen 5 Akta Pelarian dan Ancaman Secara Jenayah Saksi 1947. Beliau ditahan reman pada hari berikutnya bagi tempoh 5 hari, yang kemudiannya, pada 19.9.1998, dilanjutkan selama 6 hari lagi. Pada 15.5.1998, peguamcaranya telah memfailkan satu permohonan habeas corpus yang ditetapkan untuk pendengaran pada 23.9.1998. Pada hari permohonan itu sepatutnya didengar oleh Mahkamah yang Mulia ini, beliau dikemukakan di Mahkamah Majistret Ampang dan dibebaskan. Saya sesungguhnya percaya bahawa pembebasannya dijadualkan sebegitu rupa untuk menghindarkan daripada pendengaran permohonan habeas corpus tersebut.

(b) Pada 16.9.1998, Azmin bin Ali, bekas Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri, telah ditangkap dan direman untuk kesalahan-kesalahan (yang didakwa) yang berhubungkait dengan rasuah. Pada 22.9.1998, pendakwaraya memohon untuk melanjutkan tempoh reman kononnya bagi siasatan lanjut meskipun Azmin telah dipanggil oleh pihak polis sebanyak tidak kurang daripada 5 kali. Permohonan pendakwaraya ditolak dan Azmin dibebaskan tanpa syarat oleh Mahkamah.

(c) Pada 22.9.1998, polis telah datang ke rumah kami untuk merekod kenyataan daripada saya sehubungan, apa yang didakwa oleh pegawai polis yang hadir, siasatan di bawah Akta Hasutan 1948. Pada 23.9.1998, saya telah diserahkan dengan satu notis mengikut seksyen 111 Kanun Acara Jenayah 1965 bagi suatu kenyataan direkodkan dari saya berkaitan suatu kesalahan di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-19" sesalinan notis seksyen 111 tersebut. Pada petang itu, saya telah ke Bukit Aman di mana kenyataan saya direkodkan. Saya harus pergi ke Bukit Aman sekali lagi pada 1.10.1998, bagi membolehkan polis merekod satu lagi kenyataan dari saya sehubungan dengan satu lagi notis di bawah seksyen 111. Nampaknya saya sedang dituduh menutur kata-kata hasutan hanya dengan menyuarakan kerisauan terhadap keadaan dan kesihatan suami saya. Saya ingin memaklumkan kepada Mahkamah yang Mulia ini bahawa keadaan dan kesihatan suami saya adalah sesuatu yang amat penting bagi saya. Mana-mana isteri yang diletakkan di dalam kedudukan yang serupa akan juga berasa sedemikian, jika tidak lebih lagi.

(d) Pada 22.9.1998 dan 23.9.1998, peguamcara kami telah menulis kepada KPN memaklumkannya mengenai keadaan kesihatan Anwar. Surat bertarikh 21.9.1998 itu melampirkan sepucuk surat daripada doktor pakarnya bertarikh 21.9.1998 yang menghuraikan keadaaan kesihatan Anwar. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini bersesama sebagai eksibit bertanda "WAWI-20" salinan-salinan surat-surat tersebut. Jawapan yang diterima dari pejabat KPN, bertarikh 23.9.1998, menyatakan bahawa segala keperluan perubatan Anwar telah diberikan dan dititikberatkan dan bahawa pada peringkat itu kesihatan Anwar tidak membimbangkan. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-21" sesalinan surat tersebut. Di dalam hal ini, saya ingin mengatakan bahawa representasi tersebut sama sekali bertentangan dengan tegasan yang dibuat oleh Anwar semasa beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 29.9.1998, di dalam mana beliau telah mengadu kepada Mahkamah bahawa beliau telah dipukul di Bukit Aman pada malam yang sama selepas tangkapan beliau iaitu pada 20.9.1998. Meskipun terdapat rayuan-rayuan dari Anwar, tetapi perhatian perubatan tidak diberi kepadanya sehinggalah hari kelima penahanannya. Huraian yang lebih terperinci mengenai kenyataan Anwar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dikemukakan di dalam perenggan kecil (j) di sini.

(e) Pada 19.9.1998, hari Sabtu, dua orang, iaitu, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, adik angkat Anwar dan Dr Munawar Ahmad Anees, seorang asing yang merupakan sahabat Anwar, telah dihadapkan ke Mahkamah-Mahkamah Sesyen berlainan, yakni, Mahkamah Sesyen (Jenayah) 4 Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen (Jenayah) 1 masing-masing di mana mereka kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan-pertuduhan di bawah seksyen 377D Kanun Keseksaan. Di dalam melakukan demikian, Anwar telah dikaitkan di dalam aktiviti-aktiviti tak bermoral dan aktiviti seks jenayah. Sukma telah ditangkap pada 6.9.1998 dan ditahan reman dan tidak diberikan akses kepada peguam atau ahli-ahli keluarga dan telah dihadapkan ke Mahkamah hanya pada hari terakhir tempoh reman 14-harinya. Dalam pada itu, Dr Munawar telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 juga tanpa akses kepada peguam dan ahli-ahli keluarganya. Saya dinasihatkan oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa pemakaian Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 untuk menangkap Dr Munawar adalah salah, tidak betul dan suatu penyalahgunaan kuasa-kuasa pentadbiran di dalam keadaan kes ini, mengambil kira terutama sekali hakikat bahawa Dr Munawar dituduh di bawah seksyen 377D Kanun Keseksaan. Selanjutnya, saya sesungguhnya percaya bahawa dorongan, ugutan atau janji telah digunakan terhadap kedua-dua orang tersebut sebelum mereka dihadapkan ke mahkamah dan keadaan minda masing-masing yang timbul hasil dorongan, ugutan atau janji berkenaan belum lagi hilang semasa mereka dihadapkan ke mahkamah. Dalam keadaan ini, saya merayu kepada Mahkamah yang Mulia ini untuk menjalankan kuasa-kuasa semakannya di dalam kes-kes ini.

