Pak Aji Mak Aji Berdakap Setongkol

Oleh: Muhammad Isa Ismail



M ALAM gelap pekat macam kopi "o" keras. Satu bayang-bayang manusia meraba-raba di bawah rumah Pak Haji Bujal - Tuk Imam merangkap Tuk Guru di kampung itu.

    Ketika itu Pak Haji Bujal sedang duduk menghadapi meja di  biliknya. Macam orang menang judi, dia mengira-ngira wang yang berlonggok-longgok di atas meja itu.

    "Syling 50 sen ada 45", bisiknya.

    Otaknya segera mencongak : "45 X 50, jadi 2,250 = $22.50". Segera dicatatkannya di dalam bukunya.

    Tangannya segera mencekau kumpulan wang kertas $1.00 yang telah dilipatkannya berasingan setiap 10 helai.

    "Ada 7 lipatan = $70.00. Campur dengan lipatan yang tak cukup sepuluh ini...". Dibilang-bilangnya. "8 saja = $8.00; $70.00 + $8.00, jadi $78.00". Dicatatkannya juga di bukunya.

    Lipatan wang kertas $5.00 pula dibilangnya. "6 saja = $30.00". dicatatkannya juga di bukunya itu.

    Lalu dikiranya jumlah wang itu.

    "$130.50", bisiknya lagi. Sekuntum senyuman puas terkembang di bibirnya.

    Macam orang makan julap yang hendak bertapa di dalam tandas, dia tergesa-gesa keluar dari biliknya. Terus ke dapur. Isterinya sedang mencuci pinggan mangkuk.

    "Heh, Mek Lipah! Mari kejap!" Keras suaranya.

    Mak Haji Lipah terkejut. Lantas melatah : "Aiii, Pak Aji Mak Aji berdakap setongkol!!" Sebiji gelas terhempas ke lantai keras dan menjerit pecah.

    Orang di bawah rumah ketika itu sedangan menahan kentutnya. Hampir terkentut dia menahan ketawa.

    Pak Haji Bujal betenang. Tahu benar dia bagaimana hendak memulih fikiran sedar orang yang sedang melatah : Tak boleh bikin ribut-ribut. Kedua-dua belah tangan Mak Haji Lipah menggaru-garu kepalanya yang memang tidak gatal. Sebahagian rambutnya yang sudah putih itu mengerbang perssis sarang tupai.

    "Hai, nak bergurau pulak orang tua ni!"

    "Masya Allah! Aku nak bergurau katamu?"

    "Aa, apa kata Abang Aji tadi?".

    "Mari sini dulu. Aku nak tanya sikit".

    "Hai, Abang Aji tak nampakkah pinggan mangkuk kotor bersepah-sepah ni?"

    "Tinggalkan dulu. Mustahak ni!".

    "Alaaah! Cakap sajalah di sini. Suruh orang mengadap dia pulak".

    Pak Haji Bujal mengalah. Dia menghampiri isterinya.

    "Awak dah timbang semua gula tu?" Pak Haji Bujal memuncungkan bibir ke longgokan bungkusan gula di ceruk dapur.

    "Dah!"

    "Berapa kati semuanya?"

    "50".

    "Beras tu, berapa gantang?"

    "28 cupak".

    "Buah kelapa di bawah rumah tu?"

    "Tinggal 5 biji saja lagi".

    Pak Haji Bujal mengangguk-angguk senang. Otaknyaa mengira-ngira harga barang-barang itu. Dia dapat barang-barang itu dengan percuma sahaja - disedekahkan oleh murid-muridnya dan orang-orang kampung. Esok barang-barang itu akan dijualnya.

    "Sykurlah. Tahun ni kita dapat untung lebih banyak". Katanya sambil mencabut kopiahnya dan menggaru-garu kepala botaknya.

    Terdetak di hati orang yang sedang mengendap di bawa rumah itu : "Dia berniaga di sebalik membuat pahala? Patutlah dia selalu mengadakan jamuan. Bulan Maulud, jamuan maulud. sampai bercukur dan bersunat anak cucunya pun dia mengadakan kenduri besar. Siang tadi dia berniaga lagi rupa-rupanya. Barang jualannya : Bubur asyura".

    "Saya tak sangka sampai 6 kawah dapat kita buat tahun ni", Mak Haji Lipah turut berbangga.

    "Awak bukan tak tahu, anak murid aku ramai. Kalau tak berduit satu sen pun kita boleh buat. Kenalan aku pun bertambah ramai sekarang ni. Mereka lambat dijemput, semuanya datang. Bukan datang kosong saja. Wakil rakyat, D.O, A.D.O, kerani-kerani yang datang tadi mengholorkan wang". Pak Haji Bujal mengusap-ngusap perut gendutnya yang semacam tempayan itu. Senyumnya bertali-tali.

    "Berapa semuanya duit yang kita dapat, Bang Aji?"

    "Tak termasuk harga gula dan beras tu $130.50 tolak 10 sen".

    "Tolak 10 sen? Duit apa 10 sen tu?"

    "Harga gelas yang pecah tadi tu"

    "Alaaah, mengada-ngada orang tua kedekut ni!"

    "Heh, lipas tu!" Pak Haji Bujal mengusik isterinya.

    "Hai, Pak Aji Mak Aji berdakap setongkol!" Mak Haji Lipah melatah pula.

    Pak Haji Bujal ketawa besar. Perutnya terhenjut-henjut. Dia segera beredar dari dapur. Terus masuk ke dalam bilik kembali.

    "Ya, Allah! Mana duit atas meja ni?" tiba-tiba dia memekik.

    Mak Haji Lipah meluru masuk ke dalam bilik. Dia disergah oleh Pak Haji Bujal, "Heh! Awak tak tutup tingkap tu tadi? Tak boleh diharap!"

    "Hai! Pak Aji Mak Aji berdakap setongkol!" Mak Haji Lipah melatah lagi. Terlompat-lompat. Tergaru-garu.

    Pak Haji Bujal melurut dada menahan marah. Matanya bersinar-sinar menjelajah alam yang gelap pekat di luar rumah melalui tingkap yang sedang ternganga luas. Mukanya berkerut-kerut. Berpeluh. Dia mengucap berkali-kali. Baru teringatkan Allah dan Rasul.

    Easoknya : Dua keping lantai dapur rumah Pak Haji Bujal didapati terkopak. Beras dan gula semuanya lenyap. Beberapa tongkol kuih asyura juga turut hilang. Di bawah rumah ada kesan tapak kaki manusia. Buah kelapa tinggal sebiji sahaja.


BALIK