MONOLOG SEORANG PATRIARCH

Oleh: Faisal Tehrani


PATRIARCH namaku. Pemerintah wilayah Resah Gelisah.

Kamar di puncak menara paling tinggi di dunia ini gelap. Dibungkus gelap aku terbaring di atas katil, terbenam di bawah gebar lebar, tebal dan hangat. Gesit bingkas, meraba-raba capal dengan kaki, menyarungnya dan terhegeh mencari suis. Ruang benderang. Mata buat sejenak seolah tidak berfungsi. Cahaya menyerbu masuk terlalu gelojoh ke dalam kornea dan retina. Sepet sejenak.

Aku melangkah ke jendela di puncak sebuah menara paling tinggi di dunia. Salju mulai turun dambar. Langit terbuka meramas-ramas ketulan nipis salju nirmala. Ada yang terbuai menggeletar dipuput angin.

Aku berundur ke kamar mandi, menelanjangi diri. Seratus lima puluh tahun menggenggam Resah gelisah terlalu berkuasa. Enigma kata mereka, Firaun kata yang lain, ayahanda kami, kata tukang ampu. negarawan, baginda pun ada yang memanggili tetapi yang lekatnya Patriarch.

Di hadapan cermin, merenungi diri. Tangan kanan menguak rambut putih beruban (tangan kiri ikut menguak rambut putih beruban itu). Mata kiri mengenyit lesu (mata kanan membalas kenyitanku). Aku tidak malu di hadapan cermin ini berbogel menampakkan semuanya apakah harus aku segan dengan umat manusia Resah Gelisah?

Bijak pandai terlalu becok mengata aku pemerintah wilayah kleptokratik; aku penjarakan. Mulut murai mereka dijahit supaya tidak berupaya bernakal-nakalan lagi. Yang tersisa, sejumlah bijak pandai yang pandai berketak jika aku berkokok. Ini putih. Putih suci Patriarch. Ini hitam. Hitam legamlah Patriarch. Tahi pun wangi. Wangi semerbak Patriarch. Makanlah tahi sendiri. Lazat menjilat jari Patriarch.

Kleptokratik? Aku ketawa. Semua jenis istilah politik digagahi sejak kecil lagi. Semua aku kenali. Kleptokratikkah Resah Gelisah ini? Telinga sebu dengan seribu satu istilah. Monarki - oligarki - totalitarian - plutokrasi dan entah apa-apa lagi. Pernah juga ada bijak pandai dari negara seberang menyifatkan aku pemerintah sebuah regim neo-presidential. Kononnya aku cuba menutup pemusatan kuasa dengan mengaku mempunyai pengesahan demokrasi. Apa dipeduli? Aku pernah menampar seorang nujum kerana mengulang kata-kata Lord Acton ketika rakyat sedang meraikan ulang tahun pemerintahanku yang ke seratus. Nujum itu asyik menuding jari hantunya ke arahku seraya terjerit-jerit dirasuki histeria: Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely.

Kepada rakyat yang mempersoalkan tindakan menjahit mulut-mulut sekalian bijak pandai dan menampar sekalian nujum-nujum, aku jelaskan yang bangkangan tidak sihat seperti ini tidak diperlukan. Pembangkang tidak berfaedah. Tidak kering bibirku lagi, belum sempurna buih dari mulut ini,, berduyun-duyunlah manusia tanpa rasa malu mengiyakan kata-kata itu.

Alangkah berkuasanya aku. Kuasa condign; kuasa kompensator…sebut apa sahaja dari disiplin sains politik - semua itu dikunyahi lumat-lumat. Sesekali aku pujuk rayu ala Gandhi. Perjuangan tanpa kekerasan. Kemudian digunakan taktik Fulbright. Berikan apa sahaja dan pesongkan pengikut dari tujuan sebenar. Bebas melakukan apa sahaja. Aku sudah berpayah untuk merangkul kuasa ini, berpeluh-peluh, berguling-gelantang, berhempas-pulas, kalau terpaksa menjelir dan menjilat aku lakukan juga dan pernah juga menyalak dan melalak di khalayak semata-mata untuk mendapat KUASA. Bukankah might is right atau kuasa itu kudrat?