(f) menurut laporan-laporan akhbar, yang mana salah satu daripadanya, "New Straits Times" bertarikh 1.10.1998, sesalinan yang mana kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-22", saya mendapat tahu bahawa sebilangan orang telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960, termasuk:

(i) Ruslan Kassim, 39, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan; (ii) Datuk Kamaruddin Jaafar, 45, Ketua UMNO Bahagian Tumpat dan Pengerusi Institut Kajian Dasar; (iii) Datuk Ahmad Zahid Hamidi, 45, Ketua Pemuda UMNO dan Pengerusi Bank Simpanan Nasional; (iv) Ahmad Azam Abdul Rahman, 38, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); (v) Mukhtar Ridzwan, 47, Timbalan Presiden ABIM; (vi) Abdul Halim Ismail, 45, seorang daripada dua Naib Presiden ABIM; (vii) Shaharudin Badarudin, 33, Setiausaha ABIM; (viii) Dr Sidek Baba, Timbalan Rektor (Hal-Ehwal Pelajar dan Disiplin) Universiti Islam Antarabangsa; (ix) Tamunif Mokhtar, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak; (x) Datuk Kamarudin Mohd Noor, 51, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh; (xi) Dr. Zambry Abdul Kadir; Ketua Pemuda UMNO Lumut; dan (xii) Amidi Datuk Abdul Manan, 25, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM); (xiii) Ahmad Shabrini Mohd Sidek, Setiausaha Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia; (xiv) Zulkifli Nordin, peguam; (xv) Asma'on Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri, Panti; dan (xvi) Abdul Malek Hussein, bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda PAS.

Dari senarai di atas, saya difahamkan bahawa individu-individu berikut telah dibebaskan tanpa syarat:

(i) Datuk Ahmad Zahid Hamidi; (ii) Ahmad Azam Abdul Rahman; (iii) Mukhtar Ridzwan; (iv) Abdul Halim Ismail; (v) Shaharudin Badarudin; (vi) Tamunif Mokhtar; (vii) Amidi Datuk Abdul Manan; (viii) Asma'on Ismail; dan (ix) Dr. Zambry Abdul Kadir.

Saya sesungguhnya percaya bahawa orang-orang ini ditangkap dan ditahan bukannya kerana mereka mengancam keselamatan negara tetapi kerana mereka adalah "aides", sekutu-sekutu politik dan rakan-rakan Anwar. Tambahan lagi, lebih satu ratus orang daripada mereka yang hadir beramai-ramai di hadapan bangunan mahkamah di Jalan Raja, Kuala Lumpur pada hari Isnin, 21.9.1998, ditangkap dan ditahan secara sembarangan atas apa yang dikatakan rusuhan. Saya sesungguhnya percaya bahawa pihak berkuasa telah menggunakan kekerasan berlebihan di dalam menyuraikan apa yang sebenarnya perkumpulan rakyat yang prihatin.

(g) Pada 23.9.1998, tanpa sebab yang zahir, saya telah diserahkan dengan satu perintah larangan melarang daripada diadakan apa-apa perarakan atau perhimpunan di rumah kami mulai dari 23.9.1998 sehingga 20.11.1998. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-23" sesalinan perintah larangan tersebut. Tambahan lagi, sekatan polis diadakan di semua jalan menuju ke rumah kami. Sehingga 26.9.1998, sekatan-sekatan ini dikawal oleh bilangan anggota polis yang begitu ramai yang mengatakan bahawa mereka mempunyai arahan untuk melarang sesiapa daripada menziarah rumah kami kecuali ahli-ahli keluarga dan peguam-peguam kami. Saya dinasihati oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa perintah larangan tersebut hanya melarang daripada diadakan apa-apa perarakan atau perhimpunan; ianya tidak memberikuasa kepada pihak polis untuk menjadikan kediaman kami dan jalan-jalan yang menuju ke kediaman kami sebagai suatu zon terbatas yang mana menghalang laluan masuk bebas kepada rakan-rakan dan sahabat-sahabat kami. Saya sesungguhnya percaya bahawa ini adalah pemansuhan secara salah hak-hak asasi saya untuk bebas bersuara dan bebas berhimpun. Tambahan lagi, KPN telah menyatakan dengan jelas bahawa polis tidak akan mengeluarkan permit bagi perhimpunan-perhimpunan yang menyokong pandangan-pandangan dan pendirian-pendirian Anwar. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-24" laporan akhbar berkenaan di dalam "The Star" bertarikh 23.9.1998.

