ANWAR TIDAK HARGAI LAYANAN ISTIMEWA

Tomahan bekas Timbalan Perdana Menteri bahawa kononnya makanannya dicemarkan dengan arsenik-satu bahan kimia yang amat berbahaya adalah satu perkara yang terancang, demi menagih simpati pihak ramai, terutama mereka yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim di negara ini.

Ia dikendalikan sejajar dengan perhimpunan APEC di New Zealand di mana ramai pemimpin-pemimpin dunia dan wakil-wakil media massa dunia hadir. Dalam hal ini tujuannya bukan sahaja untuk menagih simpati, tetapi untuk memalukan negara dan pemimpinnya.

Bagi saya perbuatan Anwar dan komplot-komplotnya selain disebut tadi merupakan perbuatan yang amat terdesak dan sudah tidak nampak jalan lain lagi. Dia masih mahu mencari simpati yang dia sendiri tahu sudah menjadi kian hari kian tipis. Dia masih hendak menunjukkan bahawa telah berlaku konspirasi politik terhadapnya dan konspirasi politik ini bukan berhenti setakat dia di penjara, malah melenyapkannya dari muka bumi ini.

Tidak ramai, bukan saja di negara ini, malah di seluruh dunia akan mempercayai tuduhan ini. Semua orang tahu, seperti disebut di dalam sebuah artikel surat khabar Amerika tidak lama dulu, penduduk-penduduk Malaysia ini merupakan masyarakat sofiskated dan amalan membunuh lawan politik tidak terlintas dalam fikiran mana-mana pemimpin politik sama ada pro atau antikerajaan, Islam atau bukan Islam,

SERIUS

Tuduhan yang dibuat itu amat serius dan jika disahkan tidak benar Anwar dan isterinya patut didakwa kerana mereka telah membuat tuduhan melulu yang memalukan negara. Satu perkara lagi ialah air kencing yang didakwa kelura dengan cara tipu muslihat hendaklah dijadikan kes kastam dan harus didakwa.

Bersabitan dengan insiden ini, saya syorkan agar kawalan ketat dikenakan atas Anwar. Dia tidak harus lagi diberi layanan istimewa khususnya menerima makanan daripada keluarga atau sahabat handai yang mungkin sengaja dicemarkan sedikit dengan benda yang toksik seperti arsenik.

Anwar tidak tahu menghargai keistimewaan yang diberikan kepadanya. Menolongnya samalah seperti menolong anjing tersepit.

CINTAKAN NEGARA
Kuala Lumpur