“Datuk Datang ke Kampung Kami”

Oleh: Uthaya Sankar SB


Di sini saya mahu menceritakan apa yang benar-benar berlaku enam tahun lalu. Tahun 1995.   

Waktu itu saya belum bergelar sasterawan. Saya masih seorang pelajar. Seorang pelajar yang bercita-cita menjadi penulis. Maka kedatangan Datuk ke kampung kami seharusnya merupakan suatu anugerah besar. Sesungguhnyalah masing-masing penduduk berasa bangga kerana Datuk telah sudi menerima undangan bagi merasmikan ceramah yang diadakan.   Saya sebagai seorang peminat sastera tidak sabar-sabar menantikan ceramah yang dijadualkan selama tiga jam itu. Apabila salah seorang rakan memberitahu saya hampir sebulan lalu bahawa Pertubuhan Politik India (PPI) di kampung kami bakal menganjurkan sebuah sesi ceramah sastera di Dewan Besar Siru Kambam, saya sudah dapat membayangkan bahawa jalan bakal terbuka bagi saya mendekati seorang sasterawan. Sudah terbayang dalam imaginasi saya bahawa saya akan mendapat bimbingan dan motivasi untuk berusaha menerbitkan karya-karya saya.   Sesungguhnya saya telah mula menulis sejak berada dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Darul Ridwan. Saya minta rakan-rakan saya membaca cerpen-cerpen yang saya hasilkan. Mereka sukakannya. Malangnya saya belum cukup berani untuk cuba menghantar karya-karya saya ke mana-mana penerbitan.   

Tetapi itu bab lain, saya kira. Apa yang mahu saya ceritakan adalah tentang ceramah sastera itu. Saya agak kurang percaya juga apabila mendapat tahu bahawa PPI Cawangan Siru Kambam sanggup menjadi penganjur bagi ceramah seumpama itu. Sebelum ini, ia biasanya hanya menganjurkan acara-acara pesta, Malam Deepavali, hari sukan, ceramah politik (menjelang pilihan raya), pertemuan wanita dan seumpamanya yang pasti dihubungkaitkan dengan Datuk dan kepimpinan Datuk.   Saya tidak harus berprasangka buruk, bukan? Sepatutnya saya menghargai usaha PPI Siru Kambam menjemput seorang tokoh sasterawan kaum India bagi memberi ceramah. Tambahan pula, karya-karya beliau adalah antara yang paling saya minati. Saya sukakan cara beliau mengangkat tema daripada hidup masyarakat India di negara kita untuk dijadikan bahan cerpen.   Kalau boleh, saya sendiri mahu mengikut jejak beliau. Dan kedatangan beliau ke Siru Kambam merupakan suatu impian yang menjadi kenyataan bagi saya. Judul ceramahnya juga cukup menarik:   

   “Sasterawan dan Pembaca Kaum India dalam Sastera Berbahasa Malaysia: Untuk Apa? Di Mana Mereka? Berapa Ramai? Siapa Mereka? Perlukah Mereka?”     

   Tarikh yang dijadualkan pun tiba. Sejak dua minggu sebelumnya, para ahli jawatankuasa PPI telah memulakan kerja membaik pulih dan menghias dewan. Surat-surat jemputan telah diedarkan; terutamanya kepada para penduduk kaum India – kerana ceramah akan dikendalikan dalam bahasa Tamil. Khabarnya penceramah @ sasterawan itu sendiri yang meminta supaya dibenarkan memberi ceramah dalam bahasa Tamil. Cuma kertas kerja akan menggunakan bahasa Malaysia – kerana beliau kurang lancar menulis dan membaca tulisan Tamil.   

Dan pada pagi Sabtu itu, para AJK segak berpakaian jibba dan vesthi atau anggun bersari baru. Sejak awal pagi lagi Dewan Besar Siru Kambam – yang pada realitinya hanya muat bagi sekitar seratus orang – dipastikan lengkap segalanya: backdrop yang mencatatkan nama Datuk sebagai perasmi ceramah sastera, peralatan pembesar suara dipastikan berfungsi dengan baik, kerusi tersusun kemas. Ringkasnya: semua.   

