JA-HEI-LI-YA METROPOLITAN

Oleh: Faisal Tehrani


Pokok tiba-tiba sahaja tumbang dan jalanraya bertol dua puluh lorong bandaraya metropolitan Ja-hei-li-ya macat. Perjalanan dua puluh minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Caligula, negara Roman Ja-hei-li-ya kini sudah jadi tiga jam. Saya terperangkap di dalam teksi berhawa dingin dengan meter sentiasa menambah angka bayaran. Sesekali mengeluh kerana sengsara didera kesesakan begitu. Keadaan basah, jalanraya licin, malah hujan masih menggerimis.

Saya baru sahaja tiba ke Ja-hei-li-ya dengan pesawat Boeing MAS 777, penerbangan dua puluh tiga jam dari Kuala Lumpur amat meletihkan, sekarang dengan pengalaman pahit dikepung lalu-lintas yang entah bila akan reda, saya menyumpah-nyumpah di dalam hati. Saya sempat menatap helaian-helaian pengenalan dalam buku panduan pelancongan Travelling Around Ja-hei-li-ya In 7 Days:

Ja-hei-li-ya, bandaraya terbesar di negara Roman Ja-hei-li-ya, sebuah kota metropolitan dengan populasi lebih empat juta manusia bersendat-sendatan. Bandaraya terbahagi kepada empat bahagian yang berselerakan dengan pelbagai jenis bangsa. Ekonominya mantap, walaupun diketahui, hanya Maharaja dan Perdana Menterinya sahaja yang bising-bising ke seluruh dunia mendakwa begitu.

Pemandu teksi bertubuh sasa, dan lengan serta tangan berbulu itu merungut-rungut tanpa berbutir, ketara dirinya ikut rusuh dengan ekor panjang kenderaan merangkak bagaikan kura-kura di tengah lebuhraya menuju ke pusat metropolitan.

Saya sekarang sedang berbual-bual dengan pemandu teksi ini, untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai negara Roman Ja-hei-liya yang kecil kancil tetapi ada hati untuk berak gajah.

"Sekarang mana ada senang lagi? Semua barang naik…naik…naik…aku baru kena saman ekor. Ini saman ekor gila punya…orang dalam kubur pun boleh kena saman. Semua mahu kutip duit juga banyak-banyak, dulu duit banyak, dia orang bagi habis sana sini. Aiya, saham pun jatuh macam buah durian. Duit pun sudah sama macam duit Rupee juga…" pemandu teksi mulai membebel.

Saya tahu, kalau mahu jelas detak hati nubari sesebuah negara, tanyakan pada pemandu teksinya atau duduk berjam-jam di kedai kopi atau kafetaria, lebih nyata apa sedang bergolak. Khabar yang didapati di sini biasanya tiada fakta atau bukti boleh menyokong tetapi tetap boleh dijadikan pegangan.

"Siapa punya salah?" saya menutup buku panduan pelancongan. Dan meraba kamera di dalam bekasnya , syukur masih bergantung di bahu. Barang-barang lain dalam buntut teksi.

"Ini semua Maharaja Caligula juga punya salah. Dia ini ramai orang kata gila. Dia gila kuasa, gila nama, gila masyhur, dia gila macam-macam…susah mahu ubat oo." pemandu teksi ketawa pahit. Ada radang berbancuh berang pekat tergaul dalam gelas hati. Serasa-rasa tiada gula memaniskan.

"Kenapa semua marah sama ini Caligula juga?" saya mulai terikut-ikut langgam bahasa pemandu teksi.

Jawapannya - ketawa -

"Ini Caligula nama sebenarnya Gaius caesar, cucu Tiberius. Dia dulu, masa baru mula-mula naik jadi maharaja, dia sudah pungut satu budak Gemellus tetapi aiya, banyak gaduh oo. Mula-mula dia suruh akhbar sama tivi sama radio cakap bohong, cakap mereka geng baik, tak ada gaduh-gaduh. Tapi lepas itu dia tendang ini budak jauh-jauh…bagi bunuh terus!" ketawa terus meningkat. Hon berganti-ganti dan si pemandu teksi ikut sama dalam kegilaan pesta hon. Kereta belakang dan kenderaan lain turut menyumbang hingar-bingar. Baru saya sedari, hujan sudah berhenti dan sinaran mentari mulai menyimbah-nyimbah. Ada pelangi melengkung tujuh warna amat mempesonakan.

