HUJAN BELUM TURUN DI JAKARTA

Oleh: Faisal Tehrani


ALI SABDA,

Memang hujan belum turun-turun lagi di kota kita ini. Barangkali menanti kepulanganmu. Ayuh Ali, marilah sama-sama berjuang demi pembaharuan negara bangsa kita.

Untuk apa lagi kau berada di negara orang, merantau membawa hati lara. Kadang-kadang aku enggan faham perangaimu ini, beginikah sikapnya seorang pejuang? Aku sangkakan kau teman, punyai peribadi yang kuat dan tidak mudah tewas oleh cinta sesama insan.

Barangkali kau sendiri sudah merasa kehangatan reformasi di sini. Aku dengar hangatnya tiba di Kuala Lumpur. Aku sebetulnya agak terkejut bila diutusi olehmu. Memang engkau terlalu lama di Kuala Lumpur, kau cepat kerusuhan bila dua tiga rakan mahasiswa kita hilang begitu sahaja di Medan dan Ujung Padang. Kau kukira bersikap tergesa-gesa dengan berangkat ke Malaysia. Namamu memang mekar dalam senarai pihak berkuasa tetapi ketakutanmu nyata membeloti. Aku faham, selain tertekan dengan unsur luaran, kau juga patah hati apabila Sitiwati tidak memilihmu tetapi mengambil Budiman Basri sebagai suami. Argh, cerita ini cerita keremajaan Ali, alangkah baiknya kalau pemikiranmu sematang dulu. Kau bertindak terburu-buru. Merantau ke luar tidak mengembangkanmu!

Kau tanyakan tentang Amien Rais, iya dia memang tokoh baru yang menonjol tetapi kukira tidaklah terlalu segar sehingga tidak wajar dikenali. Dr Amien aku lihat lebih berpihak kepada kepentingan bangsa Indonesia dari bercakap soal reformasi. Dia meledak dengan isu suksesi nasional. Katanya, kerana pemerintah telah terlalu lama bertahan, maka yang ada kini ialah kebekuan politik, rakyat amat takut untuk berfikir dan melakukan perubahan. Apa yang salah sudah dikelirukan sehingga massa menyangkakan ia betul. Orangnya hangat mengkritik - semua, korupsi, kolusi, nepotisme, manipulasi dan kehancuran ekonomi - apa yang dikira menarik barangkali telahannya yang mengatakan kemerosotan nilai rupiah bakal membibitkan kebangkitan mahasiswa dan reformis; langsung menjatuhkan Suharto, menjadi kenyataan. Kau masih ingat peristiwa estet emas Busang di Kalimantan, bagaimana penguasaan saham diberi lebih 90% kepada orang asing…tanya Amien tidakkah pasal 33 ayat 3 UUD 1945, ada tertulis bahawa bumi, air dan kekayaan alam yang terkandung di dalamnya milik negara dan manfaatnya untuk bangsa Indonesia, jadi mengapa boleh sampai teralir ke luar? Akibatnya dia 'dipaksa' berundur dari Dewan Pakar ICMI yang kau pun tahu dipelopori oleh Presiden kita sekarang ini - Pak B.J Habibie.

Kalau dalam hal-hal ekonomi, katanya kita menuai badai ekonomi yang begini buruk kerana ulah satu dua oknum sahaja ditingkat tertinggi piramida kekuasaan, yang sudah tidak mahu melihat lagi kenyataan-kenyataan yang dialami rakyat. Inikah realitas yang kita ingini Ali?

Setakat ini sahaja, Ali. Kami menanti kepulanganmu, banyak perubahan yang memerlukan tenagamu untuk bersama digemblengkan.

Sahabatmu, Hussein Sina.

Ali Sabda melipat helaian surat itu, tersenyum, dan menyedut kretek lebih dalam.

"Lho senyum seorang diri…" usik Affandi, teman sebiliknya.

"Gue teringatkan kisah-kisah lama. Aduh, pejam celik sudah dekat sepuluh tahun gue mengungsi ke sini. Bermula jadi buruh saja sekarang gue menyambung belajar di Universiti Malaya ini…"

"Teringat siapa? Gadis Yogyakarta itu ya?"

Ali Sabda senyum. Asap berkepul dari mulut, keluar dari hidung. Wajah Sitiwati yang sedikit tembam dan mata berair, bibir mongel berhidung mancung dengan bulat di atas mengkhayalkannya seketika.

"Dia sudah jadi milik orang."

"Udah gitu, untuk apa lu kenang?" Affandi terbaring di atas katil. "Affandi, gue rasakan masanya telah tiba…"

"Hemm, masa untuk apa…" Affandi perlahan-lahan terlelap.

Ali Sabda lebih tersenyum. Tangannya mencapai pena. Dia ingin menjawab surat Hussein Sina itu lekas-lekas.

Hussein Sina,

Bukanlah aku tidak mengenali langsung Amien Rais. Aku sudah agak lama mengekorinya, sejak dia belum begitu vokal. Aku sedari pandangannya betapa masalah ekonomi suku-sakat dan masalah jurang kaya dan miskin ini bernatijah dari fenomena anti tauhid. Kerana kurang memahami apa itu tauhid Uluhiyyah - segala hidup mati untuk-Nya, sebagai ilah - dan tauhid Rububiyyah - kefahaman Allah sebagai Rab, sebagai penguasa - maka masyarakat kita semakin kacau. Aku ikuti juga pemikirannya, mengenai kemasukan golongan ulama dan pemikir Islam ke dalam pemerintahan akan mengakibatkan dua perkara.

Pertama, menjadi semacam moral pengawas kepada kerajaan tetapi yang kedua nampaknya lebih menjadi iaitu; kemasukan mereka menjadikan pemerintahan yang bersifat autoritarian menjadi lebih autoritarian atau lahir pula pemerintahan yang lebih kejam dalam bentuk baru. Aku sedar, demokrasi padanya adalah perkakas untuk mencapai praktik etika keagamaan. Demokrasi kita amalkan untuk kembali kepada prinsip masyarakat bertauhid.

Aku akur dan bersetuju dengan kata-katanya: Indonesia negara yang pihak eksekutifnya sangat kuat, peran lembaga legislatif dan institusi pemerintahan lainnya akan menjadi sangat lemah, terutama dalam proses pengambilan keputusan, aku setuju yang Dewan Perwakilan Rakyat itu hanya tukang stempel semata, yang tugas utamanya adalah melegitimasi keputusan-keputusan yang dibuat oleh eksekutif dan birokrat. Tukang angguk dan tukang sorak.

Akan tetapi memilih Islam akan mengundang kemarahan kuasa besar Hussein, jangan lupakan itu. Apakah Amien telah tetap hati dan memikirkan hal itu? Sekarang pun sudah ada yang mengaitkan konspirasi zinonis sedunia yang mengakibatkan kemelesetan ekonomi rantau nusantara ini dan Asia secara umumnya. Atau tuduhan kepada yahudi itu, mungkinkah sekadar ingin menutup kelemahan diri. Kerana pembohongan berulang kali nanti akan kelihatan benar!

Adapun Sitiwati, aku telah lama melupakan kekasih hati itu. Kadang-kadang aku akui, aku merinduinya tetapi masa telah banyak merubah, derita merantau di negeri orang juga mengajar aku. Hussein, kau tidak adil bila menuduh aku cepat patah hati kerana wanita dan takut dengan tekanan. Sebetulnya aku mengalami perubahan yang menggelodak. Keluargaku dalam susah, aku terpaksa berkorban setelah ahliku diugut dan diancam secara halus. Bukan aku lari ke sini kerana membeloti perjuangan, malah aku berbangga dan mendokong dari jauh keazaman rakan-rakan mahasiswa yang tidak mahu berundur-undur itu dan aku sesungguhnya seperti kalian, menyokong Amien hingga ke tangga Presiden. Biarlah 'Jalan Cendhana' menerima hukuman mengikut lunas undang-undang. Bukan mengikut hukuman emosional dan nafsu semata-mata. Begitulah tanggapanku. Adapun soal pulang, masa saja yang menentukan.

Sahabatmu Ali Sabda.

Kurang lebih seminggu utusan itu tiba mengetuk pintu pos kamar Hussein. Surat berstem Malaysia itu cepat membuak rasa ingin tahunya. Dia meneliti khabar termuat dan tanpa lengah, mencapai pena. Buku Saya Siap Jadi Calon Presiden - kumpulan tulisan, ucapan dan wawancara Dr.HM Amien Rais yang sedang ditatap bubar seketika.

Ali Sabda,

Aku kira hujan belum mahu turun lagi di Jakarta ini. Cuaca masih panas berbahang dan cepat menepuk debu ke udara. Bagaimana di sana? Aku kira lembap dan dingin.

Apa maksudmu dengan gangguan kuasa-kuasa besar? Barat? Aku ingin memetik kata-kata Amien tatkala diwawancara untuk majalah Umat yang tidak kuingat bila tarikhnya. Kata Amien: kita tak perlu gentar berhadapan dengan Amerika, bila kita punya politik, sosial dan ekonomi yang sihat. Ibarat orang sihat, sekalipun diletakkan di cuaca yang panas ataupun dingin, maka dia tetap sihat. Tapi kalau sakit, kena angin sedikit saja sudah terjungkal. Yang penting, jangan gentar dengan gebrakan super power Amerika di masa datang, selama kita memang sihat di bidang-bidang itu. Tapi kalau sakit, jangankan melawan Amerika, melawan negara yang lebih lemah pun kita tidak siap.

Masalah samada kejatuhan ekonomi kita angkara barat atau tidak, nah sudah terjawab! Kalau badan kita sihat tidak mungkin kita akan mudah menerima penyakit.

Baguslah kalau ingin sekali mendokong usaha kami mengiring Amien ke tangga Presiden. Kita sebagai bangsa Indonesia harus berasa gembira kerana sudah ada di tengah kita seorang lagi Ali Shariati, atau Malik Ben Nabi, intelek yang turun mengenal susah senang rakyat. Intelek yang bercampur dengan kekuasaan tertinggi hanyalah alat atau mereka sendiri memang tidak pernah puas memenuh perut sendiri.

Aku juga tertarik dengan Megawati Sukarnoputri tetapi belum ada kejelasan yang dapat mendorong aku sampai mahu mendokongnya pula. Dia bagus, antara pencorak politik nasional tetapi aku mahu lebih berhati-hati dengan orang sepertinya. Aku lebih suka memilih Amien dengan gagasan tauhid. Tauhid adalah asas individu dan umat masyarakat, teguh tauhid teguhlah masyarakat. Memilih tauhid memilih keselamatan.

Pulanglah Ali, keadaan sudah banyak berubah. Partai-partai politik mulai ditubuhkan. B.J Habibie saban hari terus didesak melakukan pemulihan demokrasi yang benar-benar meyakinkan. Atau diminta turun terus. Penerbitan-penerbitan tidak lagi dibatasi berita-beritanya, golongan reformis sungguh kuat perkasa. Adik-beradikmu pun sudah berdaya maju sendiri. Adikmu Lili Yati antara pengunjung Rumah Muhamadiyyah saban minggu. Aku rasa dia sendiri telah mengkhabarkan kepadamu.

Sitiwati telah melahirkan anak lelaki tepat jam 9.10 pagi 21 Mei 1998, saat di mana Soeharto tunduk kepada kuasa kita orang-orang kecil. Kami namakan dia anak reformasi dengan ikrar; untuk merubah seluruh sistem bukan sekadar menyingkir seorang tokoh. Kerana tokoh meski pergi kalau sistem tidak terpongkah sama, untuk apa darah yang memercik di jalan-jalanraya dan pasaraya seluruh kota sebelum pagi 21 Mei itu?

Tahu bapanya namakan anak itu apa?

Nama bayi comel yang sihat itu - Ali Sabda Bin Budiman Basri.

Pulanglah Ali, aku dapat rasakan, kepulanganmu akan disambut hujan yang telah lama tidak kunjung tiba…

Pena Hussein gamam. Dakwat henti mengalir. Telinga bergerak kecil menyambut bunyi luar biasa itu. Di luar tiba-tiba titis hujan mengeras menimpa bumbung zink. Satu-satu menimpa sebelum berjuraian dambar menjadi kencang dengan deru angin yang berombak tidak tersangka. Hussein separuh tersentak. Dan air tiba-tiba mencurah hebat. Dia bergegas bangun, menuju ke jendela. Ingin menutup dedaun tingkap supaya tempias tidak membasahi dan melecak lantai kamar uzurnya; sebelum terpegun melihat tampang yang dikenalinya di luar; di seberang jalan. Susuk tubuh tegap besar, bermata besar dan dalam, bibir tebal dan dagu panjang berlekuk. Dia terlalu mengenali bentuk tubuh itu. Lelaki dengan galas beg sederhana.

Hussein berlari keluar dan dalam tangis hujan rahmat di Jakarta, dia mendakap sahabatnya, Ali Sabda.

"Lu pulang juga sahabat!" esak air mata berbaur dengan timpaan hujan mengharukan. Ali Sabda memaut kuat bahu Hussein Sina.

Cengkaman itu makin erat dan hujan Jakarta makin lebat.


CATATAN:

Saya sangat menghargai beberapa bahan ini yang telah ikut membantu memeriahkan informasi dan ilmu bantu cerpen ini, antaranya: Tulisan Shaharom TM Sulaiman, Amien Rais, Muhammadiyah dan Tuntutan Reformasi, Massa 6 Jun 1998. Suara Pembaharuan Daily - Amien Rais di Hadapan LSM Eropa, kutipan laporan Zohra Andi Baso dalam Konferensi Infid ke 11 berjudul Indonesia: Democratization In The Era Of Globalization. Laporan Imam Wahjoe dan Firman Adi Juwono (Yogyakarta) Copyright 1996 di bawah 1995 Indonesian Society dan laporan majalah Umat tanpa tarikh, kedua-duanya dimanfaatkan dari layar internet.


BALIK