Sementara menunggu acara bermula, diputarkan lagu-lagu lama yang berentak rancak dan bersemangat. Tetapi sejurus selepas itu, dengan izin Tuan Presiden yang sibuk macam kucing beranak sulung, seorang pemuda memasang lagu-lagu daripada filem-filem Tamil terkini. Kaset lagu-lagu filem Annamalai, Baatcha, Muthu dan Mannan dipasang berulang kali.  

“Datuk belum sampai?”   

Tuan Presiden kelihatan resah. Saya pada waktu itu sudah pun berada di dalam dewan dan sedang meneliti kertas kerja yang diedarkan. Beberapa orang lagi peminat sastera Tamil sedang duduk dalam satu kelompok sambil membelek-belek kertas kerja.  

  “Malu betul,” kata seseorang dalam kumpulan itu. “Penganjur ceramah ini Pertubuhan Politik India. Penceramah pun orang India. Tetapi kertas yang diberi dalam bahasa Melayu. Macam mana kita semua nak baca?”  

“Penulis tu tak boleh menulis Tamil,” seorang lagi menjelaskan sambil menambah: “Entah-entah nanti dia akan cakap Melayu juga!”  

“Apa yang nak dia cakap? Kita dulu banyak juga menulis cerpen dan tersiar di banyak surat khabar Tamil. Tetapi kita tak pun buat ceramah. Dia ini pula buat-buat pandai! Nak menunjuklah tu. Apakah dia akan mampu menyampaikan sesuatu yang kita sebagai golongan penulis Tamil veteran tidak tahu?”   

Saya cuba untuk tidak mengendahkan kata-kata mereka. Mereka cemburu agaknya. Setahu saya, Tuan Presiden sendiri yang menelefon sasterawan itu berulang kali untuk menjemput beliau memberi ceramah di kampung kami. Sebelum ini beliau memang aktif berceramah di serata tempat atas undangan pelbagai pihak. Malah beliau juga sering menulis artikel-artikel berupa bimbingan bagi penulis-penulis muda dalam beberapa akhbar dan majalah berbahasa Malaysia.   

Saya akui mutu karya beliau – karya kreatif serta artikel sastera. Malah, tulisan-tulisan beliau menjadi perangsang kepada saya untuk menulis secara aktif dalam bahasa Malaysia.   

“Tak ada apa-apa berita?”   

Saya memandang ke arah pintu masuk dewan apabila beberapa kali terdengar suara Tuan Presiden bertanya kepada salah seorang AJK yang turut kelihatan resah.   

“Belum tuan.”   

“Sekarang sudah pukul sembilan suku. Tak apalah, masih ada waktu. Lambat pun tak apa. Kita tunggu. Tapi Datuk mesti datang. Kalau tak, sia-sialah segala rancangan kita,” Tuan Presiden berkata lagi dengan suara yang masih berisi kegusaran.   

“Benar, tuan.”   

“Cuba awak telefon Datuk … Ingatkan Datuk …”   

AJK tadi segera pergi untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Saya kembali meneliti kertas kerja. Kupasan yang dilakukan cukup bernas. Sesungguhnyalah sasterawan ini bijak memilih topik. Isi kertas kerjanya menepati judul. Beliau mengupas topik dengan mendalam dan penuh berani. Kalau Datuk sempat membacanya,  pasti telinganya berdesing! Pedas.   

“Oh! Awakkah orang itu?”   

Di pintu masuk dewan kelihatan seorang lelaki berpakaian kemas. Terus saya cam wajahnya yang sering terpampang di akhbar-akhbar dan majalah-majalah berbahasa Malaysia.   

