KENYATAAN AKHBAR
GERAKAN REFORMASI
JAKARTA, 29 OKTOBER 98
SAYA
telah membaca sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dalam Utusan Malaysia, 27 Oktober 1998 berhubung soal demonstrasi dan komen-komennya mengenai keputusan untuk memecat Saudara Anwar Ibrahim dari kerajaan dan parti.Cukup menarik dan sadis sekali apabila kita membaca kenyataan Perdana Menteri itu yang antara lain berkata (memetik kembali laporan Utusan) "Dr. Mahathir memberitahu, demi memastikan keputusan beliau memecat Anwar itu tepat, beliau telah berbincang dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri." "Menteri meminta supaya saya membuat keputusan segera kerana bimbang kalau berlaku sesuatu ke atas diri saya, Anwar akan menjadi Perdana Menteri."
Kesimpulan yang dapat saya rumuskan ialah, setelah menyedari beliau membuat keputusan yang silap, Mahathir cuba mengalihkan kesilapan yang dia lakukan itu ke kepala menteri-menteri besar dan ketua menteri. Mahathir cuba mendedahkan dan menyampaikan mesej kepada umum bahawa keputusan muktamad untuk memecat Anwar adalah keputusan menteri besar dan ketua menteri yang kononnya bimbang Anwar akan terlantik sebagai Perdana Menteri jika sesuatu berlaku kepadanya (Mahathir) dan oleh itu mempengaruhinya agar segera memecat Anwar.
Sebenarnya, Perdana Menteri sedang memindahkan segala kekotoran dan najis yang telah dia lakukan ke tangan dan kepala menteri besar dan ketua menteri. Dia lakukan ini setelah melihat kemarahan dan kebangkitan rakyat sudah menjadi semakin besar dan tidak dapat dibendung lagi. Dia cuba berkata bahawa dia hanya mengeluarkan pandangan tetapi keputusan muktamad dilakukan oleh menteri besar dan ketua menteri.
Sementara kita mahu PM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pemecatan Saudara Anwar Ibrahim, kita juga menuntut supaya menteri-menteri besar dan ketua menteri yang nampaknya terbabit di dalam membuat keputusan tersebut memberi penjelasan kepada rakyat dan ahli-ahli UMNO di negeri masing-masing bagaimana mereka boleh mencapai satu keputusan yang begitu drastik dan yakin bahawa Anwar harus dipecat atas sebab-sebab rendah moral dan seks. Walau bagaimanapun, Mahathir jangan ingat dengan melemparkan najis yang dia lakukan ke kepala orang lain akan mengalih tumpuan kita dan rakyat seluruh negara bahawa ketua komplot konspirasi peringkat tertinggi ini ialah dirinya sendiri Mahathir Maha Zalim.
Hakikat yang ahli-ahli UMNO dan seluruh rakyat perlu tahu ialah, pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), 3 September 1998, jam 8.45 malam di tingkat 39 Menara Dato Onn, PWTC, Mahathir Mohamad sebagai presiden parti telah memulakan mukadimah mesyuarat dengan terlebih dahulu menyatakan keputusannya. Keputusan itu ialah dia mahu Anwar Ibrahim dipecat. Dan dia sanggup mengatakannya di hadapan Anwar seterusnya (dalam mukadimah itu) Mahathir menggunakan secukup-cukupnya peluang untuk mendedahkan apa yang dia sifatkan sebagai satu temuramah dengan saksi-saksi (iaitu pelacur) yang mengaku telah melakukan hubungan seks dengan Anwar. Dan sekali lagi dia menceritakan ini semua tanpa ada perasaan bersalah, kasihan, kesal mahupun simpati.
