Anjing

Oleh: Uthaya Sankar SB


Sejak awal lagi dia sudah mensyaratkan bahawa di rumahnya tidak boleh ada anjing. Anak boleh, tetapi anjing tidak boleh. Dan isterinya bersetuju tanpa menunjukkan sebarang tanda bantahan.   Namun, selepas mempunyai lima anak, syarat itu terpaksa diabaikan. Atau sekurang-kurangnya dirombak dan dipinda. Seperti kata isterinya: “Lima anak boleh dijaga; masakan seekor anjing tak boleh.”   Anak-anaknyalah yang mendesak dan berdegil mahu memelihara anjing. Anak bongsu yang berumur tujuh tahun terus sahaja membawa seekor anak anjing jalanan yang ditemuinya di tepi longkang.   

Dia memang tidak sukakan anjing. Isterinya sedar benar akan hal itu. Sebab itulah sejak awal perkahwinan mereka, si isteri tidak pernah melahirkan keinginan untuk memelihara anjing mahu pun kucing. Cuma beberapa ekor ayam. Itupun untuk disembelih dan dimakan bila perlu.   Si suami @ ayah memang tegas dan garang pula. Jika dia sudah mengambil suatu keputusan, itulah keputusan muktamad yang wajib diterima oleh seluruh keluarga. Malah anak sulung yang berumur lapan belas tahun juga masih akur sepenuhnya pada segala arahan yang dikeluarkan oleh si ayah.   Ini berbeza pula dengan si anak bongsu. Dia semacam sedar bahawa di sebalik kebengisan wajah ayahnya, tetap ada kelembutan. Kalau tidak, masakan dia berani bermanja dengan si ayah.   

Memang si ibu serta anak-anak lain hampir tidak percaya bahawa si anak bongsu berani bermanja dengan si ayah yang terkenal bengis itu. Tapi anehnya si ayah tidak pula memarahi dan mengusir anak bongsu yang datang bermanja.   

Cuma si ayah memastikan bahawa tindakannya bermanja dengan si anak bongsu tidak diperhatikan oleh anak-anak lain, serta isterinya sendiri. Dia bimbang kalau-kalau anak-anak yang lain akan turut mahu dimanjai. Itu sekaligus akan membuatkan mereka tidak lagi takut padanya.   Apabila si anak bongsu membawa pulang seekor anak anjing jalanan, si ibu terus bimbang. Dia segera teringatkan syarat yang dikenakan si suami di awal perkahwinan mereka. Namun, dia dapat merasakan bahawa mungkin suaminya akan berlembut sedikit memandangkan yang membawa anak anjing adalah si anak bongsu.   

“Ah! Lagi pun, waktu mula-mula berkahwin dulu, dia berkata dua anak sudah memadai. Bukankah dia juga sudah melanggar arahannya sendiri?” fikirnya sambil membelai bulu anak anjing berkenaan.   Sebagai lelaki yang tidak pernah mahu mengaku kalah, lelaki berkenaan pada mulanya langsung tidak membenarkan anak anjing itu dipelihara.   “Tidak mungkin di dalam rumah ini!” bentaknya.   

“Kalau di luar rumah, macam mana ayah?” tanya si anak bongsu dengan suara ikhlas.   

Kecut juga perut anak-anak yang empat lagi mendengar adik bongsu mereka berkata begitu. Pada fikiran mereka, dia pasti ditangani oleh ayah mereka.   

Namun ternyata tanggapan mereka meleset terlalu jauh. Si ayah hanya diam sambil mengetap bibir. Sejurus selepas itu, dia bingkas keluar.   “Buatlah sesuka hati! Semua orang sudah tidak mendengar kata-kata saya lagi. Semuanya sudah bersekolah dan menganggap diri mereka sudah pandai dan tak perlu mendengar cakap si pemandu lori ini!”   Sambil marah-marah, dia meninggalkan rumah. Si ibu dan anak-anak terus terdiam seketika sambil berpandangan. Kemudian apabila anak anjing yang sedang tidur tiba-tiba terjaga dan mula mundar-mandir di ruang tamu, si ibu segera mengarahkan si anak bongsu membawanya keluar kerana ia mungkin mahu buang air.   

Sejak hari itulah rumah si lelaki garang itu mula beranjing. Lelaki berkenaan terpaksa menerima sahaja kehadiran anak anjing itu. Namun, anak anjing tersebut nampaknya sedar bahawa kehadirannya tidak disenangi oleh ketua rumah. Apatah lagi apabila ia sering sahaja menjadi mangsa tendangan, pukulan, cemuhan dan makian ketua rumah berkenaan.   Namun, di tengah-tengah segala kejadian itu, si isteri @ ibu terasa puas. Dia sedar bahawa suaminya semakin lemah. Lelaki yang suatu masa dahulu pernah menguasai sepenuhnya hidup segala isi rumah berkenaan kini ternyata sudah tidak berkuasa mutlak.   