“Awal awak datang!” Kedengaran Tuan Presiden memberitahu beliau. “Datuk belum sampai. Awak duduklah mana-mana dulu. Nanti kami panggil.”   Saya dapat merasakan degup jantung saya. Saat yang saya nantikan sudah tiba. Saya kini dapat bersemuka dengan sasterawan kegemaran saya. Untuk itu, saya perlu bertindak segera. Kalau tidak, orang lain akan mengerumuninya.   

Tetapi anehnya saya terus terpaku di kerusi. Cauma pandangan saya masih tertumpu pada sekujur tubuh kecil di pintu masuk. Tuan Presiden sedang bercakap dengan Setiausaha. Sasterawan itu pula terpinga-pinga di tempat tadi. Para penduduk yang berada di dalam dan di luar dewan tidak mengendahkan kehadiran beliau.   

Aneh! Mungkinkah mereka tidak mengenali beliau? Maklumlah sahaja karya-karya beliau hanya tersiar di media berbahasa Malaysia. Gambar beliau juga tidak pernah terpampang di akhbar Tamil.   Tanpa banyak soal, saya memberanikan diri untuk menghampiri sasterawan itu. Gementar juga saya pada mulanya. Masih was-was. Saya masih ingat bagaimana reaksi yang saya terima daripada seorang penulis karya Tamil tidak lama dahulu.   

Cerpenis Tamil itu datang sewaktu diadakan ceramah umum bagi kaum India menjelang pilihan raya yang lalu. Dia datang bukan sebagai penceramah tetapi sekadar mengiringi seorang tokoh politik dari Kuala Lumpur.   Kedatangannya itu mahu saya gunakan untuk menimba ilmu tentang penulisan. Lalu saya mendekatinya. Saya memperkenalkan diri dan mula bercakap tentang beberapa karyanya yang pernah saya baca. Dia sekadar mengangguk-angguk. Malah dia tidak memberikan reaksi terhadap komen saya tentang karya-karyanya.   

“Macam mana nak usahakan karya kita tersiar di akhbar?” tanya saya kepadanya.   

“Sukar,” katanya. “Awak jadi pembaca sudahlah. Biar orang-orang sastera macam saya yang tulis cerpen.”   

“Tapi, encik … Saya ada hasilkan cerpen Tamil dan bahasa Malaysia …”  

“Awak ingat senang nak terbitkan karya? Dalam bahasa Melayu pula! Awak ingat mereka nak siarkan cerpen orang India dalam surat khabar Melayu?”  

“Tetapi ada juga penulis kaum India yang berjaya sebagai penulis karya berbahasa Malaysia. Antaranya Saroja Theavy dan Uthaya Sankar SB. Karya-karya mereka sudah dibukukan serta sering tersiar di akhbar Mingguan Malaysia dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,” saya membidas. “Saya rasa kita mampu menghasilkan karya bermutu dalam bahasa Malaysia.”   

Terus dia memalingkan muka. Benar. Tidak timbul keperluan untuk saya mengada-adakan cerita ini. Itulah pengalaman peribadi saya berbual dengan salah seorang cerpenis Tamil yang terkenal di negara kita.   Apakah saya akan menerima respon yang sama daripada sasterawan ini? Demikian fikir saya sewaktu berjalan menghampiri pemuda berusia awal tiga puluhan yang masih terpinga-pinga di pintu masuk dewan.   Saya percaya beliau tidak akan bertindak biadab. Setelah membaca karya-karya beliau selama ini, dapat saya bayangkan bahawa beliau berperibadi mulia. Saya teliti gaya bahasa beliau dalam cerpen dan artikel yang tersiar dalam pelbagai media berbahasa Malaysia. Dapat saya lihat ketajaman fikiran – dan kata-kata – beliau. Dapat saya rasakan bahawa beliau benar-benar ingin membimbing bakat-bakat baru dalam bidang penulisan.   

