Pedas

Oleh: Uthaya Sankar SB


 SIAP?   

  Belum.   

  Bila lagi?   

  Ada masa lagi ...   

  Eh! Tinggal sejam sahaja untuk kau hantar cerpen.   

  Biarlah. Kau bukan tak tau sikap Si Zaha tu. Macam  pasir di pantai; sentiasa berubah.   

  Maksud kau?   

  Ya  lah.  Kalau aku dah siapkan cerpen  minggu  lalu,  tidak mustahil dia  akan berubah fikiran. Dia akan kata,  dia  mahukan cerpen yang begini, yang begini. Tak daya aku nak buat semula.    

 Kau anti dia?   

  Buat apa? Kalau anti orang yang senonoh, ada juga untungnya. Ini,  Si Zaha, pensyarah 'serba tahu' yang mahu semua  student buat  kerja mengikut tahap mentaliti dia.  Kalau  mentaliti  dia tinggi tak apa juga!   

  Jadi kau tak nak buat cerpen yang disuruh?   

  Buat.   

  Bila?   

  Nampak perakam kaset tu?   

  Eh! Sedang merakam!   

  Ya, aku sedang rakamkan perbualan kita. Nanti aku akan tulis semula untuk dihantar kepada Si Zaha.   

  Weh! Mampus aku.   

  Jangan risau. Aku tak sebut nama kau.   

  Jadi ... kau nak pakai situasi inilah untuk cerpen kau?   

  Ya.   

  Latar?  Sini juga? Macam mana kau nak gambarkan  bilik  kita ini? Bagilah cantik-cantik sikit, ya.   

  No. Cerpen aku tak akan huraikan latar.   

  Tapi ... kau kata pensyarah suruh rujuk pada buku, kan?   

  Ya.  Dia suruh tulis cerpen ikut format yang terdapat  dalam buku How To Write Short Stories yang dia sarankan. Tapi pada masa  yang sama, dia  minta  kami tulis  cerpen  yang  tidak  terlalu  konvensional.   

  Tentu sukar untuk kau.   

  Ya,   sebab   aku   dah   mula   teroka   bidang   penulisan eksperimental. Tapi apa nak buat ... Si Zaha tu masih di takuk  lama. Mungkin  bagi dia, buku yang disarankannya  adalah  sebuah masterpiece!  Aku dah baca banyak lagi buku yang  boleh  membantu penghasilan  cerpen yang berciri sastera. Kalau aku bagi  tau  Si  Zaha pun bukannya bermanfaat. Dia tu bodoh sombong.   

  Eh! Kau nak sebut semua ini dalam cerpen kau?   

  Ya lah. Apa salahnya?   

  Nanti disabotajnya kau!   

  Biarkan.  Aku  tak akan hairan! Cuba kau bayangkan  ...  Si Zaha Zainuddin tu pensyarah Kursus Latihan Kaki di Kolej Sains Sukan  ini. Tetapi  dia  mengajar – atau lebih tepat lagi, memaksa – kami  menulis cerpen. Selama satu semester dia tak pernah buat apa-apa  latihan yang berkaitan dengan acara sukan.   

  Aduh!   

  Kau  tahu,  apabila  kursus kami bermula  dulu,  Si  Zaha  datang sebagai pensyarah kami. Terkejut juga aku apabila dia mula  menyoal para student tentang sastera.   

  Dan kau pun dapat menjawab dengan mudah, kukira.   

  Tidak  juga. Aku lebih banyak berdiam diri.  Mungkin  kerana terkejut! Rupa-rupanya  dia pensyarah sementara  yang  mengganti  pensyarah yang cuti belajar selama setahun. Pengetua benarkan  Si  Zaha ajar apa sahaja yang dia suka!   

  Tak  ada  yang bangkang?   

  Ada.  Tapi  pengetua tak ambil tindakan.  Zaha  diizinkan  mengajar apa  sahaja.  Tambahan,  Zaha  anak  buahnya.   Dan  nampaknya  Zaha minat menulis cerpen. Katanya,  ada  beberapa  buah cerpennya tersiar di akhbar tabloid. Dihurainya satu persatu  tema-tema  cerpennya yang rata-rata konvensional.  Dia  bercerita  seolah-olah karya-karyanya adalah karya agung!   

  Kau sabar aje?   

  Terpaksa.  Lepas  tu, dia bertanya pada kami sama  ada  kami  minat membaca karya sastera. Ramai yang menggeleng-geleng.  Tiba  giliran aku,  aku senaraikanlah karya-karya  agung  antarabangsa  yang telah aku baca berulang kali.   

  Wow! Reaksinya?   

  Merah  padam,  yo.  Dia tanya, “Awak betul-betul  baca  atau pandai menyebut  judulnya sahaja?”  Lalu  aku  terangkanlah  isi  beberapa novel  dan  cerpen  yang  diakui  mutunya.  Bengang  Si  Zaha! “Karya-karya Zaha Zainuddin pernah awak baca?”  tanyanya  lagi sambil tergelak bangga. Terus-terang aku jawab “tidak”.   

  Huh! Tentu tambah bengang pensyarah tu.   

