Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, berkata sebagai bekas pemimpin kerajaan, Anwar sepatutnya meminta penyokongnya bertenang dan tidak mencetuskan huru-hara.
"Jika benar Anwar seorang pemimpin berwibawa, beliau tidak perlu menggalakkan penyokongnya merusuh dengan harapan negara akan kacau-bilau dan beliau dibebaskan daripada penjara.
"Sebaliknya, Anwar perlu menanamkan semangat cintakan negara di kalangan penyokongnya, termasuk tidak cuba mendapatkan bantuan pihak asing untuk menjatuhkan kerajaan yang ada," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Umno bahagian Kota Melaka di sini, petang semalam.
Mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Fadzil Nor bahawa Islam membenarkan orang bukan Islam menggunakan masjid untuk berceramah, Wan Mokhtar berkata, orang bukan Islam boleh memasuki kawasan masjid tetapi mengikut peraturan yang ditetapkan.
"Masjid adalah tempat suci umat Islam dan apa juga kegiatan yang hendak dilakukan, mestilah mematuhi garis panduan yang ada dan masjid bukanlah tempat untuk menimbulkan huru-hara," katanya.