KAEDAH PEMBELAJARAN YANG
LEBIH BERKESAN
Teknik-teknik pembelajaran yang baik merupakan
satu kaedah dalam usaha kita menghadapi pelajaran yang terbaik sebagai
langkah untuk memperolehi kejayaan yang cemerlang di dalam bidang pembelajaran.
Pelajar perlu memahami bahawa tidak ada satu 'formula' yang mesti dan tepat
bagi merumuskan satu kaedah yang paling baik untuk menghadapi pelajaran
melainkan ia banyak bergantung kepada diri pelajar itu sendiri. Apa yang
penting untuk dijelaskan ialah beberapa garis panduan yang besar sahaja
dikenalpasti untuk dijadikan landasan bagi seseorang pelajar bergerak menghadapi
peperiksaan.
FAKTOR-FAKTOR DORONGAN DALAM PEMBELAJARAN
-
Mengenal pasti wujudnya 'motivasi dalaman' atau faktor-faktor
pendorong di dalam diri maing-masing, misalnya kemiskinan.
-
Menginsafi akan kepentingan ilmu, tujuan ilmu dipelajari,
untuk apa dan hendak ke mana ilmu yang dikumpulkan itu.
-
Dorongan dari rasa tanggungjawab sebagai seorang
pelajar.
-
Menginsafi peranannya terhadap masyarakat pada masa
hadapan.
LANGKAH-LANGKAH PERSEDIAAN
-
Kesempurnaan kesediaan seseorang dari segi mental,
fizikal dan rohani yang mampu mengahadapi peringkat pembelajaran yang baik.
-
Persediaan mental yang baik ialah persediaan tumpuan
fikiran yang sepenuhnya terhadap pelajaran. Pemikiran yang masih bercampur-aduk
dengan perkara-perkara lain akan mengakibatkan kebuntuan untuk memberi
perhatian yang serius kepada pelajaran. Seseorang pelajar hendaklah menghilangkan
ingatannya kepada perkara yang lain, sebaliknya ingatan hendaklah ditumpukan
kepada pelajaran sahaja.
-
Berkhayal kepada perkara lain ialah penyakit yang
paling besar bagi seseorang pelajar yang sedang menghadapi pelajarannya.
Oleh itu, pelajar hendaklah mengelakkan diri daripada berkhayal semasa
belajar.
TEKNIK-TEKNIK PEMBELAJARAN
Suasana / Tempat Belajar
-
Elakkan suasana yang bising, banyak gangguan, tidak
selesa dan sebagainya
Memilih Masa Yang Sesuai
-
Tidak semua waktu di dalam sehari boleh digunakan
untuk menumpukan fikiran pada pelajaran.
-
Setiap hari persekolahan, peruntukan sekurang-kurangnya
2 jam untuk menelaah/mengulangkaji pelajaran di samping menyelesaikan kerja-kerja
yang diberikan oleh guru. Pada waktu cuti, 4 hingga 5 jam adalah memadai
untuk menelaah pada waktu yang sesuai, iaitu pada waktu pagi dan malam.(ingat
! waktu belajar yang sesuai tidak sama antara semua individu)
-
Menyediakan satu jadual kerja harian walaupun begitu,
mungkin jadual tersebut tidak mampu diikuti sepenuhnya oleh pelajar.
-
Pembaziran masa dengan perkara-perkara yang tidak
ada hubungan dengan memperkukuhkan mutu pembelajaran baik secara formal
atau informal haruslah dielakkan.
Pembelajaran Di Sekolah
-
Pembelajaran di sekolah merupakan sumber yang penting
serta yang paling baik untuk seseorang pelajar menghadapi pelajarannya,
dan segala penumpuan yang maksimun haruslah diberikan serta tidak patut
berlaku kecuaian, leka, nakal ketika berada di sekolah.
Membaca, Memahami dan Menghafal
-
Teknik pembacaan yang baik ialah pembacaan yang menyeluruh bagi pusingan
yang pertama. Isi dan istilah-istilah yang penting digariskan. Kalau perlu
isi yang digariskan itu dicatat sebagai nota pendek atau ringkas.
