Anwar sah tidak keracunan

Polis hari ini mengesahkan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengalami keracunan arsenik seperti yang didakwanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai berkata, polis berpuas hati dengan hasil siasatan selama lebih dua bulan serta membabitkan keterangan 56 saksi itu.

Bagaimanapun, katanya, polis belum memutuskan bentuk tindakan yang akan diambilnya terhadap Anwar ekoran hasil siasatan itu.

"Kita berpuas hati dengan laporan yang kita terima dan kita juga mendapat pandangan patologi.

"Kesimpulannya daripada siasatan ini ialah bahawa dakwaan Anwar mengalami keracunan arsenik adalah tidak benar," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini.

Dakwaan bahawa Anwar diracun ditimbulkan di Mahkamah Tinggi pada 10 September lalu oleh peguamnya, Karpal Singh, yang berkata ujian sampel air kencing di Makmal Patologi Gribbles di Melbourne, Australia, menunjukkan Anwar mengalami keracunan arsenik yang tinggi.

Ujian itu mendapati paras arsenik dalam air kencing Anwar ialah 230 mikrogram bagi setiap gram kreatinin iaitu 77 kali ganda lebih tinggi daripada paras biasa.

Berita Harian pada 22 September lalu melaporkan bahawa hasil ujian awal ke atas beberapa sampel rambut dan kuku Anwar menunjukkan beliau tidak mengalami keracunan arsenik seperti didakwa.

Norian menjelaskan, siasatan mengenai perkara itu mengambil masa panjang kerana kes itu serius.

Katanya, polis juga mengambil sampel air kencing, kuku dan rambut Anwar untuk dianalisis oleh doktor dan tiga pihak yang mempunyai kepakaran dalam keracunan arsenik iaitu Jabatan Kimia, Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear (Mint) di Bangi dan sebuah makmal swasta di Singapura.

Untuk tujuan perbandingan, katanya, polis juga mengambil empat sampel daripada pegawai penjara yang menguji makanan serta lapan sampel daripada banduan yang memakan makanan serupa.

Norian berkata, semua percakapan 56 saksi itu direkodkan dalam tempoh Anwar ditahan di lokap polis Bukit Aman sehingga beliau ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Langkah itu bagi menentukan dakwaan Anwar dalam laporan polisnya bahawa beliau mengesyaki menerima makanan beracun dari tempoh ditahan di Bukit Aman sehingga tempoh laporan polis dibuat.

"Ini membuktikan penyiasatan yang dilakukan polis adalah terperinci, menyeluruh dan menjawab atau meliputi semua aspek tuduhan yang dibuat oleh Anwar," katanya.

Ditanya bila kertas siasatan keracunan arsenik Anwar akan diserahkan kepada Peguam Negara, Norian berkata, itu adalah keputusan pentadbiran.