3 2 1 SERANG!

Oleh: Fudzail


Konspirasi telah bermula semenjak anak-anak Adam mula mendiami muka bumi. Malah pembunuhan dan permusuhan juga telah bermula dari Habil dan Qabil. Tiada zaman yang aman dari peperangan dan pertumpahan darah. Demi bangsa, demi agama dan demi tanahair, manusia memang tidak pernah mahu belajar dari sejarah.

Mereka yang berkuasa di Pentagon juga tidak mahu mempelajari sejarah kerana mereka sering mencipta sejarah baru, sama ada untuk kebaikan atau untuk kemusnahan.

"Ini suatu konspirasi antarabangsa!"

Setiausaha Pertahanan Pentagon membuat kenyataan pendek sebaik ditanya oleh para wartawan yang mengeremuninya. Dia terus saja bergegas ke arah kereta yang kemudian meluncur laju keluar dari Rumah Putih. Visual itu tersiar ke seluruh dunia. Menambahkan pelbagai spekulasi dan kabar angin. "Itu semua lakunan Pentagon, konspirasi dalaman!" Komen seorang penganalisa sistem yang menghantar mesej melalui newsgroup Internet. "Mereka sengaja membesar-besarkan cerita untuk mendapatkan publisiti, kemudian tidak memberitahu apa yang sebenarnya terjadi. Seperti cerita UFO, semuanya diletakkan dalam rahsia yang paling sulit dan disimpan dalam X-Files!" Ramai para pakar menganggap percubaan-percubaan untuk menceroboh sistem-sistem komputer kerajaan adalah tidak merbahaya, sekadar mainan anak-anak yang mahu mencari peluang untuk menjadi terkenal, sekiranya berhasil mahupun ditangkap. Fenomena abad teknologi maklumat.  Memang sesuatu yang sukar untuk menceroboh sistem komputer Pentagon dengan segala kekunci keselamatan dan sistem pertahanan yang mempunyai kod-kod yang terlalu rumit untuk dipecahkan. Yang juga menjadikan cabaran lebih hebat untuk menggodam sistem-sistem tersebut.

"Serangan terhadap Pentagon adalah dibuat secara rambang, secara berasingan ianya tidaklah serius. Tetapi kalau ribuan menyerang serentak, masalah menjadi lebih besar!" Sepatah pendapat lain. Ruang siber menjadi gamat dengan berita kononnya sistem komputer Pentagon telah berjaya di ceroboh melalui Internet, bukan sekali, tetapi beberapa kali.  ********* OtakOtak, anak muda dari sebuah kampung di Raub segera menghubungi rakan-rakan lain  melalui chatroom  yang berpengkalan di sebuah server proksi terletak di New Zealand.

Jabatan Pertahanan Amerika (DOD) sedang beralih kepada network-centric dan menggunakan Internet sebagai cara untuk mengakses sistem. Berdozen-dozen laman web yang memerlukan login dan pengenalan diri untuk memasuki setiap satu, seandainya kita dapat melepasi semuanya, kita boleh buat apa saja! DOD juga meneruskan pemindahan maklumat pentadbiran seperti rekod kakitangan secara online, menggunakan Intranet Tentera bernama NIPRNET atau Non-Classified Internet Protocol Network NIPRNET secara fizikalnya terasing dari rangkaian Berklasifikasi DOD.

Sekuriti tapak-tapak web tersebut adalah lemah kerana prasana yang masih kurang dalam menutupi lubang-lubang sekuriti perisian server. Begitupun Tentera Udara Amerika telah menyegerakan program pusat kawalan rangkaian di semua markas, tetapi ada antaranya yang tidak mempunyai kawalan 24 jam! Ada sistem yang mencatat setiap aktiviti terutama yang mencurigakan. Tetapi tiada penggera keselamatan.

*********

"Interviu ekslusif dengan penggodam Pentagon!" Tertera besar tajuk utama majalah on-line, BeritaWayar yang segera menarik perhatian seluruh dunia. Trafik Internet menjadi sesak. Interviu secara Internet Relay Chat (IRC) itu memang sensasi untuk warga siber yang tertunggu-tunggu perkembangan terkini.

