“SB”

Oleh: Leonard Loar


Sudah terlambat. Dia tidak akan dapat menghalang saya lagi. Saya sudah membulatkan hati untuk pergi.   

“Awak belum sempurna,” katanya berulang kali.   

Apa pula yang tidak sempurna? Saya sudah beristeri. Cuma, kami belum sempat berbulan madu. Apakah itu yang dimaksudkannya sebagai ‘belum sempurna’? Kalau ya, bukankah wajar saya pergi segera untuk menyempurnakannya?   

“Awak belum boleh pergi,” dia menegaskan.   

Akan tetapi, pemuda itu tentu cukup sedar bahawa dia tidak akan dapat menghalang saya. Walau sekalipun dia boleh sahaja menanggalkan kaki, tangan, kepala dan badan saya; dan memasukkannya ke dalam almari, tetapi dia tidak akan dapat menghalang minda saya daripada terus melayang.  

Menurut data dalam fikiran, saya sudah menerima ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari University of Surrey dalam bidang Environmental Chemical Engineering beberapa tahun lalu.   

Kemudian saya bekerja di firma Boss Enviromental Consultants Sdn Bhd yang terletak di Kuala Lumpur. Kemudian saya berkahwin. Tetapi malangnya pemuda ini pula telah membawa saya pulang beberapa jam sahaja selepas majlis perkahwinan saya berlangsung. Katanya, ada malfunction pada data dalam fikiran saya.   

“Awak belum sempurna.”   

Apa lagi yang tidak sempurna? Mengapa dia tidak membenarkan saya pergi?  

Mungkin dia bimbang kalau-kalau saya terus pergi meninggalkannya untuk memulakan hidup baru. Kalau itu terjadi, siapa lagi yang akan mencarikan bahan untuk dia berkarya! Siapa lagi yang akan sanggup menjadi ghost-writer untuknya!   

Dalam keadaan tangan kirinya yang kurang sempurna sekarang, sukar untuknya membelek-belek buku yang tebal-tebal dan berat-berat di perpustakaan. Dia juga tidak banyak berjalan bagi menimba pengalaman. Maka saya depute tugasnya.   

Saya muncul dalam hidupnya setelah dia terlibat dalam kecelakaan jalan raya beberapa tahun lalu. Dia telah membantu saya mengatasi suatu masalah peribadi yang saya alami waktu itu. Sebagai mengenang jasa, saya menawarkan diri menjadi ghost-writer kepadanya.   

“Kenapa?” tanyanya kehairanan pada waktu itu.   

“Saya dah cuba mengirim karya-karya saya ke pelbagai penerbitan tetapi tidak tersiar. Mungkin kerana belum ada nama. Cerpen awak pula sentiasa tersiar di mana-mana. Kedudukan awak dalam dunia sastera Malaysia sudah kukuh.”   

“Lalu?”   

“Saya akan hasilkan karya menggunakan nama awak.”   

Begitulah permulaannya. Saya akan tulis cerpen untuk disiar menggunakan namanya. Atau saya berikan bahan untuk dia sendiri tulis.  

Agaknya kini dia takut akan kehilangan saya. Takut kehilangan bahan cerita. Tetapi dia tidak berhak untuk menghalang saya. Saya menuntut hak untuk berdikari. Saya bukan lagi sekadar salah suatu watak ciptaannya dalam dunia realiti teks.   

Saya berciri de facto dan telah sedia wujud dalam realiti objektif. Dia hanya menambah elemen-elemen tertentu ke dalam diri saya untuk menjadikan saya lebih sempurna. Sebagai membalas jasa, saya membekalkannya dengan bahan cerita untuk berkarya. Saya juga menjadi ghost-writer untuknya.   

Apa lagi yang dia mahu?   

“Jangan pergi dulu. Biar saya perbetulkan malfunction dalam diri  awak.

Your true identity is still in the dark. Awak mungkin mengalami d.t.’s,” pemuda itu semacam merayu sewaktu saya sudah bersiap sedia untuk pergi meninggalkan bilik kecil yang menjadi perpustakaan @ bilik menulis @ bilik tidurnya.   

“Ah! Delusion.”   

Tanpa mengendahkan rayuannya, saya mengambil kad pengenalan, kunci kereta, lesen memandu serta dokumen-dokumen penting yang lain.  