Honk! Honk! Honk! Honk! Honkkkkkk!

"Bunuh?"

"Aiya, apa mahu hairan, dia kalau mahu bunuh…satu kampung pun dia boleh bagi bunuh…hantar askar…hantar polis tembak semua kasi mati. Nanti dia pakat sama semua hakim bagi kenyataan akhbar kata Caligula betul."

Saya telan air liur. Rasa takut pula beranak-pinak. Sekejam itukah Caligula?

Pemandu teksi menghulurkan naskah akhbar.

"Tengok sama head lines ini suratkhabar."

Saya menyambut akhbar yang diserahkan. Tulisan sanskrit bengkok lurus menyakitkan mata. Judulnya: I Love Myself- Caligula. Saya membaca sedikit laporan ditulis dengan cara menjulang-julangkan kebaikan Caligula itu:

Maharaja Caligula meneruskan lawatan singkat tetapi padat ketat ke Amerika Latin minggu ini. Presiden Carlos Menem dilaporkan mengiringi Maharaja Caligula untuk meninjau kuda yang diberi dalam lawatan baru-baru ini sudah melahirkan anak atau belum. Dalam suatu usaha meyakinkan para pelabur, Maharaja Caligula dalam sebuah sidang media ditanyakan, siapakah pemimpin paling beliau kagumi. Beliau telah menjawab - Saya kagumi diri saya sendiri - beliau dilaporkan menambah kata-kata - I Love Myself - lalu diberi tepukan bergemuruh. Ini adalah kali keempat Maharaja Caligula ke luar negara dalam tempoh sebulan dengan alasan mencari jalan untuk memulihkan keadaan ekonomi yang tenat dan lesu ini.

Saya menarik nafas panjang, terkejut dengan laporan akhbar sedemikian rupa. Begini bunyinya akhbar di negara Roman Ja-hei-li-ya yang gah seantero dunia ini? Apa pentingnya berita maharaja mengaku hebat itu? Kadang-kadang berasa lucu pula. Saya memulangkan semula akhbar tersebut.

"Ini negara banyak kaya, banyak duit…kita punya Maharaja reti habiskan duit sepanjang masa."

"Apa dia sudah buat?" saya terus mencungkil.

Kebetulan kami sedang melampaui sebuah bangunan seribu tingkat berkembar dan ada penghubung pula di tingkat lima ratusnya. Unik dan mewah. Nampak agam.

"Ini bangunan berkembar, dia punya batu nisanlah…" pemandu teksi berdekah-dekah.

"Lagi?"

"Wah, dia ini banyak suka sama hiburan…juta-juta, billion-billion semua habis enjoy…tiap-tiap malam ada konsert. Mahu tengok apa…saya bawa awak ke stadium. Ini malam wah, ada penyanyi dangdut nyanyi…semua orang muda dia bagi ini macam juga…semua khayal lupa juga sama duit jatuh, sama dia bikin harta, sama dia bunuh orang…kalau orang tak ada suka, dia tangkap hantar jel oo. Banyak takut!" pemandu teksi lebih bersungguh-sungguh. Teksi mulai lancar setelah menempuh lebuhraya dua tingkat menuju ke pusat bandaraya metropolitan.

"Kita punya Perdana Menteri nama Abu Jahal…aiya dia banyak jahat juga, orang bunuh anak lepas romen-romen pun dia buat tak reti juga. Ini kabinet hah, semua penuh orang gila juga. Hari itu ahh, dia mahu tangkap sama Imam Malsi."

"Siapa?"

"Ini Imam Malsi orang banyak pandai…perangai baik oo. Dia selalu nasihat sama Maharaja Caligula ini. Itu hari, maharaja sudah declare lagi yang dia itu Tuhan…aiya susah woo, kalau orang gila bagi pegang negara."

"Awak tak takut ke cakap ini macam…nanti kena jel?"

"Aiya, orang gila juga bagi jel orang tak berguna macam gua ini." pemandu teksi bermata sepet tetapi hitam manis itu menggeleng-geleng kepala. Sakit hati sakit perut sakit kepala sakit mata sakit telinga, sakit semua anggota - hidup di bawah pemerintahan maharaja sakit otak.