Dan saya mahu mendapatkan izin beliau untuk menterjemah karya-karyanya untuk cuba disiarkan di akhbar-akhbar Tamil. Tetapi apakah editor akhbar akan sanggup menyiarkan karya-karya terjemahan itu? Kalaupun tersiar, akan mampukah pembaca mencerna mesej dalam karya-karya beliau yang terlepas daripada kekonvensionalan isi dan teknik?   Saya terhatikan keliling. Orang ramai masih tidak mengendahkan sasterawan itu. Mereka masih berdiri atau duduk dalam kelompok-kelompok kecil dan berbual tentang hal itu dan hal ini. Sempat saya perhatikan seorang lelaki menjadikan bahagian belakang kertas kerja yang diedarkan tadi sebagai tempat menulis – mungkin senarai barangan runcit yang perlu dibelinya.   

Ada juga yang menjadikan kertas kerja itu tempat abu rokok. Kanak-kanak pula gembira membuat kapal terbang daripada kertas kerja yang tidak dimanfaatkan oleh ibu bapa mereka. Ada pula yang sekadar menggulung-gulung kertas itu dan kemudian meninggalkannya begitu sahaja di atas kerusi sebelah.  

Aduh! Bagaimana kalau penceramah tahu bahawa kertas-kertas yang turut bertaburan di atas lantai dewan adalah kertas kerja yang dihasilkannya melalui kajian yang mendalam itu?   

Sasterawan berkenaan sudah duduk di kerusi dan sedang membaca sebuah buku sewaktu saya sampai di sisi beliau. Saya duduk di kerusi sebelah tanpa rasa kekok. Menyedari kehadiran saya, beliau memandang saya. Senyuman mesra mekar di bibir kami berdua. Terus rasa gementar dan rasa gusar hilang terus dari jiwa saya.   

“Vanakam, ayya.”   

“Vanakam,” balas beliau dengan mesra.   

“Saya sudah banyak membaca cerpen tuan …”   

“Ya? Bagus. Tetapi janganlah panggil saya ‘tuan’. Panggil ‘saudara’ atau panggil sahaja dengan nama. Saudara tahu nama saya, bukan?”   “Ya,” saya menjawab gembira. “Juga nama-nama pena tuan … err … saudara.”   Bermula dengan perkenalan itu, kami mula membincangkan pelbagai hal tentang bidang penulisan sastera. Betullah jangkaan saya: Beliau tidak kedekut ilmu. Pandangan beliau juga kritis. Malah beliau menerima komen saya terhadap karya-karya beliau secara terbuka. Beliau tidak malu untuk mengaku bahawa beliau sendiri sedang ‘belajar’ untuk meningkatkan mutu karya beliau.   

Sedang kami rancak berbincang – bukan sekadar berbual – terdengar suara orang mengumumkan bahawa Datuk sudah sampai. Serta-merta AJK pihak penganjur mengutip kertas-kertas yang bertaburan di lantai dewan dan membuangnya ke dalam tong.   

“Sedih,” sasterawan itu mengeluh. “Kertas kerja saya bertaraf di Siru Kambam.”   

“Agaknya mereka tidak tahu menghargai hasil kerja saudara,” saya menjelaskan dengan rasa malu yang amat sangat. “Tetapi bukan semua orang begitu.”   

“I can see that,” balas beliau sambil memandang orang ramai yang sedang terburu-buru menuju ke luar dewan.   

“Datuk sudah sampai! Datuk sudah sampai!”   

Dari dalam kerumunan para penduduk berhampiran pintu masuk, muncullah Tuan Presiden mengiringi Datuk yang berpakaian kot. Orang ramai sedang mengambil peluang untuk menjabat tangan Datuk. Tuan Presiden pula dengan bangga mengarahkan AJK mengambil gambar beliau yang berjalan di sisi Datuk.   

