Bahasa dan Lagu Tidak Dapat Dipisahkan  

Oleh: Puteri Mawar Zulaikha (email Fudzail)


DEWASA ini, kita tidak perlu ke mana-mana untuk mencari hiburan.  Hanya dengan mendengar radio, irama dan lagu yang memenuhi citarasa semasa berkumandang menerjah gegendang meresap terus ke jiwa, semua masalah dan ketegangan akan terlerai biarpun masih belum selesai.  Pelbagai rentak, irama, dan nada dapat kita nikmati.  Hasil pemikiran dan daya usaha yang menggunakan bahasa Melayu yang indah dan kreatif para pencipta lirik secara tidak langsung turut meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan masyarakat yang berbilang kaum.    

Biarpun setiap lagu mempunyai mesej dan rentaknya yang tersendiri namun penggunaan bahasa yang betul dalam lirik lagu tidak harus diketepikan.  Ketiga-tiga unsur dalam sesebuah lagu iaitu  seni kata, muzik, dan vokal yang serasi akan menentukan mutu nyanyian dan menjadikan lagu itu dapat bertahan lama di persada seni tanah air.   Kecenderungan pengubah lagu tempatan menghasilkan lagu berentak asli, ghazal atau zapin, mendorong penulis lirik lagu menghasilkan bait-bait lirik yang mempunyai unsur-unsur seni dengan bahasa yang indah.  Cuba kita halusi lirik lagi Cindai nyanyian Siti Nurhaliza yang antara lain berbunyi seperti yang berikut:     

mendendam unggas liar di hutan,
      jalan yang tinggal jangan berliku;
      tilamku emas cadarku intan,  
   berbantal lengan tidurku ....     

 Kehalusan lirik lagu Cindai cukup indah dan  mempunyai maksud tersirat.  Maka tidak hairanlah Cindai berjaya memenangi Juara Lagu 1998 baru-baru ini.  Peminat dan pendengar tempatan kini sudah peka dan lebih menghayati kata-kata dalam setiap lagu yang  diperdengarkan. Tidak salah jika kita katakan bahawa lagu yang popular biasanya mempunyai kekuatan pada liriknya yang mengandungi kehalusan kata-kata.    

Lagu bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan semata-mata, malah dapat membentuk keindahan rohani dan jasmani juga.  Unsur dakwah dan nasihat mampu disampaikan dengan menggunakan bahasa yang baik, sopan, dan indah agar dapat menyentuh hati pendengar.   Dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa sesungguhnya bahasa yang baik dan pemilihan kata yang tepat dalam sesebuah lagu, mampu membantu lagu tersebut agar diminati pendengar.   Penulis lirik lagu seharusnya tidak hanya mementingkan pulangan material sahaja semasa mencipta lirik.  Ada di kalangan penulis lirik yang malas membuat rujukan yang menyebabkan lirik ciptaan mereka agak merapu, lari daripada maksud judul,  pemilihan kata yang tidak tepat penggunaannya, dan kadang-kadang terdapat lirik lagu yang merosakkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.  Penulis lirik yang terbabit sering tidak memikirkan kesan penggunaan seni kata sedemikian yang akan memberi kesan terhadap minda, budaya, akhlak, dan kesopanan masyarakat Melayu, apatah lagi terhadap perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.   Namun, syabas diucapkan kepada penulis-penulis lirik yang menggunakan kata-kata yang indah dan dalam masa yang sama mengambil kira faktor ketepatan pemilihan kata dalam lagu-lagu mereka.  Kata-kata indah yang disulam dengan rentak tradisional dan moden inilah yang selayaknya menceriakan dan mewarnai persada seni tanah air, di samping memperluas penggunaan bahasa Melayu.  


BALIK