Anwar berbohong kepada rakyat

        Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
        hari ini menyifatkan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim keracunan arsenik, kini terbukti satu lakonan dan
        pembohongan besar terhadap rakyat.

        Sehubungan itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, meminta orang ramai menjadikan
        kes itu sebagai teladan, terutama mereka yang mudah terpengaruh dengan berita tidak berasas.

        "Kes ini boleh dijadikan teladan kepada semua pihak, terutama orang ramai supaya tidak mudah
        mempercayai sesuatu dakwaan yang tidak disokong bukti yang jelas dan nyata.

        "Malah, ternyata demonstrasi jalanan yang dicetuskan sebelum ini hanya sia-sia. Perbuatan yang tidak
        berasaskan fakta sahih hanya membawa implikasi besar kepada masyarakat," katanya.

        Beliau mengulas laporan perubatan bekas timbalan perdana menteri itu oleh Hospital Universiti
        Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini, yang didapati dia tidak
        mengalami keracunan arsenik akut atau kronik.

        Laporan itu juga menyatakan Anwar tidak mengalami penyakit seperti HIV; Aids; kegagalan kinjal;
        kencing manis; tirotoksikosis; anemia kronik; TB atau penyakit barah yang menjadi punca kepada gejala
        dialami.

        Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, pula berkata keputusan ujian arsenik Anwar itu membolehkan
        rakyat kini mengetahui siapa yang bercakap benar.

        "Jelas sekali dakwaan keracunan arsenik itu memang suatu taktik kotor pembangkang untuk menarik
        simpati dan sokongan rakyat terhadap mereka terutama menjelang pilihan raya," katanya.

        Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid, berkata Anwar sengaja membangkitkan isu itu
        untuk mendapat reaksi pemimpin yang menyertai forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di New
        Zealand dan wartawan yang membuat liputan Persidangan Undang-Undang Komanwel (CLC) yang
        berlangsung bulan lalu.

        "Kita pasti ini bukan cubaan terakhir Anwar. Beliau akan cuba sekali lagi ketika negara menjadi tuan
        rumah perlumbaan kereta Formula One (F1) tidak lama lagi untuk mencuri perhatian dunia," katanya.

        Azmi menganggap tindakan Anwar itu sama seperti Menteri Propaganda Nazi, Josef Goebbles, yang
        mendakwa apabila pembohongan disebut berulang kali, orang ramai akan mempercayainya.

        Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Zulkifli Alwi, berkata kalau itulah hasil ujian yang mendapati terbukti
        dakwaan pembangkang kononnya ada cubaan membunuh Anwar, sebagai berniat jahat.

        Beliau tidak menolak kemungkinan Anwar atau penyokongnya menimbulkan isu baru selepas ini untuk
        mencetuskan kemarahan semata-mata meraih simpati.

        Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Saifuddin Abdullah, pula berkata pihaknya lega Anwar kini
        disahkan tidak mengalami keracunan arsenik dan berharap kesihatannya kembali seperti sedia kala.

        "Kita berharap semua pihak belajar daripada insiden ini untuk tidak terlalu emosional membuat tuduhan
        atau dakwaan sebelum siasatan lengkap diadakan. Kita mesti yakin dengan keputusan ini," katanya.