Sementara itu, anak anjing berkenaan terus dipelihara oleh si anak bongsu dengan penuh kasih. Diberinya segala apa yang perlu kepada anjing itu. Namun, sebagaimana biasa, minat anak itu tidak lama.   Tidak sampai enam bulan, dia sudah tidak meminati anjingnya. Malah, yang menendang, memaki dan mencemuh anjing itu bukan lagi si ayah tetapi si anak bongsu tadi. Dia sudah tidak lagi bertanggungjawab ke atas anjing yang sudah dewasa itu.   

Setiap hari, si ibulah yang memberi makan kepada anjing berkenaan. Setiap malam, setelah pulang dari memandu lori, si ayahlah yang membawa anjing itu berjalan-jalan.   

Perubahan tanggungjawab dari tangan si anak bongsu ke tangan si bapa pun ada juga hikmatnya. Kini, si ayah sudah tidak panas baran lagi. Hatinya semakin lembut. Malah dia sudah boleh bermesra dengan anjing peliharaannya secara terbuka. Dia sudah tidak bimbang dipandang orang sewaktu dia menunjukkan kasih sayang secara terbuka.   Cuma, anak-anaknya pula sudah semakin menjauhinya. Mereka lebih senang meluangkan masa bersama-sama rakan-rakan. Makin si ayah cuba mendekati mereka, makin jauh mereka pergi. Makin dia cuba menunjukkan kasih sayangnya terhadap anak-anak, makin mereka menganggapnya sedang cuba mengongkong hidup mereka. Atau cuba mencerobohi hidup mereka berlima.   Begitulah pada suatu subuh, si anak sulung marah-marah apabila si ayah menghalangnya daripada keluar bersama rakan-rakan. Mulalah si anak menuduh si ayah sebagai lelaki kolot yang tidak memahami jiwa remaja.   Anak-anak yang lain juga mula meluahkan perasaan tidak senang terhadap sikap ayah mereka. Malah si anak bongsu juga. Si ibulah yang menjadi semacam orang tengah.   

“Tak baik kau melawan ayah,” katanya kepada anak sulung.  

“Dan tak baik ayah menghalang kebebasan saya!” bentak si anak; dan segera pula disokong oleh anak-anak yang lain.   

Tanpa sebarang kata, si ayah segera mendekati anjing yang diikat di luar pintu rumah. Dipegangnya rantai anjing dan dibawanya keluar pintu pagar.   “Anjing itu telah menjadikan hati suamiku terlalu lembut sehingga dia sudah tidak berupaya untuk marah-marah lagi,” kata si isteri kepada diri sendiri; entah dengan genbira atau dengan kecewa.   

Si ayah tidak bersuara sepanjang dia membawa anjingnya berjalan-jalan. Si anjing pula semacam menyedari keadaan fikiran dan jiwa tuannya. Lalu ia tidak berjalan terlalu cepat mahu pun terlalu lambat. Ia hanya berjalan beriringan dengan tuannya.   

Pagi masih terlalu awal. Tidak banyak kenderaan di jalan raya. Lelaki itu dan anjingnya berjalan meredah subuh yang masih dingin.   “Bukankah anjing ini lebih memahami saya?” fikir lelaki itu sambil terkenangkan saat anjing itu mula-mula datang ke rumahnya.   Sekitar pukul tujuh pagi, barulah lelaki itu pulang ke rumah. Anak-anaknya sudah keluar. Ada yang ke sekolah dan ada yang keluar bersama rakan-rakan. Tinggal si ibu sahaja.   

“Mana anjing?” tanya si isteri apabila suaminya masuk ke dapur.   “Saya tambat di luar sana. Nanti awak lepaskanlah ia selepas saya pergi. Kalau dilepaskan sekarang, ia akan mengekori lori,” katanya sebelum masuk ke bilik mandi.   

Selepas mandi dan bersarapan, dia pun bersiap-siap untuk keluar. Dia perlu membawa lori ke bandar. Ada seorang rakan yang meminta bantuannya untuk memindahkan perabot rumah.   

Perjalanan ke bandar tidak kurang jauhnya. Mujurlah dia menggunakan lebuh raya. Tambahan pula, tidak banyak kenderaan di jalan raya pada pagi itu. Cuma, bayaran tol ternyata semakin melambung.   Sepanjang perjalanan, dia terus berfikir tentang anak-anaknya yang semakin tidak menurut kata-katanya. Dan dia segera pula teringatkan anjing yang dipelihara.   

Dulu, di lebuh raya inilah dia pernah merancang untuk membuang anak anjing yang dibawa pulang oleh anak bongsunya. Dia bercadang hendak mengangkut anak anjing itu di belakang lori. Kemudian, mahu dilepaskannya di tepi lebuh raya.   

Biarlah anjing itu pergi ke kawasan perumahan tidak jauh dari situ. Mungkin ada orang yang sanggup membelanya. Atau boleh sahaja anak anjing itu hidup sendiri sebagai anjing jalanan.   