Teksi mulai meredah bahagian tengah pusat metropolitan Ja-hei-li-ya. Terdapat bangunan-bangunan tinggi megah berdiri. Malah bangunan-bangunan sedang dalam pembikinan lebih berlumba-lumba tegak. Saya melemparkan pandangan ke luar. Kelihatan gadis-gadis semua hanya berbikini atau paling tidak berkemban. Jari telunjuk pemandu menuding ke arah himpunan bangunan berceracak bagai besi-besi tertancap di tanah.

"Ini semua anak beranak dia punya. Dia ini kalau dia benci, anak dia lawan sama dia pun dia boleh bagi bunuh. Semua orang mesti cakap dia betul, kalau kata dia salah alamat nak mampus." pemandu teksi merah padam, telinganya panas berbahang bahkan asap nipis perlahan-lahan keluar dari lubang telinga. Memang dia bengang, fikir saya.

"Perempuan semua suka telanjang. Orang kalau marah perempuan telanjang ini, hantar jel...kalau ada orang baik macam kawan-kawan Imam Malsi itu, semua dia pecat. Ini negara banyak pelik oo, kalau apa Maharaja Caligula buat ada betul juga. Kalau berani lawan…aiya…takut!"

Luka dan resah rupa-rupanya warga Roman Ja-hei-li-ya.

"Kenapa tak lawan?"

"Aiya mulut banyak cabul. Kalau kena tangkap macam-macam jadi oo. Tapi hah gua dengar ada dia punya orang kuat dulu juga mahu kasi dia jatuh juga. Konspirasi hah, orang selalu kata. Sekarang negara banyak susah, semua pakai banyak duit juga. Tapi semua orang sayang juga dengan ini Maharaja Caligula. Kalau Roman Senate minta calon ganti, semua tak berani oo."

"Sebab apa tak berani?"

"Perutlah wooo. Boleh bagi buncit korek semua harta ini negara. Duit orang kerja simpan dalam tabung ramai-ramai pun dia boleh ambil tak bagi tahu sama orang. Dia kata dia mesti tolong ini syarikat, atau ini orang sebab kalau tak bagi tolong nanti lagi susah. Tak ada orang marah pun. Kalau kita bagi tahu sama orang supaya hati-hati, orang ini marah sama kita balik: Caligula bagus!"

Tahulah saya sedikit sebanyak, ramai warga Ja-hei-li-ya yang meluat menyampah dengan maharaja mereka.

Teksi tiba di hadapan Hotel Ja-hei-li-ya Metropolitan.

Saya turun membayar duit, melambai tangan kepadanya dan melangkah masuk ke dalam bangunan hotel mewah berhias indah. Saya menginap di sini selama seminggu dan menempuhi sejenis pengalaman jahiliah yang tidak tergambar lagi dahsyatnya!


Sekarang saya merujuk semula dengan bahan bekalan Microsoft Encarta Encyclopedia.

Caligula, real name Gaius Caesar (12-41), Roman Emperor (37-41), born probably in Antium (now Anzio, Italy), the youngest son of the Roman general Germanicus Caesar and the grandnephew of the Roman emperor Tiberius. His early life in military camps earned him the nickname Caligula (Latin, "Little Boot") because of his small military shoes. Tiberius named his grandson, Tiberius Gemellus, and Caligula joint heirs to the throne, but the Roman Senate and people chose Caligula as sole emperor. Caligula adopted Gemellus as his son but later had him murdered. A clement ruler for the six months, he became a vicious tyrant after a severe illness. Historians believe that he probably went insane. He squandered his fortune on public entertainment and building projects; banished or murdered most of his relatives; had people tortured and killed while he dined; made his favorite horse a consul; declared himself a god; and had temples erected and sacrifices offered to himself. In 41 the officers of his guard formed a conspiracy against him, and he was assassinated.

Saya berada tujuh hari menjelajah seluruh kota Ja-hei-liya dan merasa-rasa hakikat sebenar bandaraya ini. Saya pulang semula ke Kuala Lumpur dengan pesawat MAS 777 selepas seminggu, dengan perasaan lega tidak diapa-apakan. Dalam perjalanan pulang, sesekali diganggu hidangan yang ditatang pramugari dan pramugara, saya menulis mengenai Catatan Seminggu di Ja-hei-liya. Sekiranya anda bersabar sedikit, barangkali anda akan dapat membaca dan mengikuti seminggu pengalaman ngeri saya itu di media tempatan kelak.


BALIK