Polis hari ini membuat laporan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan
Nasional (Keadilan), Marina Yusoff, berhubung tuduhan pasukan keselamatan
itu turut terbabit
mencetuskan peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Yaacob Md Amin, berkata laporan
itu dibuat oleh
Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Asisten Komisioner Kamaruddin Mat Desa,
di Bukit Aman, tengah hari
ini.
Laporan polis itu akan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 oleh Jabatan
Siasatan Jenayah Ibu Pejabat
Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang diketuai Senior Asisten Komisioner Mat
Zain Ibrahim.
"Laporan polis sudah dibuat ke atasnya. Polis perlu menentukan terlebih
dahulu laporan itu mengikut
seksyen mana sebelum melakukan siasatan," katanya yang enggan mengulas
lanjut mengenai laporan itu.
Difahamkan, Marina kini disiasat mengikut Seksyen 4 akta itu. Mengikut
Seksyen 4(1), seseorang yang
berucap secara menghasut adalah melakukan satu kesalahan dan jika disabitkan,
boleh dikenakan
hukuman didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun
atau kedua-duanya.
Sementara itu, Mat Zain ketika dihubungi malam ini berkata, pihaknya akan
memanggil Marina untuk
memberi keterangannya berhubung perkara itu pada bila-bila masa saja.
"Kita juga akan memanggil saksi lain untuk membantu siasatan," katanya.
Bagaimanapun, Mat Zain tidak memberi tempoh tertentu untuk menyelesaikan
siasatan yang baru
dimulakan itu.
Ketika ditanya mengenai laporan Pemangku Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin
Hussein terhadap
Marina mengenai ceramahnya di Bukit Mertajam yang menuduh pemimpin Umno
turut bertanggungjawab
mencetuskan tragedi 13 Mei, Mat Zain berkata, kes itu disiasat oleh polis
Pulau Pinang.
Marina dalam satu kenyataannya kelmarin, menuduh pihak berkuasa terutama
polis sedar apa yang
berlaku kerana mereka bertanggungjawab mengeluarkan permit kepada Umno
untuk mengadakan
perhimpunan dan perarakan di ibu kota pada ketika itu.
Dengan berbuat demikian, katanya, polis turut bertanggungjawab kerana gagal mengawal keadaan.
Pada 29 September lalu, Marina ketika berucap di Bukit Mertajam, Pulau
Pinang, mendakwa
pergaduhan kaum pada 13 Mei 1969 itu berpunca daripada tindakan pemimpin
Umno.
Sabtu lalu, Hishammuddin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah
Brickfields ke atas Marina
berikutan dakwaannya itu yang dikatakan mengandungi unsur perkauman.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dilaporkan
berkata polis
akan mengambil tindakan ke atas Marina jika tuduhannya bahawa Umno dan
pasukan keselamatan
mencetuskan rusuhan kaum itu, tidak benar.
Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tuduhan Marina itu tidak
boleh dipandang ringan
kerana berunsur 'nakal' dan tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya lebih
berhati-hati ketika membuat
sebarang kenyataan dan mengkritik kerajaan atau pihak lain bagi mengelakkan
ketegangan antara
pelbagai kaum di negara ini.