“The die is cast. Tetapi jangan bimbang; saya akan terus mengirim bahan cerita kepada awak. Awak boleh debrief apabila saya datang berkunjung lagi,” saya berpesan sebelum melangkah keluar.   

Tanpa menanti untuk melihat reaksinya, saya memandu pulang. Seperti biasa, kereta Austin Se7en saya menjadi tumpuan orang ramai di jalan raya.   

Setahu saya, pada tahun 1960-an, model Mini Cooper 850cc buatan United Kingdom menjadi raja di atas jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Begitu juga dengan model Cooper S dan Clubman 1275 GT. Hanya pada tahun 1970-an, Datsun SSS dan Fiat 124 S – masing-masing buatan Jepun dan Itali – mula mendapat tempat.   

Malah siapa yang mungkin boleh lupa tentang filem Italian Job lakonan Michael Caine. Hero yang memandu kereta Mini ciptaan Alec Issigonis berjaya melepaskan diri daripada polis Itali yang memandu kereta Alfa Romeo.   

Model Austin Se7en dan Mini Minor dilancarkan pada Ogos 1959; tetapi Austin Se7en dimansuhkan pada 1962. Kereta yang sedang saya gunakan ini dibeli dengan harga RM500 sahaja daripada seorang penjual kereta terpakai di Klang. Agaknya penjual itu tidak menyangka bahawa kereta ini masih boleh dipandu!   

* * *   

“Ke mana attan menghilangkan diri selama beberapa jam?” tanya isteri saya dengan nada bimbang sebaik sahaja saya masuk ke rumah. “Semua orang bertanya ke mana attan pergi. Saya terpaksa berdalih bahawa attan sedang tidur kerana kepenatan. Attan ke mana sebenarnya?”  

Saya tidak ada masa untuk menjelaskan satu per satu kepadanya. Mujurlah dia tidak memaksa.   

“Semua orang sudah pergi?”   

“Semua orang sudah pergi. Tinggal kita berdua sahaja.”  

Serta-merta saya merasakan suatu macam debaran yang mengasyikkan. Kami bersama-sama melayan debaran itu buat seketika.   

“Ada panggilan dari firma,” isteri saya menyampaikan pesanan tidak lama kemudian. “Bos menyuruh attan datang secepat mungkin. Ada urusan penting, katanya.”   

Saya mengeluh. Saya tenung isteri saya yang belum sempat saya mesrai sepenuhnya.   

“Tak mengapa, attan. Saya faham—”   

Sebelum sempat dia menghabiskan ayat itu, saya merangkul pinggangnya. Biar saya buktikan kepada penulis bahawa watak ciptaannya ini kini sudah menjadi manusia serba sempurna!   

* * *   

Rakan-rakan sepejabat terkejut melihat kedatangan saya.  

“Kenapa ni? Baru pagi tadi berkahwin, pukul 3.30 petang sudah kembali ke pejabat?” tanya salah seorang daripada mereka dengan penuh hairan sambil menahan ketawa.   

“Gaduh dengan isteri?” usik seorang lagi.   

“Mustahil,” seorang yang lain mencelah. “Tengoklah kesan gincu pada pipi!”   

“Atau datang nak minta extend cuti selama sebulan?” tanya seorang lagi sambil mengangkat-angkat kening.   

Sambil tersipu-sipu, saya mengelap kesan gincu di pipi kanan. Saya turut membetulkan kolar untuk menyembunyikan kesan love-bite pada leher.  

Entah dari mana pula bos saya muncul secara tiba-tiba. Dia terus mengheret saya ke biliknya secara penuh tergesa-gesa.  

“You’ve got to help me.”   

“Bertenang, bos. Apa halnya?”   

“Perempuan GRO tu …,” katanya.   

Saya duduk di kerusi empuk dan bersandar tenang. Nampaknya tekaan saya jauh meleset. Saya sangka bos menyuruh saya datang dengan segera atas urusan rasmi. Rupa-rupanya atas urusan peribadi. Jadi bolehlah saya turut berlagak tidak rasmi di hadapannya.   

“Help me to get rid of  her,” tambah bos.   

“Kenapa? Bukankah dia tu seksi dan membangkitkan selera, seperti yang bos katakan dulu?”   