-
Ambil perhatian kepada isi-isi yang penting dan hendaklah dibaca selalu.
Kalau perlu setiap isi-isi itu hendaklah dihafal sedaya mungkin terutama
apabila hampirnya waktu peperiksaan. (ingat ! hafalan tanpa pemahaman yang
kukuh adalah sia-sia).
-
Menyusun nota dengan teratur dan berkesan dan mempunyai ciri-ciri seperti
:-
Mengandungi semua maklumat penting
Bersih dan mudah dibaca
Terkumpul (di dalam fail/Buku Khas)
Ringkas dan padat
|
Kesungguhan Belajar
-
Elakkan diri dari faktor-faktor yang boleh membosankan ketika membaca.
Jangan sesekali membebankan diri dengan kerja-kerja sekolah yang terlampau
banyak pada masa tertentu dan berehat panjang selepasnya.
-
Kesungguhan belajar mestilah berterusan dari segi semangat belajar dan
usaha dari awal hinggalah ke masa peperiksaan.
-
Sentiasa meningkatkan semangat belajar dari masa ke semasa. Semakin hampir
dengan tarikh peperiksaan semakin bersungguh-sungguh untuk belajar dan
semakin berkeyakinan dalam menghadapi peperiksaan.
-
Kesungguhan belajar mungkin boleh dibina melalui kerja-kerja secara berkumpulan.
Yang pentingnya carilah teman/rakan belajar yang boleh anda manfaatkan
pengetahuan dan kefahaman anda kepadanya dan sebaliknya.
-
Yakinlah dengan kebolehan yang ada pada diri anda dan kesungguhan anda
untuk belajar dan yakinlah dengan pertolongan Allah S.W.T.
LUPAAN DAN INGATAN
Apakah sebabnya kita sering lupa ?
Kerana Gangguan
Membaca perkara-perkara lain selepas buku pelajaran menyebabkan soal
peperiksaan luput dari ingatan.
Tumpuan Perhatian
Tanpa perhatain yang sepenuhnya ketika membaca menyebabkan perkara
tersebut tidak dapat kekal lama.
Faktor Masa
Masa yang terlalu lama mungkin menyebabkan anda lupa akan apa yang
telah dipelajari.
INGATAN
Manusia lebih senang mengingati sesuatu jika :-
Minat
Tinggikan minat terhadap perkara yang dipelajari.
Pilihan
Memilih isi-isi penting untuk diingati bagi peperiksaan.
Ulangan
Sentiasa mengulangkaji, boleh dibuat melalui perbincangan secara berkumpulan,
penulisan semula atau pembacaan yang kerap.
Assasiasi
Membuat perkaitan dengan sesuatu perkara lain untuk ingatan.
Tubi Belajar
Di dalam proses pembelajaran terdapat peringkat seperti :-
1. Mendengar untuk pertama kali
2. Memahami
3. Menggunakannya
4. Mencipta yang baru
Jika anda membaca berulang kali, tentunya perkara tersebut akan dapat
diingati di dalam satu jangkamasa yang lama.
PERSEDIAAN DALAM LANGKAH-LANGKAH MENGHADAPI
PEPERIKSAAN
PERSEDIAAN ASAS
1. Semangat Yang Tinggi
2. Pembacaan Yang Banyak
3. Kefahaman Yang Jelas
4. Ulangkaji Berterusan
5. Keyakinan Diri
Di dalam menghadapi peperiksaan UPSR/PMR/SPM/STPM, satu perkara yang
tidak boleh dilupakan ialah persediaan di peringkat awal secara berterusan
sehingga tiba masa yang ditetapkan dan akan menjadi lebih berkesan sekiranya
kaedah pembelajaran yang betul diamalkan. Namun, ramai juga pelajar yang
tidak dapat menghadapi peperiksaan dengan baik walaupun telah menumpukan
banyak masa di saat awal hinggalah ke akhirnya. Malahan ramai juga yang
pada saat-saat akhirnya menjadi putus asa.