Akhirnya Datuk sampai ke pentas di bahagian hadapan dewan. Para penduduk yang berkerumun dan mengekori tadi sudah mula mengambil tempat duduk. Kehadiran sungguh menggalakkan; di luar jangkaan saya sendiri! Penduduk Aulong Lama, Aulong, Kampong Boyan serta kampung-kampung berhampiran telah turut hadir.   

Kalau tadi dewan lengang, kini padat. Beberapa puluh orang terpaksa berdiri di bahagian belakang dewan kerana kekurangan kerusi. Malah sejumlah lagi penduduk terpaksa berdiri di luar dewan.   “Saudara tidak ke pentas?” tanya saya.   

“Tunggulah mereka jemput.”   

Sejurus selepas itu, majlis bermula. Sasterawan yang datang sebagai penceramah pun diminta naik ke pentas. Kerusi-kerusi sofa memang telah disediakan di situ. Datuk, Tuan Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Wanita dan sasterawan duduk di sana.   

Majlis bermula pada pukul 10:45 pagi; lewat 45 minit. Pengerusi majlis menjemput Tuan Presiden untuk menyampaikan ucapan aluan. Ternyata Tuan Presiden sekadar memuji-muji kepimpinan Datuk serta mengucapkan terima kasih atas kesudian Datuk “mencemar diri” memenuhi undangan pihak Pertubuhan Politik India cawangan Siru Kambam untuk merasmikan sesi ceramah sastera.   

“Atas saranan Datuk, demi untuk mengelakkan golongan belia terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang kurang bermanfaat, PPI Siru Kambam menganjurkan pelbagai aktiviti mengikut arahan Datuk.” Demikian antara isi ucapan Tuan Presiden yang disampaikan dalam bahasa Tamil yang penuh berbunga-bunga. “Datuk juga pakar dalam bidang sastera. Jadi, diharapkan kedatangan Datuk akan mencambahkan minat membaca karya sastera di jiwa para penduduk kaum India di Siru Kambam. Diharap Datuk akan sudi memperkatakan tentang karya sastera bagaimana yang perlu bagi mewujudkan mobiliti sosial dalam masyarakat kita.”   

Pelik! Siapakah sebenarnya penceramah?   

Kemudian Datuk diundang menyampaikan ucapan perasmian. Beliau memulakan dengan memuji usaha PPI Siru Kambam kerana menganjurkan ceramah sastera. Kemudian beliau bercakap tentang apa yang diketahuinya tentang sastera. Aduh! Mengapa harus memalukan dunia sastera? Datuk memperkatakan tentang penulisan sastera seperti seorang budak berumur dua belas tahun. Di sana-sini beliau sekadar menyelitkan kata-kata daripada Thirukkural, Bhagavad-Gita, Ramayana dan beberapa buku sastera barat.   Saya dapat perhatikan reaksi sasterawan yang cuba bersikap selamba. Beliau cuba menahan tawa. Dapat saya agak apa yang beliau fikirkan: “Mujurlah Datuk bercakap dalam bahasa Tamil dan tidak ada sasterawan serta khalayak Melayu di sini.”   

Kalau tidak, saya sendiri pasti bahawa mereka akan ketawa besar melihat mentaliti Datuk dalam hal penulisan sastera! Dan mentaliti Datuk pasti dijadikan pembaris bagi mengukur mentaliti masyarakat yang bernaung di bawah PPI pimpinan Datuk.   

Tetapi agak mujur juga kerana nampaknya hampir keseluruhan hadirin hanya membaca karya berbahasa Tamil. Itu pun sekadar membaca tanpa menganalisis; tanpa pembacaan kritikal. Mereka juga mengagung-agungkan Datuk sehingga menganggap segala ucapan Datuk sebagai ucapan yang tinggi nilainya. Jika begini selamanya, bagaimana khalayak ini akan dapat mencerna isu yang dikemukakan oleh saudara penceramah dalam kertas kerja beliau?   