“Tapi dia berbahaya; berisiko tinggi. Mungkin HIV positif. Malah saya rasa saya sendiri perlu pergi mengambil ujian darah.”  

“Kenapa tiba-tiba? Bukankah selama ini kehadiran perempuan itu di sisi bos membuatkan bos berasa seperti berada di taman firdaus?”  

“Janganlah ungkitkan hal yang lalu. Janganlah ulang kata-kata yang saya lafazkan dulu. Saya sudah insaf sekarang,” katanya dengan suara terkawal.   

“Oh, yeah?” Saya kurang percaya.   

“Benar. Janganlah jadi doubting Thomas. Semalam saya ternampak dia bersama seorang tokoh politik bernama Don Juan yang selalu bertukar pasangan. Entah berapa ramai lagi lelaki berisiko tinggi yang menjadi pasangan perempuan bermaruah rendah itu!”   

Tertawa saya dibuatnya.   

“Bukankah dia tu unget-at-able?”   

“Janganlah tertawakan saya. Saya sudah insaf. Saya mahu bina gaya hidup sihat bersama isteri dan anak-anak. Sekarang saya uxorious. Jadi tolonglah suruh perempuan GRO tu supaya jangan ganggu saya lagi.”  

Lelaki tipikal! Setelah puas menikmati segalanya bersama GRO itu, baru berasa insaf. Baru mahu bertaubat. Tetapi mungkin sudah pun terlewat. Entah-entah bos saya sudah pun dijangkiti HIV.   

Tetapi itu bukan masalah saya. Berani buat, berani tanggung. Saya hanya boleh membantu bos saya sekadar yang termampu. Mungkin sebagai membalas jasanya menerima saya bekerja di firma ini dengan gaji yang berpatutan tanpa perlu terlebih dahulu menghadiri temuduga. Juga kerana dia telah mewakili saya untuk meminang calon isteri saya beberapa bulan lalu.  

Tanpa banyak bicara, saya meminta alamat tempat tinggal perempuan berkenaan. Seperti yang telah saya duga, walaupun wanita GRO itu memiliki rumah sendiri, dia lebih selesa tinggal di salah sebuah hotel mewah di ibu kota.   

“How can I ever thank you!” Bos menjabat tangan saya dengan erat. Segera pula keningnya berkerut. “Siapa pula yang gigit leher awak?”  

Saya tersipu-sipu. Mujurlah pada waktu itu setiausaha bos memanggil melalui inter-com. Segera saya keluar dari bilik bos tanpa menjawab kemusykilannya tadi.   

“Panggilan daripada penulis,” kata si setiausaha sambil menghulurkan gagang telefon. “Ini kali ketujuh belas dia menelefon sejak tengah hari tadi.”   

Saya mencapai gagang dengan hati yang berat.   

“Awak ke mana? Sudah hampir dua puluh kali saya menelefon!”  

“Stop shouting. Saya akan kerja di sini. Don’t upset the applecart. Saya akan hubungi awak kalau ada bahan bagi cerpen. Bye.”  

Terus saya letakkan gagang dan berkira-kira untuk pulang. Belum sempat saya beredar dari meja si setiausaha, telefon berdering. Saya menjawabnya kerana si setiausaha sudah pergi ke bilik bos.  

“Elok awak pulang segera. We need to talk about your unperson and unreal personality,” kata penulis dengan suara mengharap.  

“Maaf. Saya tidak mahu pulang selagi saya belum berjaya membuktikan kepada awak bahawa saya sudah menjadi manusia yang sempurna,” saya menegaskan.   

Pemuda itu terus memperkatakan sesuatu tentang ketidaksempurnaan dalam diri saya. Tanpa mengendahkan kata-katanya, saya menekan suis mute pada telinga dan suis unlearn pada otak.   

Sewaktu saya memandang ke arah bilik bos, saya ternampak lelaki itu sedang berpelukan dengan setiausahanya.   

“Untirutable dolts!”   

Saya meletakkan gagang telefon di atas meja. Mungkin penulis masih bercakap; tetapi saya tidak mendengar apa-apa. Tanpa menghiraukan perbuatan bos di dalam biliknya, saya mengenakan kot dan meninggalkan tempat kerja.   

Elok saya pergi sebelum pemuda tadi datang mencari saya di pejabat. Elok saya pulang sebelum isteri saya mula rindu.


BALIK