  Agaknya dia mahu membuat promosi karya-karya klisenya di  kalangan kami.  Malah, aku percaya, kalau salah seorang  daripada  pelajar menciplak karyanya bagi tujuan esei ini, dia akan terasa bangga.     

Eh! Itu menyalahi etika penulisan.   

  Bukan  bagi  Si Zaha. Kau tahu, pada semester  lalu,  dia  minta kami tulis rencana ringkas tentang salah seorang Sasterawan  Negara. Kebetulan, Si Zaha pernah menulis tentang Usman  Awang  dalam salah sebuah akhbar tabloid berhaluan  kiri. Course-mate  aku,  Si Imran, menciplak rencana Zaha. Kau  tahu  apa  yang  berlaku? Rencana Si Imran diumumkan sebagai yang terbaik.   

  Eh! Pensyarah tak sedar rencana itu diciplak?   

  Tahu.  Katanya,  “Ini  rencana yang  memenuhi  selera  saya. Nampaknya  Imran telah membaca rencana saya tentang  Usman  Awang dan berjaya menulis mengikut gaya bahasa saya.” Bayangkan!  

  Teruk  betul  nampaknya. Tapi dia tak tahukah  yang  kau  ni seorang penulis?   

  Pada  mulanya tidak. Agaknya dia tidak membaca  majalah  dan  akhbar sastera! Sekali itu, dia minta kami pilih dan komen  mana-mana cerpen. Aku pilihlah “Krishna: Potret Diri”  yang  tersiar  dalam Dewan Budaya keluaran Oktober 1994. Kau tahu apa komen  Si Zaha setelah membaca esei aku? Katanya, “Bull shit. Esei  awak dan cerpen yang awak komen sama-sama bull shit.”   

Lepas tu?   

Dia suruh aku pilih salah satu daripada cerpen dia dan  buat  semula esei aku!   

Kau buat?   

Tak.  Biar  dia tahu bahawa aku lebih pentingkan  mutu  esei  daripada markah pilih kasih yang diberikannya.   

Jadi, apa yang akan kau lakukan sekarang?   

Seperti  yang  aku katakan ... Aku akan  serahkan  perbualan  kita ini sebagai cerpen.   

Berani betul. Dia dah tahu kau penulis?   

Ya, hujung semester lalu. Waktu itu dia suruh kami buat esei  kritikan terhadap novel Patriarch karya Shahnon Ahmad. Aku  pula  selitkan sekali perbandingan dengan cerpen “Piem”  dari  majalah   Dewan Sastera, Disember 1993. Setelah dia baca, dia kata esei aku  macam untuk dihantar ke majalah sastera. “Penulis terkenal  macam  saya pun sukar nak tembus ke akhbar dan majalah  nasional.  Jadi  awak simpan sahajalah esei ini,” katanya secara menyindir.   

Uh! Dia tak tahu lagi kau siapa?   

Sengaja  aku  tak beritahu. Nampak sangat bahawa  dia  tidak  pernah membaca akhbar dan majalah berciri sastera.  Cuma  sekali  tu, apabila kolej  kita adakan  Minggu  Sastera,  aku  dijemput sebagai  panel bagi diskusi bertajuk “Sasterawan  Muda:  Melukut Atau  Menggugat?”  Si Zaha jadi pengerusi majlis. Merah  padam muka dia sewaktu membacakan biodata diri aku kepada para hadirin! Sambil tersengih-sengih dia berkata, “Tak sangka anak murid  saya ni penulis terkenal. Agaknya dia banyak belajar daripada saya.”   

Amboi!   

Tiba  giliran  aku  untuk  bercakap,  aku  maklumkan  secara sindiran juga bahawa aku telah mula menulis jauh sebelum masuk ke Kolej  Sains Sukan. “Cuma saya harap,  kreativiti  sastera  saya tidak terbantut atau melencong selama saya belajar di bawah Encik Zaha,” kataku.   Wow! Apa reaksinya?   

Esoknya,  di  kuliah, dia tanya aku, kenapa aku  tak  pernah beritahu dia yang aku ni sasterawan muda. Aku pun jawablah bahawa aku lebih mementingkan mutu karya daripada mencari publisiti  di kalangan orang yang buta sastera!   

Berani sungguh! Dan sekarang ni kau nak serahkan segala  isi perbualan kita  ni  kepadanya  sebagai  sebuah  cerpen.   Tentu telinganya berasap apabila membaca cerpen ini nanti.   

Ya, cerpen yang tidak konvensional ...   

Kalau  dia tak perakui? Maksud aku … cerpen kau hanya  berisi dialog semata-mata.   

Persetankan!  Aku mahu hasilkan karya yang boleh  membuatkan khalayak pembaca   berfikir.  Tetapi  kalau  dia   tak   faham, biarkanlah. Kalau dia bagi aku markah kosong pun, biarkan.  Kalau dia  bagi markah negatif pun aku tak kisah. Syaratnya, aku  lebih rela  mati di hujung pedang daripada mati kena tendang.  Aku  tak mahu  melacurkan  karya aku semata-mata untuk  memenuhi  citarasa rendah Si Zaha!   

Aduh, pedas tu!   

Ya.  Aku harap pensyarah Kursus Latihan Kaki tu  pakai  otak semasa membaca assignment  berupa cerpen ini nanti ...


BALIK