Penggodam yang memanggil dirinya KOOL turut menyertakan kata laluan untuk mengakses tapak-tapak web kerajaan Amerika sebagai bukti yang dia sebenarnya melakukan itu semua. Pihak berkuasa mengesahkan semua kata laluan tersebut adalah benar bila diperiksa oleh BeritaWayar. "Mereka yang sedang mencari saya memang tidak mempunyai apa-apa maklumat selain tercari-cari dan meneka dalam samar-samar. Sudah setahun dan masih dalam kebingungan. Sekarang saya bersembunyi dan akan bersara dari pelarian ini. Saya sudah bosan dan jemu menggodam kerana segalanya begitu mudah dan rengkas. Semakin lama semakin tidak terasa lagi cabarannya. Setiap kali saya berhasil memasuki sekuriti sesuatu tapak web,  saya akan meletakkan 'trojan horse' atau pintu belakang untuk saya kembali. Saya membiarkan program 'sniffer' terus berjalan dimana ianya mencatat setiap keystroke pengguna sah termasuk kata laluan dan maklumat lain untuk saya terus menceroboh.

Saya sebenarnya lebih banyak membantu setiap kali menggodam sesuatu tapak web kerana menutup lubang-lubang sekuriti. Tapak web yang mempunyai sekuriti lemah memang menarik saya untuk menggodam dan saya akan mengubah wajah laman web bila mendapat serangan balik dari pentadbir sistem! Saya cukup benci bila pentadbir sistem cukup yakin dengan sistem sekuriti mereka, seolah-olah mereka tuhan!  Apalagi jabatan-jabatan kerajaan yang bercakap besar dengan sistem sekuriti mereka, seolah-olah terlalu kukuh dan tidak boleh dicerobohi.

Kalau saya bersara, saya mahu jadi jururunding sekuriti sistem komputer, berada di pihak yang satu lagi dan jadi pemain pertahanan, bukan penyerang! KOOL menamatkan interviu dengan mesej pendek, "Tangkap saya kalau boleh, FBI!".

BeritaWayar juga melaporkan setelah mereka cuba menjejaki KOOL dalam chatroomnya sendiri tidak berhasil kerana penggodam itu telah membuat 'telnet' atau terowong melalui lebih 15 server dan menutup jejaknya dengan memadam fail log disetiap server.

Begitupun menurut BeritaWayar, dari perbualan IRC itu boleh dibuat andaian yang KOOL bukan dari Amerika dan Inggeris bukan bahasa utamanya kerana banyak KOOL menggunakan bahasa Inggeris lintang pukang! Walau begitupun tidak boleh dianggarkan usia beliau.  

*********

Seluruh dunia sekali lagi gempar dengan penangkapan serentak tiga remaja yang dikatakan terlibat dalam penggodaman sistem komputer Pentagon. Mereka juga dikatakan dari kumpulan bawahtanah online yang bernama "Penguatkuasa". Seorang yang berusia 13 tahun ditangkap di Miami, yang berusia 14 tahun diberkas di India dan seorang lagi, juga 13 tahun di Liverpool. "Sebagai sebuah kumpulan, bukan kami yang menggodam server kerajaan Amerika!"  AnakSiber yang ditangkap di Liverpool memberitahu sidang akhbar.

"Apa yang dilakukan oleh ahli kumpulan kami diwaktu terluang adalah hak masing-masing. Tiada siapa dari kami bertiga yang terlibat tetapi mungkin setiap yang terlibat adalah ahli kumpulan kami!" SitaDigital yang diberkas di India turut membuat kenyataan. "Hanya minoriti dari ahli kumpulan Penguatkuasa adalan penggodam yang nakal. Matlamat utama kumpulan kami ialah untuk menghapuskan pornografi kanak-kanak yang semakin berleluasa dalam Internet. Kami akan menggodam dan menceroboh setiap tapak web yang menganjurkan pronografi kanak-kanak. Kami akan memusnahkan tapak-tapak web tersebut sehingga mereka yang memilikinya tidak boleh akses tapak web mereka sendiri! Sebab itulah kami menggelarkan diri kami penguatkuasa!"

