Babak drama keracunan Anwar tamat
 

SELEPAS Mahkamah Tinggi dimaklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengalami keracunan arsenik akut atau kronik hasil siasatan 12 pakar perubatan, pemimpin Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dalam ceramah masih menegakkan benang basah. Mereka terus mereka-reka episod cerita terbaru bagi mempertikaikan hasil siasatan itu.

Menyedari segala pembohongan Anwar untuk membakar semangat penyokongnya terbongkar, menerusi halaman web Internet, Keadilan membuat tohmah dan fitnah terhadap pakar yang melakukan siasatan. Mereka masih berharap orang ramai percaya Anwar sengaja diracun oleh orang suruhan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad walaupun rakyat sejak awal lagi was-was mengenai kesahihan tuduhan yang mengejutkan itu.

Kelmarin, siasatan polis pula mengesahkan Anwar tidak mengalami keracunan arsenik. Siasatan dua bulan mereka membabitkan 56 orang saksi itu mengesahkan lagi bahawa dakwaan Anwar itu sebenarnya adalah strategi politiknya. Anwar seperti yang diakui ramai adalah ahli politik yang cekap dan sanggup berbuat apa saja untuk memastikan kerjaya politiknya terus subur. Dalam keadaan semakin terdesak, beliau memerlukan satu demi satu 'drama dan lakonan' besar untuk membuka mata semua orang. Beliau sedaya upaya cuba menyogok penyokong dengan cerita baru yang menggemparkan menjelang pilihan raya.

Sehubungan itu, kita percaya, Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan pemimpin Keadilan lain akan terus mencari ruang lain memutarbelitkan hasil siasatan yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, kelmarin. Mereka akan cuba menyanggah laporan polis dengan menyenaraikan semula siri kekejaman pasukan keselamatan termasuk kes Tan Sri Rahim Noor memukul Anwar.

Keadilan akan berusaha keras memberi gambaran bahawa apa jua yang dilakukan polis apabila membabitkan Anwar, tidak harus dipercayai rakyat. Mereka akan mencerca segala tindak-tanduk polis sebelum ini yang kononnya berpihak kepada kerajaan termasuk keengganan meneruskan siasatan rasuah yang didakwa Anwar terhadap beberapa pemimpin kerajaan. Itu sajalah cara terbaik bagi mereka menafikan laporan polis itu.

Sesungguhnya, siasatan pakar perubatan dan polis sudah cukup untuk menyerlahkan pembohongan Anwar. Bagi mereka yang keliru selama ini, babak drama Anwar keracunan sudah tamat dan tirainya sudah dilabuhkan. Tidak ada hadirin dan penonton yang mahu melihat sandiwara yang sama berulang berkali.

Mereka yang terbabit dalam isu ini sama ada Anwar, Wan Azizah dan peguam bela Karpal Singh perlu menghadapi risikonya. Siasatan laporan palsu mengenai keracunan itu mesti diteruskan. Jabatan Peguam Negara, Polis dan Kementerian Dalam Negeri mesti segera mengambil tindakan.

Apa yang didakwa Anwar telah menjejaskan kewibawaan banyak pihak terutamanya Jabatan Penjara. Akibat pendedahan Karpal di mahkamah, tercetus demonstrasi dan rusuhan di ibu negara sehingga rakyat berarak ke Istana Negara. Sebilangan yang hilang pertimbangan selepas dihasut, menyerang polis dalam usaha mendesak campur tangan Raja-raja Melayu.

Masjid Negara pula dicemari oleh tindakan pembangkang manakala Keadilan mengajak mereka yang bukan Islam berucap di masjid, mencemarkan kesucian rumah Allah itu. Keselamatan rakyat dan kestabilan kerajaan serta negara tergugat. Akibat isu arsenik ini,

Malaysia dikecam dan dikritik hebat oleh badan bukan kerajaan, pertubuhan antarabangsa dan juga media asing yang sememangnya sejak awal lagi tidak senang dengan kerajaan. Imej Malaysia yang selama ini dipupuk kerajaan dan diharumkan pula oleh rakyat tercemar. Apatah lagi ketika itu beberapa persidangan antarabangsa sedang berlangsung di Kuala Lumpur dan sempena mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di New Zealand.

Rakyat hampa dan kecewa kerana bayaran yang terpaksa diterima mereka hanya disebabkan wujudnya segelintir kumpulan yang mahu memperjuangkan masa depan politik seseorang. Lantas, apakah rakyat mahu mereka yang mendalangi isu arsenik ini yang motifnya untuk menimbulkan ketegangan, bebas begitu selepas membuat onar? Apa yang jelas, dalam isu ini Karpal misalnya mengambil kesempatan memperkudakan Anwar untuk kepentingan politik sendiri di samping menghidupkan teori konspirasi selepas gagal menyelamatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam perbicaraan yang pertama.

Walaupun hakikatnya laporan pakar perubatan dan polis itu dapat membersihkan nama kerajaan, kemusnahan akibat perbuatan Anwar tidak semudah itu dijernihkan semula. Kebenaran sudah terserlah dan mereka perlu menerima padahnya.