Mahathir menceritakan kepada MT bahawa wanita-wanita yang telah ditemuramahnya itu dibawa kepadanya oleh Megat Junid Megat Ayub dan Daim Zainuddin sendiri. Soalnya ialah, dengan sindrom takut yang ditanam oleh Mahathir kepada seluruh anggota MT selama bertahun-tahun, dia sedar bahawa dia boleh mendapat keputusan sebulat suara dengan hanya perlu menghantar signal awal kepada mereka. Signal itu ialah menyatakan keputusannya terlebih dahulu sebelum menyerahkan pandangan kepada setiap seorang daripada mereka. Kecuali Afifuddin Omar dan Zahid Hamidi, yang lainnya (termasuklah tiga ulama UMNO) hanya mengiyakan apa yang dituduhkan ke atas Anwar tanpa sedikit pun mempersoalkan kesahihan dan kewibawaan wanita-wanita yang mengaku mengadakan hubungan seks dengan Anwar.
Mahathir juga kebelakangan ini berulang kali menyebut (yang terbaru lihat Utusan Malaysia 27 Okt), sewaktu Saudara Anwar menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Pengurusan UMNO, beliau juga sering kali memecat ahli tetapi tiada siapa yang membuat bising. Sebagai bekas anggota Jawatankuasa Teknikal, Disiplin dan Pengurusan Pertama, menyokong pembangkang sewaktu pilihan raya. Kedua bertanding sebagai calon bebas atau parti lain menentang calon BN dan ketiga melakukan sabotaj sewaktu pilihan raya.
Kerap kali juga berlaku, Anwar menolak laporan siasatan sebab siasatannya tidak lengkap. Terdapat juga banyak bukti ahli-ahli UMNO yang dianggap penyokong Saudara Anwar dikenakan tindakan gantung keahlian atau dipecat. Hal sebenarnya ialah Jawatankuasa Teknikal Disiplin dan Pengurusan, yang dipengerusikan oleh Datuk Zaki Tun Azmi akan memanggil mereka yang terlibat, disiasat, dipanggil saksi-saksi dan kemudiannya laporan jawatankuasa ini dikemukakan kepada Saudara Anwar atau Setiausaha Agung. Yang jelas ialah, Saudara Anwar tidak pernah menjatuhkan hukuman sebelum siasatan dibuat.
Beliau tidak menggunakan media untuk mengaib dan memfitnah tertuduh. Tidak mengupah pelacur untuk membuat pengakuan dan tidak menggunakan polis untuk memukul orang. Apa yang beliau lakukan ialah membentang hasil keputusan jawatankuasanya kepada MT. Saya amat meyakini kemampuan Zaki menjalankan tugasnya namun saya sendiri pernah melalui satu pengalaman bersama-sama jawatankuasa teknikal ini mengkaji satu kes di mana kemudiannya Mahathir mengarahkan supaya jawatankuasa kami menghentikan siasatan atau laporan siasatan lengkap dipendamkan sahaja.
Contoh yang paling jelas dan masih saya ingat ialah berhubung siasatan jawatankuasa teknikal ke atas Saidin Tamby yang didakwa menerima RM 1 juta untuk tabung UMNO bahagian tetapi wang itu tidak dimasukkan ke dalam tabung. Setelah siasatan selesai dan Jawatankuasa Teknikal, Disiplin dan Pengurusan berpuashati Saidin bersalah tetapi akkhirnya Mahathir mengarahkan Setiausaha Agung menutup kes itu.
Lain-lain contoh ialah seperti kes Mohd Zain Awang, bekas Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian di mana Mahathir memberi nota supaya dipecat sebab menolak permohonan ahli Semangat 46 yang ingin menyertai semula UMNO, kes rasuah politik wang Rahim Tamby Chik sewaktu bertanding merebut jawatan ketua UMNO Bahagian Kota Melaka di mana Setiausaha Agung menerima arahan yang sama daripada Mahathir supaya kes itu ditutup. Hal-hal ini sangat saya maklum atas kapasiti sebagai anggota jawatankuasa teknikal parti.
Oleh itu, Gerakan Reformasi ingin mengingatkan Mahathir supaya jangan terus menerus membohongi rakyat dan menipu ahli UMNO. Dan ahli-ahli parti harus sedar dari sekarang jangan membiarkan diri mereka terus ditipu oleh seorang presiden yang sudah pun menjadi kera sumbang.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia