KISSATEN TEDUHAN ESOK

Oleh: Faisal Tehrani


MALAM meraung melolong memanggili purnama ke muka langit gelap, tetapi tidak bersambut, kecuali langit hitam bukat tanpa awan, tanpa bintang-bintang bercahaya cerah. Sebelah utara sudah mulai diusik bahana dingin, keping-keping salji halus sesekali kasar dan besar lebar telah mencuri-curi jatuh ke bumi.

Hujan gerimis di luar.

Cuti hujung minggu, mendadak rasa rindu mencubit sukma kepada Junaidah di Tokyo. Kebetulan, amat berhasrat menemui penulis Malaysia (amat digemarinya), Saudara Anwar Ridhwan yang berada di Tokyo University Of Foreign Studies, sebagai Profesor Pelawat Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Pun sudah lebih tiga bulan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah tinggi di Kyoto University, dia belum sempat menjengah Tokyo, apatah lagi menziarahi Junaidah - sahabatnya sejak bersekolah yang kini dimiliki seorang pegawai diplomat di Kedutaan Besar Malaysia. Dalam hati, kerana suasana RM tidak mengizinkan, dia cuma berjimat untuk shinkansen-hikari yang memecut bagai peluru, selebihnya dia rasa lelah untuk membeli-belah - barangkali yang termampu ialah berpusingan seputar Shinjuku atau menelan air liur melihat baju-baju serba cantik terpamer di kedai-kedai daerah Ginza.

Kemudian, secara tiba-tiba dia dihubungi Tan Sri Hasnol - dia separuh menjerit mendengar suara romantik itu -

"Saya di Tokyo. Saya amat ingin berjumpa dengan Nurhilyati. Harap Yati tak keberatan…"

"Tentu, saya sendiri bercadang nak ke Tokyo petang Jumaat ini. Eh, kenapa tiba-tiba di sini?" Nurhilyati tidak dapat menahan rasa riang. Ada juga rasa hairan dan tertanya-tanya.

Tan Sri Hasnol, membiayai pengajian sejak dari sekolah menengah lagi dan kehadirannya di Kyoto University itu sendiri atas tajaan Yayasan Tan Sri Hasnol yang sekian lama mengutusi sejumlah anak bangsa untuk menuntut di luar negara. Dan kerana dia anak yatim, Tan Sri memberi perhatian khas, dianggap semacam bapa angkat, malahan Allahyarham Puan Sri Delilah selalu menyatakan rasa sayang. Cuma jodoh cuba diatur antara diri dengan anak bongsu Tan Sri Hasnol, Basri kurang menjadi - bertentangan apa yang dirancang manusia dengan apa termaktub di langit, fikirnya memujuk rasa kecewa - pun dia sedar dirinya siapa. Dan dengan reputasi 'bakal menantu tidak jadi' dan hubungan rapat 'penaja' dan 'orang yang ditaja' dia merasa amat terpanggil untuk menyambut Tan Sri Hasnol yang sudah tidak ditemui lebih dua tahun.

"Saya ada urus niaga di sini dan…err…ada perkara saya perlukan pandangan dari Yati sebagai tokoh intelektual yang dipelihara dari awal…" Tan Sri Hasnol di hujung ketawa resik.

"Untuk uncle any time."

Dan malam ini dia di Tokyo. Di rumah Junaidah, merenung ke luar jendela malam yang basah. Dia berasa kesepian membalut menggigit kujur tubuh.

"Kyo -nen no fuyu wa zuibun samukatta desu ga, kotoshi wa atataka de taihen raku desu." (Tahun lepas musim sejuknya sangat dingin, tetapi tahun ini ia agak hangat dan selesa). Junaidah masuk ke kamar tumpangan tanpa memberi amaran. Senyum meriah diberikan dan segera menepuk bahu sahabat lama.

"Betul…kotoshi wo kyonen hodo samuku arimasen" (Betul, tahun ini tidak sesejuk tahun lepas). Nurhilyati ketawa nipis dengan penggunaan bahasa Jepun, memberi ruang untuk Junaidah duduk bersimpuh di atas futon (katil Jepun tanpa kaki) menghadap ke tingkap luar yang agak rendah. Hujan semula, renyai sebelum perlahan-lahan melebat.

"Sudah tiba masanya. Kita perempuan Yati, kau lebih-lebih lagi, tiada saudara mara."

Dia cuma angguk. Memang dia buntu oleh pertemuan dengan Tan Sri Hasnol itu. Sangkanya memang Tan Sri Hasnol semata-mata ingin mendengar pandangan bernas ahli akademik mengenai kesusutan ekonomi yang melanda negara khususnya dan dunia amnya. Akan tetapi di sebalik mendapat manfaat diskusi, ada maksud lebih besar tidak terjangka terlafaz dari mulut lelaki itu. Serba salah sungguh.

Junaidah memegang punggung tangan Nurhilyati. Dan dia mengelamun mengenangkan pertemuan dengan Tan Sri Hasnol di kissaten (kedai kopi Jepun) Teduhan Esok milik beliau di pinggir Shinjuku, ke timur stesen yang berpusat di Kabukicho.

"Saya mahu Yati jujur, lupakan status saya sebagai tokoh korporat tanahair…jangan ingatkan hubungan rapat saya dengan pemimpin-pemimpin parti dan politikus. Benamkan saja. Yang mesti ada di dalam benak Yati, diskusi spontan, jujur dan saya mahu dengar pandangan benar-benar akademik."

Nurhilyati masih membiarkan mata merayau menyeluruhi ruang kissaten Teduhan Esok. Lagu Keroncong duet Nora dan Pak Hussein menerawang bergema di ufuk telinga melantun di gegendang. Memang dia telah lama mengenali kissaten sebagai kafetaria minuman atau makanan ringan yang sedikit terekor dengan gaya kedai kopi Inggeris atau Perancis. Dia juga kenal kissaten sebagai tempat pertemuan secara tidak formal, ahli politik, seniman dan ahli niaga. Baru kali ini dia mencuba. Malah, sedikit terkejut mendapat tahu Tan Sri Hasnol memiliki rangkaian kissaten Teduhan Esok yang popular di Tokyo, Sendai, Kobe, Kitakyushu, Hiroshima dan Niigata. Kissaten dicantikkan dengan hiasan dalaman ukir Melayu yang mengkagumkan, bumbung Minangkabau, tangga ruang dalaman - marmar gaya seni bina Melaka dan bentuk jendela Bugis menggamit kehadiran pelanggan. Hidangan di sini, kuih-muih Melayu dari kuih koci ke kuih tahi itik. Turut disaji hidangan Jepun paling popular seperti yakitori ke ramen serta nigirimeshi. Pada bilik-bilik ditempah khas, pelanggan mendapat privacy, berbincang apa sahaja sambil bermain majan, sejenis mahjung Jepun. Kalau mahu memilih permainan congkak pun ditawarkan. Lebih disesuaikan budaya Jepun dengan Demae (perkhidmatan penghantaran) begitu popular, apatah lagi pemberian tips tidak diperlukan.

Tan Sri Hasnol menghirup teh tarik dari gelas. Nurhilyati mengetis nagasari dari piring sambil mencicip kopi o suam perlahan-lahan. Mata Tan Sri Hasnol berkaca-kaca memandangnya. Dia gelisah dari awal. Pandangan itu dirasakan bukan pandangan meminta pendapat jitu tetapi lebih kepada pandangan yang sukar ditafsirkan. Namun dia menyembunyikan resah dan menuang pengetahuan berkisar kemelesetan ekonomi.

"Kenapa uncle risaukan kemelesetan ekonomi saja, kemelesetan akidah, kemelesetan akhlak tak banyak orang bimbang seperti ini..." Nurhilyati memancing. Ia mengundang senyum comel Tan Sri Hasnol. Hampir-hampir sarjana wanita itu cair, memang dia orang tua yang muda serba-serbi. Lihat sahaja lesung pipit terbenam pada kedua belah pipi. Lemas!

"Kita mendokong penuh sistem kapitalis dan kita ditindas, kenapa masih nak pertahankan sesuatu yang menyeksa kita?"

"Maksud Yati ?"

"Ambil sistem lain."

"Sistem sosialis? Sistem Islam…apa?" Nada mendesak.

"Yahudi mencipta kerangka sistem kapitalisme ini. Yahudi perkenalkan penggunaan mata wang kertas. Kerana mata wang kertaslah yahudi boleh kuasai sesiapa dikehendakinya dan memperhambakan kita tanpa disedari. Jangan berlagak tidak tahu. Jenayah wang itu boleh berlaku kerana mata wang kita seluruh dunia dari kertas. Kenapa kita nak marahkan Soros atau spekulator mana pun, kita telah lama terima cara dia…"

"Jelaskan lebih lanjut…"

"Ini adalah masalah piawaian mata wang. Setelah jatuh institusi khilafah pada 3 Mac 1924 kita telah mengambil piawaian mata wang lain. Amerika menghapuskan piawaian emas pada zaman Nixon, ini gesit sebabkan nilai tara kewangan antarabangsa kalut. Sebagai ganti; nilai duit kita ditentukan oleh duit negara lain iaitu rakan-rakan perdagangan yang besar. Jelas, niat Amerika atau dalang yahudi, mahu menjadikan dolar sebagai standard monetari dunia, dengan ini ia boleh memahkotai aset antarabangsa di pasaran dan menguasai penuh kekayaan. Sistem mata wang emas hancur lupus dan ini menyusahkan pengiriman wang, barangan dan golongan pekerja." Nurhilyati berhenti sejenak, menghirup kopi makin sejuk. Lelaki terhormat di hadapan merenung. Renungan manja bergaul kasih belum disedari.

"Bagaimana sistem mata wang Islam?"

"Baik, rujuk - Islam, suatu ideologi menggabungkan akidah dan permasalahan kehidupan manusia. Piawaian mata wang Islam ialah emas dan perak…tengok dalil-dalil pada al Quran dan Sunnah. Wang dalam Islam mestilah dalam emas dan perak. Tidak kiralah apa namanya - uqiyyah, dirham, daniq, qirath, mitsqal dan dinar."

Tan Sri Hasnol angguk, seingatnya perkara ini pernah disentuh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dalam Warkah Eropah, ketika memperkatakan mengenai buku Ian Dallas (nama Islam Sheikh Murabitun). Dan serasa-rasa inilah juga wilayah yang dianalisis oleh Nurhilyati untuk kajian MA.

"Kebaikan mata wang emas terlalu banyak…aktiviti monetari tidak akan terkesan oleh tekanan luar, sehingga mengakibatkan turun naik harga barangan dan gaji. Duit emas dan perak tetap. Saudagar antarabangsa tidak gentar bersaing kerana nilai tidak berubah."

"Pada Yati, kenapa sampai jadi begini?"

"Jangan salahkan sesiapa. Semua kerana salah urus. Kenapa sebelum ini ada penyelewengan ekonomi kita tak pernah buka mulut?" Nurhilyati menghirup setengah cawan kopi.

"O.K…Yati cukup jujur. Terima kasih…tetapi apa yang dicadangkan sebagai perubahan; terlalu besar…kena bawa kepada OIC." Tan Sri Hasnol ketawa dipaksa-paksa. Dalam nurani, sedar ia sesuatu amat serius.

"Betul, tapi apa guna kita pertahankan sistem yang terang-terangan menganiayai kita, kenapa tidak pilih yang memang disarankan Allah?"