(h) Pada 24.9.1998, pimpinan UMNO telah mengeluarkan satu kenyataan yang mana pada dasarnya bermaksud bahawa semua ahli-ahli parti yang diketahui hadir di kediaman kami akan dipecat daripada keahlian parti. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-25" sesalinan laporan akhbar berkenaan di dalam "The Sun" bertarikh 25.9.1998.

(i) Adalah jelas bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 sedang digunakan untuk menumpaskan apa-apa bentuk sokongan atau rasa simpati terhadap pandangan-pandangan dan pendirian-pendirian yang diperjuangkan oleh Anwar. Sebaliknya, setiap kaedah yang ada dipergunakan untuk menghancurkan antara lain kerjaya politik Anwar dan reputasi beliau serta reputasi ahli-ahli keluarga dan sahabat-sahabat akrabnya. Saya dinasihati peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa tindak-tanduk sedemikian, meskipun terdapatnya perintah injunksi interlokutori bertarikh 31.7.1998, jelas menunjukkan mala fides, dan adalah juga penghinaan bersifat jenayah.

(j) Pada 29.9.1998, semasa Anwar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dituduh, beliau memaklumkan Mahkamah, dan ini dilihat dan didengar oleh saya bahawa:

(i) Pada malam selepas beliau ditangkap pada 20.9.1998, di dalam lokap polis di Bukit Aman, beliau telah menerima pukulan-pukulan keras di atas mata kiri, sebelah kanan dahi dan leher. Beliau juga telah ditampar di sebelah kiri dan kanan sehingga hidung dan bibirnya berdarah. Pada masa material, mata beliau ditutup ("blindfolded") dan beliau digari di sebelah belakang. Beliau separuh sedar setelah pukulan itu dan kemudiannya sama sekali tidak sedar diri sehingga keesokan pagi.

(ii) pukulan yang dibuat terhadap lehernya begitu keras, dan memandangkan beliau mempunyai keadaan cervical spondylosis, kesakitan di lehernya menjejaskan saraf tangan kirinya. Beliau tidak dapat berjalan tanpa bantuan.

(iii) beliau telah merayu untuk berjumpa dengan doktor tetapi hanya mendapat perhatian perubatan pada hari kelima beliau ditahan.

Saya ingin menambah bahawa pada 29.9.1998, menurut perintah dari Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Hasnah Datuk Hashim, satu pemeriksaan perubatan ke atas Anwar telah dijalankan oleh Dato' Dr. Haji Ahmad Shukri Mohamed di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Adalah kini dikemukakan dan ditunjukkan kepada saya dan dilampirkan di sini sebagai eksibit bertanda "WAWI-26" sesalinan laporan perubatan doktor itu bertarikh 30.9.1998. Antara lain, doktor berkenaan menyatakan bahawa, di dalam pendapat pakar beliau, Anwar telah dipukul di bahagian dahi kiri, dan di leher dan menerima "blunt trauma" yang mengakibatkan lebam-lebam peninggalan di atas kelopak mata kiri atas dan bawah dan "residual tenderness" di sebelah kiri lehernya. Lebam-lebam di kelopak mata semestinya diakibatkan oleh darah yang menitis dari kecederaan di dahi kiri ke bahagian dalam kulit ke kawasan kelopak mata.

27. Saya sesungguhnya percaya bahawa berdasarkan perkara-perkara di atas, tangkapan dan penahanan Anwar adalah salah di sisi undang-undang. Saya dengan takzimnya mengatakan bahawa telah terdapat penyalahgunaan yang nyata kuasa-kuasa eksekutif dan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 berhubungan keadaan-keadaan sekitar tangkapan dan penahanan Anwar.

28. Saya memohon izin Mahkamah yang Mulia ini untuk menyoal balas semua saksi-saksi polis berhubungkait dengan tangkapan dan penahanan Anwar.

29. Saya memohon izin Mahkamah yang Mulia ini untuk memerintahkan agar Anwar dikemukakan di hadapan Mahkamah yang Mulia ini di sepanjang prosiding ini.

30. Saya dengan takzimnya mengatakan bahawa tangkapan dan penahanan Anwar adalah salah di sisi undang-undang dan memohon agar permohonan ini dibenarkan dan beliau dibebaskan serta-merta.

Diikrarkan oleh ) DR. WAN AZIZAH BT. WAN ISMAIL ) di Kuala Lumpur ) pada Oktober 1998 ) jam am/pm )

Di hadapan saya,

Norlizah Othman
Majistret

AFIDAVIT ini difailkan oleh Tetuan Zainur Zakaria & Co., Peguamcara bagi Pemohon, yang mempunyai alamat penyampaian di 4B, Jalan Ceylon, 50200 Kuala Lumpur. (No. Tel. 03-202 3787) (No. Faks 03-202 3785).