Selanjutnya BudakBestari yang diberkas di Miami memberitahu para wartawan selepas dihadapkan ke mahkamah juvana. "Kami kumpulan Penguatkuasa merasa terkejut dengan cara tindakan FBI terhadap kami dan persepsi orang ramai terhadap kumpulan ini yang mengganggap kami sebagai penceroboh jahat. Fikirkan tentang perkauman, pornografi samada kanak-kanak atau wanita untuk seks, fitnah dan pedophilia dalam Internet yang berleluasa tanpa sekatan. Mereka yang berkuasa pula  memburu kami sebagai penjenayah. Kami tiada pilihan selain bertindakbalas dengan cara kami sendiri. Dari itu kami gunakan komputer mereka sendiri untuk menentang apa yang dikatakan sebagai jenayah!"

Tiada siapa tahu berapakah jumlah sebenar ahli kumpulan Penguatkuasa dan taburan ahli di muka bumi. Kesemua yang ditangkap sendiri tidak tahu maklumat itu kerana menurut SitaDigital "hanya ketua kami saja yang tahu kerana dia yang meluluskan keahlian dan kami sendiri tidak tahu siapa dia!" Dari mereka yang ditahan, ramai menjangkakan purata umur ahli kumpulan ini adalah 13 tahun!

Ahli-ahli kumpulan Penguatkuasa terus menghantar emel-emel bantahan melalui BeritaWayar terhadap penahanan rakan-rakan mereka.  "Kami adalah sekumpulan anak-anak siber berhati waja, bersatu untuk satu maklumat, untuk kebebasan Internet dan hak untuk belajar. Memang menggodam adalah salah, tetapi kami akan menutup kembali setiap server yang digodam dan kami sekali-kali tidak mencuri fail-fail rahsia!" Mesej yang dihantar oleh JiwaMerdeka dari Denmark.

Dan emel Samurainternet dari  Jepun seakan merumuskan semuanya. " FBI

menggambarkan kami sebagai ancaman bahaya pada keselamatan negara Amerika, kononnya konspirasi antarabangsa. Mereka sebenarnya lebih bahaya sebagai polis antarabangsa, membunuh jutaan umat manusia atas nama keselamatan dunia! Mereka membuat tohmahan keatas kami bukan kerana ignoran dan salah faham, kononnya kami mempunyai motif jahat, tetapi mereka  sebenarnya mahu menutup kelemahan sekuriti dan kebodohan mereka sendiri! " Samurainternet menutup mesejnya dengan satu pesan terbuka, "KOOL bukan ketua kami dan tiada siapa tahu siapa ketua Penguatkuasa!" Begitupun FBI menganggap dakwaan itu sebagai helah mereka semata-mata. **********

"Mereka telah menangkap KOOL!" OtakOtak menghantar mesej pada chatroom. "Mereka takkan tahu KOOL dari Israel itu hanyalah proksi. FBI telah menghentikan siasatan sementara waktu ini kerana menganggap KOOL adalah ketua Penguatkuasa yang sangat-sangat dikehendaki." PenghuluSiber yang baru menyambut hari jadi ke dua belas itu telah mengatur segalanya. Sejak 10 bulan dengan menggunakan ramai proksi untuk mengalihkan perhatian ke dua tiga orang kuatnya yang bersedia menghadapi penahanan. Supaya ramai terkeliru dengan modus operandi mereka. Supaya setiap strategi sukar dibaca dan yang lebih penting, puncak perancangan tidak terhalang oleh kebocoran strategi.

"Semua telah bersedia!" Mesej akhir OtakOtak bersama warna merah garang dengan fonts saiz 48.

10,000 ahli kumpulan Penguatkuasa seluruh dunia sama-sama merenung detik jam di muka skrin komputer masing-masing. Yang paling muda berusia 10 tahun, OtakOtak dan paling tua 15 tahun, ElNino di Hawaii. Mereka akan menyerang setiap server di Pentagon dan di mana saja server kepunyaan Tentera Amerika, sama ada darat, laut atau udara. Masing-masing mempunyai sasaran secara berkumpulan.

Sambil menatap skrin, PenghuluSiber yang berterusan berkurung dalam sebuah kafesiber kepunyaan bapa saudaranya di bandar Kuala Rompin, Pahang itu berkata perlahan-lahan. "Untuk Palestin, Iraq dan manusia sejagat yang tertindas oleh propaganda Amerika!"

Serentak tepat jam 00.01 waktu Pentagon.   

"3 2 1 Serang!"


BALIK