"Dalam keadaan sistem di dunia yang amat berbeza untuk kita lakukan sesuatu yang bertentangan, bolehkah?"

"Iya, macam kata uncle tadi, kalau-kalau OIC yang usahakan, secara blok, mungkin ia boleh berlaku. Semoga kita akan terus bertahan, tidak memanggil IMF…ceti segala ceti-ceti di dunia ini."

Perbincangan itu berlarutan beberapa lama lagi. Tan Sri Hasnol kemudian menemankan Nurhilyati berlegar sekitar Lebuh Shinjuku; sesak kedai-kedai serbaneka. Sesak nafas kemengahan di situ, mereka ambil angin di Shinjuku Gyoen National Gardens, dan kala itulah Tan Sri Hasnol melafazkan apa menjadi kerusuhan hati Nurhilyati di rumah Junaidah. Lamaran di sebuah taman! Argh bunyinya seperti romantik?

"Aku tak pernah menyangka Jun…" Nurhilyati menggenggam kedua belah tangan Junaidah.

"Kau tak bersedia atau apa?" Junaidah kuning langsat, rambut lepas dan bermata bulat menyeluruhi wajah Nurhilyati.

"Bukan. Aku jangkakan lain…"

"Jangkaan awal, Basri anaknya? Tengok-tengok yang datang bapanya?" Junaidah ketawa melambak. Nurhilyati menarik muka masam tetapi melihatkan Junaidah beria-ia menekan perut sambil terpingkal-pingkal, dia ikut gelak sama.

"Kau ketawakan aku…" Telapak tangan Nurhilyati menyinggah bahu Junaidah. Mesra.

"Bapanya pun O.K juga. Sekali pandang, bukan dua tiga kali pandang pun, aku rasa bapanya jauh lebih mengkhayalkan dari anaknya…tetapi yang aku tak sanggup, Basri jadi anak tiri!" Junaidah mendorong kemudian ketawa lebih hebat.

"Kau nakal!"

"Tidak, aku serius dan aku fikir kau sudah patut juga serius dengan perkara begini. Kau sebatang kara, elok juga kau terima dia. Kita perlukan lelaki baik Yati…iya, sebagai teduhan untuk keesokan hari. Esok lebih mencabar tahu? Dan untuk cabaran itu diredahi, bukan boleh seorang diri…" Junaidah beralih sifat menjadi seorang berjiwa yakin dan tidak segan menggalakkan.

Nurhilyati terdiam.

"Berkahwin dengan lelaki berumur bertaraf Tan Sri? Tentu umpat dan cemuh berkesiuran. Jangan fikirkan orang, fikirkan diri. Yati, cinta macam angka juga…kalau kena sifirnya, ada jawapan yang sempurna." Junaidah menggosok belakang Nurhilyati.

Petang Ahad itu, dalam keretapi laju pulang ke Kyoto, dia tidak berkelip memandang ke luar dengan pemandangan indah membasahi mata. Hari cerah melintasi beberapa danau segar. Barangkali semua ini mendadak - kejatuhan ekonomi, kesedaran kepada sistem kewangan Islam atau permintaan Allahyarham Puan Sri Delilah supaya dia menjadi pengganti - amat mengejutkan. Dia juga mendadak menerima 'teduhan esoknya'. Dia tahu kasih sayang mudah datang kalau dibaja-baja selalu tetapi tempat berteduh sempurna belum tentu diperolehi di mana-mana.

Jari manis tersarung cincin berlian.

Syukur dalam hati tetapi sesak rasa tidak percaya dan lucu sendiri. Pergi sebagai bujangan, pulang sebagai tunangan. Orangnya pula selayak taraf bapa.

"Status bapa pun bapalah…ini bukan sebarang bapa." Dia terngiangkan kata-kata Junaidah lalu ketawa melayan usikan memori.

Esok ada tempat berteduh.

Dan keretapi peluru bagai terbang menuju destinasi.


BALIK