Salji turun menggerimis. Kembali menipis setelah letih menebal. Ada polang-paling, berputar-putar bagai menari turun ke bumi. Sekeping salju terbuai menuju ke arahku, aku cuba menangkapnya, ia mendadak memoleng rendah sebelum gesit berhayunan turun.

Hairan sungguh, ini bukan musimnya. Iya, barulah teingat yang ini musimnya di mana anak-anak wajar gembira bermain di halaman, atau jelitawan menyarung bikini menghampar diri di pantai atau bukankah ini musimnya di mana bujang terua memikat dara janda dengan fesyen pakaian beraneka-ragam. Bagaimana boleh begini, apa bisa wujudnya summer snow? Mungkinkah salju ini diutusi kuasa lain? Kuasa rahsia?

Aku terkenangkan kemungkinan-kemungkinan berlakunya rampasan kuasa. Memang ada perancangan dari dalam, senyap-senyap membentuk kroni ingin merebut kepercayaan dan mempengaruhi golongan bawahan. Tidak mustahil kumpulan ini sudah terlalu perkasa hingga berupaya mengutusi salju kala bukan waktunya!

Ini tidak harus dibiarkan terjadi. Jangan bermimpilah sesiapa pun untuk menggantikan Patriarch. Memang aku sudah tua tetapi aku ini masih gagah, dan tidak akan merestui sebarang usaha mengguling. Betul, telah terlalu lama aku memerintah. Seratus lima puluh tahun. Sepatutnya membuatkan seorang manusia biasa rasa muak mengumpul harta, pujian, kehendak …tetapi itu tidak berlaku kepadaku.

Boleh jadi pula sudah ada yang berani mencabar aku. Mungkin pencabar-pencabar ini terlupakan nasib malang yang menimpa dua orang bendahara dahulu. Mereka ditendang seperti bola sepak di Piala Dunia. Sesungguhnya aku tidak tahan dengan pencabar yang menyimpan hati untuk menggantikanku. Siapalah mereka itu, cubalah mereka sedar sedikit dan mencerminkan diri. Betul-betul tidak sedar diri.

Salju menyimbah-nyimbah turun. Langit sedang mengangkang luas dan mengucuri bumi dengan kepingan salji, ia bertimbus-timbusan tinggi tanpa hati budi.

Oii salji, siapa hantar kau? Pongah bukan main lagi. Siapa?

Salju tiba-tiba ganas.

Kau fikir kau boleh ingkari aku ya?

Turun tanpa henti.

Kau fikir kau besar iya?

Melebat tidak henti-henti.

Patriarch berang. Tidak pernah dicabar begini. Setua-tua Patriarch pun masih anak jantan, tidak baling batu sembunyi tangan.

Aku berkuasa, siapa dapat tumbangkan aku?

Salji runtuh dari langit. Angin kuat tidak mengenal suka dan duka melampaui batasan. Ia bergolak dan menolak apa sahaja. Bencana menimpa Resah Gelisah. Ribut salji menyerbu masuk ke setiap rumah, melalui tingkap, melalui pintu, menerusi lubang kunci, menerusi segala celah dan retak di dinding.

Salji dengan kekencangan angin menakjubkan berputar dari bawah menara, menderu mendebarkan, meluru menggerunkan, salji membalut tumit menara, bepusingan melilit batang tubuh menara. Ia tidak henti-henti memamah dinding batu yang terpelanting diterbang kuasa angin.

Suara takbur Patriarch tenggelam dalam ngauman angin membalun puncak menara. Taufan ligat melibas dan melontar isi yang ditelannya jauh-jauh. Resah Gelisah haru dan rusuh.

(Apabila ribut mereda barulah yang terleka peka, Hamurabi atau Firaun atau Patriarch telah dihukum kuasa Maha agung, Kuasa Uluhiyyah dan Rububiyyah.)


BALIK