Eh! Datuk telah bercakap selama hampir satu setengah jam. Jadi bilakah sasterawan kegemaran saya akan mendapat peluang? Saya perhatikan beliau yang masih duduk tenang di pentas. Datuk pula terus bercakap dengan penuh bersemangat sambil memegang mikrofon di tangan kiri. Suaranya lantang tetapi isinya kosong. Tetapi para hadirin bertepuk pada setiap kali Datuk mengakhiri satu ayat. Tidak ubah seperti budak-budak darjah satu di sekolah Tamil yang gembira mendengar cerita karut daripada guru mereka!   

“Saya telah berucap agak lama di sini,” kata Datuk akhirnya. “Kalau boleh, memang banyak ilmu yang boleh saya curahkan kepada anda berhubung penulisan karya sastera.”   

Saya tersenyum sendiri mendengar kata-kata itu. Sasterawan yang datang sebagai penceramah juga kelihatan tersenyum.   

“Sebenarnya tak perlu jemput penulis luar,” sambung Datuk sambil memandang sasterawan itu sekilas lalu. “Saya sendiri boleh kendalikan ceramah sastera. Cuma saya kekurangan masa. Maklumlah saya tokoh politik … Sebenarnya, apa tujuan penulis kaum India apabila menulis tentang kaum India dalam bahasa Melayu? Jika untuk mendidik masyarakat India, mengapa tidak ditulis dalam bahasa Tamil? Mengapa gunakan bahasa yang kita tidak tahu? Mungkin mereka mengejar bayaran … kerana majoriti akhbar Tamil tidak menyediakan bayaran. Jadi, di mana keikhlasan mereka dalam mendidik masyarakat?”   

Dewan gamat dengan tepukan para hadirin. Saya terkejut. Saya lihat penceramah masih tenang.   

“PPI berusaha membantu kaum India. Malah, seperti yang anda semua tahu, PPI sedang berusaha masuk Barisan Nasional. Memanglah IPF dulu tidak diterima masuk kerana … (ditapis) … tetapi saya yakin bahawa saya boleh membela nasib anda semua. Saya pasti bahawa saya boleh. Saya lebih tahu apa yang perlu bagi membantu masyarakat kita. Jadi saya rasa selepas ini, PPI Siru Kambam harus mengadakan ceramah sekali lagi. Saya sendiri akan ajar para penulis tentang apa mesej yang perlu ditulis bagi bacaan masyarakat kita …”   

Dewan gamat dengan bunyi tepukan yang berpanjangan sekali lagi. Tuan Presiden tersenyum bangga. Pasti bangga kerana Datuk menyatakan kesudian untuk datang ke Siru Kambam sekali lagi. Maka akan bertambahlah peluang untuk Tuan Presiden mendapat ‘tempat’ di hati Datuk.   “Eh!” kata Datuk tiba-tiba dengan nada serius seraya memandang Tuan Presiden. “Sudah tengah hari. Ada sediakan makan untuk mereka?”   Tuan Presiden mengangguk riang. Tiba-tiba juga dapat saya rasakan perut yang minta diisi. Mungkin juga kerana pagi tadi saya hanya makan sekeping roti. Saya lihat para hadirin juga menjilat-jilat bibir.   “Masakan apa?” Datuk bertanya lagi. “Saivam, ya? Tak apa. Masa ceramah sekali lagi, saya sendiri akan taja makan tengah hari. Kita cuba makanan Cina. Anda semua pernah makan masakan Cina? Saya rasa tak pernah. Tak apa. Saya akan belanja anda semua. Kita susun meja di dalam dewan ini dan adakan jamuan. Err … Cukup tak tempat kalau kita adakan jamuan di dalam dewan ini? … Atau kita buat saja di luar dewan. Sesuai kan? Kita adakan ceramah di dalam dewan. Kemudian kita makan di luar sana … bermacam-macam masakan Cina yang anda semua saya rasa tak pernah makan sebelum ini.”   

