Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, bukan menjadi budaya rakyat negara
ini
untuk membunuh orang yang sedang dibicarakan di mahkamah kerana fahaman
politiknya.
Perdana Menteri berkata, setakat ini tidak ada orang dibunuh kerana fahaman
politik mereka dan beliau
hairan mengapa pihak terbabit mengambil masa 14 hari untuk mengemukakan
laporan itu kepada
mahkamah.
"Kalau seseorang itu diracun, saya percaya dia akan tergesa-gesa lari ke hospital untuk mengubatinya.
Tetapi mereka nampak bersedia tunggu sehingga 14 hari, barulah hendak beritahu
dan hendak mendapat
pengesahan bahawa mereka telah diracun.
"Kalau racun itu hendak bunuh kita, saya ingat kena racun saja hari ini
juga kita akan ke hospital untuk
memasukkan ubat antiracun dan sebagainya untuk mengeluarkan racun," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis
makan tengah hari bersama
Perdana Menteri anjuran Barisan Nasional Wilayah Persekutuan, di sini semalam.
Beliau mengulas tuduhan Presiden Parti Keadilan Nasional, Datin Seri Dr
Wan Azizah Ismail, bahawa ada
cubaan untuk meracuni suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahkamah Tinggi di sini kelmarin menangguhkan perbicaraan kes liwat bekas
Timbalan Perdana Menteri
itu bagi membolehkannya menjalani pemeriksaan perubatan selepas peguam
belanya, Karpal Singh
mendakwa Anwar mengalami keracunan arsenik.
Berikutan dakwaan itu, kerajaan mengarahkan sebuah pasukan khas ditubuh
bagi menyiasat tuduhan Wan
Azizah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, malam kelmarin
berkata, pihaknya
menganggap tuduhan itu amat berat dan perlu ditangani segera.
Dr Mahathir berkata, ini adalah kali pertama orang membuat tuduhan bahawa
kerajaan cuba membunuh
seseorang.
Ditanya bagaimana air kencing berkenaan boleh dibawa keluar untuk diuji,
Perdana Menteri berkata, itu
kena tanya mereka yang bawa.
"Saya tidak tahu. Mungkin air kencing
orang lain, mungkin juga ketika Anwar makan di mahkamah dan
di penjara. Macam-macam orang beri (Anwar) makan," katanya sambil
menambah tidak ada orang dalam
perbicaraan mendapat layanan seperti Anwar.
Perdana Menteri berkata, tidak ada orang yang sedang dibicarakan boleh
makan dalam mahkamah tetapi
Anwar boleh, malah boleh bercakap dengan wartawan, termasuk wartawan asing.
Ditanya mengapa perkara itu berlaku, Dr Mahathir berkata, barangkali mereka
takut dunia nanti kata kita
tidak adil dan tekan orang yang sedang dibicarakan.
"Tahulah ada pemberita asing dan mereka meminta pertolongan orang asing untuk tolong mereka.
Mereka sentiasa memburukkan negara kita, negara mereka sendiri.
"Kepada orang asing diceritakan yang bukan-bukan," katanya.