Untuk menjawab pertanyaan ini cubalah bertanya kepada diri anda tentang
:-
1. Adakah anda telah menghabiskan topik-topik penting ?
2. Adakah anda telah memahami apa yang diajar oleh guru atau dibaca
sendiri ?
3. Adakah anda menhadapi pelajaran dengan semangat yang tinggi ?
4. Adakah anda berterusan belajar dan meneliti soalan-soalan lepas
?
5. Adakah anda mempunyai keyakinan diri untuk menjawab soalan nanti
?
UJIAN BULANAN DAN PEPERIKSAAN PENGGAL
Ramai pelajar bersikap acuh tak acuh di dalam menghadapi ujian bulanan
dan peperiksaan penggal dan ada yang menganggapnya tidak penting. Pada
hal ujian dan peperiksaan ini boleh mempengaruhi keputusan peperiksaan
nanti. Akibatnya ramai pelajar yang gagal dan mendapat markah yang rendah
di dalam setiap ujian /peperiksaan. Sikap seperti ini hendaklah dikikiskan.
Walaupun demikian, seandainya anda gagal di dalam ujian, jadikanlah ia
suatu pengajaran untuk lebih memahami dan bersungguh-sungguh mengulangkaji
pelajaran. Kegagalan di dalam ujian mungkin disebabkan oleh beberapa faktor
seperti :-
a) Kurang memahami apa yang diajar
b) Tidak mengambil perhatian yang serius terhadap pelajaran.
c) Tidak mengulangkaji pelajaran selepas waktu persekolahan.
KEARAH MEMBENTUK KEYAKINAN
Keyakinan menghadapi peperiksaan hanya boleh diperolehi oleh pelajar
yang sudah betul-betul membuat persiapan yang rapi. Antara persiapan yang
perlu diberi perhatian ialah :-
a) Habis mengulangkaji topik-topik yang disoal.
b) Mengingati dengan baik nota-nota yang penting.
c) Mengetahui bentuk-bentuk soalan yang akan disoal.
d) Bertawakkal kepada Allah S.W.T.
BEBERAPA PERINGATAN KEPADA PELAJAR
-
Tidak keterlaluan membaca sehingga kurang tidur.
-
Belajar dengan hati yang tenang dan lapang. Pastikan semua kerja atau masalah
diselesaikan terlebih dahulu sebelum anda memulakan pembelajaran/study.
-
Disiplinkan diri anda. Pastikan anda tidak membuang masa dengan kerja-kerja
yang sia-sia. Tepatilah masa belajar yang anda telah tetapkan dan pastikan
anda ada masa untuk merehatkan otak secukupnya. Elakkan daripada memaksa
diri anda untuk belajar sekiranya anda letih dan mengantuk.
-
Elakkan diri anda daripada membaca dan menghafal matematik. Sebaliknya
cubalah memperbanyakkan latihan mengira dan memahami formula dan konsepnya.
-
Berbincang dengan rakan yang lebih memahami dan elakkan daripada sifat
malu bertanya.
-
Elakkan daripada sifat menangguhkan sesuatu kerja yang diberi oleh guru
serta jauhkan sikap mengambil jalan mudah dengan meniru kerja kawan tanpa
memahami akan maksud dan konsepnya.
-
Elakkan mengumpulkan nota yang diberikan oleh guru sehingga bertimbun barulah
hendak mengulangkajinya.
Sesungguhnya seseorang pelajar akan mencapai tahap penguasaan yang maksimun
jika dia mampu mengaplikasikan teknik dan kaedah belajar yang betul. Setiap
pelajar mempunyai cara belajar yang berbeza, janganlah meniru gaya belajar
orang lain yang tidak sesuai dengan kita. Nota ini sebagai panduan
sahaja, ubahlah ia agar sesuai dengan teknik dan cara anda sendiri. InsyaAllah
kejayaan itu milik semua.
ke muka
depan