Ceramah kait sultan

        Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN)
        menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung kandungan ceramah seorang
        pemimpin Pas yang didakwa mengaitkan Sultan Kelantan dengan politik.

        Timbalan Perdana Menteri berkata, laporan berhubung perkara itu sudah dikemukakan kepada polis dan
        pihak berkuasa terbabit wajar membuat siasatan terhadap sebarang perkara yang didakwa menyalahi
        undang-undang.

        "KDN tidak boleh melakukan sebarang siasatan (kerana) laporan telah dikemukakan kepada polis.

        "Laporan rakyat terhadap sesuatu yang berlaku dan menyalahi undang-undang dibuat kepada polis dan
        bila polis terima laporan terhadap apa juga kegiatan yang menyalahi undang-undang, polis yang buat
        siasatan...KDN tak boleh buat siasatan," katanya.

        Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis peletakan batu asas Maktab
        Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli di Kampung Gemang, dekat sini, hari ini.

        Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar Musa; Menteri Kewangan Kedua
        merangkap Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Mara, Ruhanie
        Ahmad.

        Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pemimpin terbabit boleh didakwa mengikut Akta
        Hasutan jika ceramahnya didapati mengandungi unsur hasutan dan ada laporan dibuat mengenainya.

        Beliau berkata, ini berikutan kedudukan Raja-Raja Melayu yang tidak boleh diungkit atau dipersoalkan
        oleh mana-mana pihak.

        "Saya tak tahu kenapa mereka (pemimpin Pas) perlu bangkitkan hal yang berkaitan dengan Sultan
        (kerana)...isu Sultan tak perlu dibawa dalam pilihan raya.

        "Kalau nak menang pilihan raya umum, buktikan mereka ada rancangan yang boleh dilaksankaan (dan)
        bukan dengan perkara yang membabitkan Sultan dan sebagainya," katanya.

        Minggu lalu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh, ketika berceramah di
        Arau mendakwa rakyat Kelantan tidak lagi menghiraukan keluarga diraja.

        Malah, beliau turut mendakwa Sultan Kelantan sendiri akan kalah sekiranya bertanding menentang
        Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam pilihan raya umum akan datang.

        Wan Ismail turut menuduh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah,
        sebagai anak raja gila kerana begitu terdesak untuk menambat hati rakyat sehingga terpaksa berjumpa
        orang ramai di kedai kopi walaupun pada jam 2 pagi.

        Dalam perkembangan lain, Abdullah menyifatkan penubuhan Pas baru oleh beberapa bekas ahli Pas
        sebagai bukti kekecewaan rakyat terhadap kepemimpinan Pas sedia ada.

        Sementara itu ketika berucap di Dewan Sekolah Menengah Sains Labok, Machang, Abdullah
        berkataberkata rakyat Kelantan mempunyai kemampuan dan kebolehan untuk memajukan negeri ini
        tetapi peluang itu tidak dapat disediakan oleh kerajaan Pas.

        Beliau percaya rakyat Kelantan mahu perubahan itu yang akan dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional
        (BN) selepas pilihan raya umum akan datang.

        Abdullah berkata, semua ahli Umno di negeri ini perlu menjalin hubungan baik dan memberi kerjasama.
        kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.