Tetapi bagaimana jika anak anjing itu tidak berjalan menuju ke kawasan perumahan? Bagaimana kalau ia berjalan masuk ke lebuh raya? Tentu peluang untuknya terus hidup teramat tipis!   

Kenderaan di lebuh raya bukannya dipandu perlahan. Dia sendiri sudah puluhan kali loya melihat bangkai anjing yang berkecai dilanggar kenderaan. Malah sekali itu, dia sendiri terlanggar seekor anjing. Tetapi dia kurang pasti. Dia tidak memberhentikan lori untuk melihat sama ada anjing yang melintas di hadapannya terselamat atau mati dilanggar.   

Memikirkan semua itulah yang membuatkannya mengubah fikiran enam bulan dahulu. Dia tidak jadi melepaskan anak anjing berkenaan di tepi lebuh raya. Dibiarkannya sahaja si anak bongsu memelihara anak anjing berkenaan. Dan kini dia pula yang terpaksa menjaga anjing itu yang sudah pun dewasa.   

Kerja mengangkut perabot untuk dipindahkan ke rumah baru rakannya tidak mengambil masa yang lama. Maklumlah, si bujang itu tidak mempunyai banyak perkakas rumah. Menjelang pukul dua belas, semuanya sudah beres.   Sewaktu pulang, lelaki itu menggunakan lebuh raya yang sama. Entah mengapa fikirannya terus tidak tenang. Mungkin memikirkan tentang sikap anak-anak yang semakin tidak patuh dan semakin tidak takut padanya. Atau memikirkan bagaimana anjing yang dipelihara lebih patuh kepada arahan tuannya.   

“Bukankah anjing itu lebih memahami saya?” fikir lelaki itu sambil berkali-kali terkenangkan kembali saat anjing itu mula-mula datang ke rumahnya lebih enam bulan lalu.   

Tiba-tiba dia menekan brek. Lorinya berhenti secara mendadak. Tayar yang bergeser pada jalan bertar di lebuh raya menghasilkan bunyi yang hebat dan bau yang kurang enak.   

Lelaki itu meluru turun. Seekor anjing berlari laju sambil sesekali menoleh ke arahnya. Dia menghembus nafas lega. Mujurlah dia tidak terlanggar anjing itu yang melintas lebuh raya sebentar tadi.   Daripada cara anjing tersebut berlari, lelaki itu pasti bahawa ia tidak cedera. Lalu, dia masuk semula ke lori. Kali ini dia memandu lebih berhati-hati. Mana tahu kalau-kalau ada lagi anjing yang melintas lebuh raya sesuka hati.   

Apabila dia sampai di hadapan rumah, isterinya bergegas keluar.  Belum sempat dia mematikan enjin, si isteri sudah berdiri di tepi lori.   “Kenapa? Anak-anak tidak apa-apa, bukan?” tanya lelaki itu dengan penuh bimbang.   

“Anjing!” Si isteri menjawab cemas.   

Lelaki itu faham apa yang dimaksudkan. Tentu sesuatu sudah terjadi ke atas anjingnya. Mungkin sakit. Mungkin kemalangan.   “Patutlah hati saya tidak tenang sejak tadi. Apa yang berlaku?”  

“Anjing dah hilang,” si isteri menjelaskan.   

“Hilang?” tanyanya dengan hairan. “Sejak bila?”

   “Pagi tadi, selepas abang keluar, saya pergi untuk membuka rantai. Tapi anjing itu dah tak ada.”   

“Rantainya putus?” tanya si lelaki sambil bergegas ke arah pagar di mana anjing berkenaan selalu dirantai.   

“Rantai pun dah tak ada. Mungkin abang tak tambat elok-elok pagi tadi,” si isteri meneruskan dengan suara bimbang. “Saya risau kalau-kalau rantai itu tersangkut di mana-mana semasa anjing itu lari. Macam mana kalau rantai tersangkut di tengah jalan?”   

Jantung si lelaki semakin berdebar-debar membayangkan kemungkinan seumpama itu. Dia tidak mahu anjingnya mati dilanggar kereta atau lori atau bas. Dia mahu anjingnya mati secara semula jadi; tanpa terseksa dan menderita. Itu pun bukan sekarang. Biarlah anjing itu hidup lama; hingga tua. Kemudian mati secara yang tenang.   

“Mungkin abang tak ikat elok-elok pagi tadi,” si isteri mengulangi; bukan untuk menyalahkan suaminya, tetapi sekadar untuk menenangkan fikirannya sendiri yang runsing dan cemas.   

Lelaki itu tiba-tiba berdiri kaku. Tercungap-cungap. Terbeliak. Kemudian bergegas ke arah lori. Isterinya menurut. Sampai di bahagian belakang lori, si lelaki meraung. Dia merentap-rentap rantai yang masih terikat pada badan lori.   

Masih ada cebisan daging melekat padanya.


BALIK