Para hadirin menelan air liur.   

“Lapar rasanya,” bisik salah seorang penduduk yang duduk tidak jauh dari saya. “Baik betul hati Datuk.”   

Sejurus selepas itu, Datuk merasmikan majlis. Selepas itu, Tuan Presiden mengalungkan karangan bunga malai pada leher Datuk. Hanya selepas itu penceramah dipersilakan menyampaikan kertas kerja beliau.   “Sebelum menjemput saudara penceramah,” kata pengerusi majlis, “suka saya ingatkan bahawa kita kesuntukan masa. Sekarang sudah pukul satu tengah hari. Para hadirin tentu lapar kerana mereka juga manusia. Tuan Presiden telah bermurah hati menaja makan tengah hari yang istimewa. Jadi, penceramah diberikan masa setengah jam sahaja untuk menyampaikan isi-isi penting dalam pembentangan kertas kerjanya.”   Mata saya terbeliak. Sasterawan yang datang sebagai penceramah masih kelihatan tenang. Bagaimana beliau mampu? Beliau menghampiri mikrofon bagi menyampaikan ceramah. Amat ringkas tetapi masih padat.   Tuan Presiden sedang sibuk bercakap sesuatu dengan Datuk. Timbalan Presiden, Setiausaha dan Ketua Wanita yang sama-sama berada di pentas turut serta dalam perbualan itu. Para hadirin juga mula berbual sesama sendiri. Nampaknya hanya saya seorang sahaja yang mendengar ceramah. Penceramah ternyata memandang saya dengan sayu walaupun suaranya masih tenang menyampaikan ceramah bertajuk “Sasterawan dan Pembaca Kaum India dalam Sastera Berbahasa Malaysia: Untuk Apa? Di Mana Mereka? Berapa Ramai? Siapa Mereka? Perlukah Mereka?”   

Seperti yang telah saya duga, beliau mengakhiri ceramah dalam masa lima belas minit sahaja.   

“Terima kasih kepada saudara penceramah yang menamatkan ucapannya dalam masa yang begitu cepat,” kata Tuan Presiden dalam ucapan penutupnya. “Agaknya dia tahu bahawa segala isi penting sudah pun disampaikan secara bernas dan tepat oleh Datuk tadi.”   

Tepukan bergemuruh. Saya lihat saudara penceramah masih tenang sementara Datuk tergelak bangga. Majlis berakhir sebelum saya sempat pulih daripada rasa terkejut dan rasa terhina. Tepukan terus bergemuruh. Para hadirin mula berdiri dan berkerumun dalam bentuk barisan dari luar pintu dewan hingga sampai ke tepi pentas.   

“Harap Datuk sudi makan bersama kami,” Tuan Presiden mempelawa sambil merendah diri.   

“Tak apalah. Saya nak makan di bandar Taiping. Ada jemputan khas. Faham-fahamlah …”   

Datuk turun pentas diiringi Tuan Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha dan Ketua Wanita. Sejumlah penduduk Siru Kambam, Aulong Lama, Aulong dan Kampong Boyan segera berebut-rebut untuk bersalam dengan Datuk. Ada yang sampai menyembah kakinya!   

Saya masih terpaku di tempat duduk jauh selepas orang ramai keluar dewan. Agaknya Datuk sudah berlepas dalam kereta Kancil Eranya. Tuan Presiden sedang dipuji oleh para AJK PPI Siru Kambam. Orang ramai pula sibuk menjamu selera. Masing-masing bercakap tentang jamuan yang bakal diadakan oleh Datuk pada majlis yang seterusnya nanti.   Sasterawan @ penceramah pula turun pentas; menghampiri saya dan memegang bahu. Saya memandang beliau. Beliau memandang saya. Saya tertunduk; tidak mampu memandang mata beliau. Saya terpandang kertas kerja yang dibuang merata-rata. Saya berusaha mencerna topiknya.     


BALIK