Demonstrasi bukan budaya Malaysia

Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata menganjurkan demonstrasi, perarakan dan rusuhan untuk mendesak kerajaan bukan cara negara menyelesaikan masalah. Sambil membidas pembangkang yang gemar menggunakan taktik itu, Perdana Menteri berkata, perbuatan sedemikian bukan budaya Malaysia.

"Orang macam ini tak layak bertanding dalam pilihan raya, jangan kata nak memerintah," kata beliau. "Ini (perarakan) bukan caranya. Cara parti lawan ada perarakan. Kalau Barisan Nasional ada perarakan, kita boleh adakan perarakan 100 kali lebih besar daripada itu. "Tapi kita tak buat kerja seperti itu. Itu bukan cara negara kita... sikit-sikit buat perarakan, demonstrasi," katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan perdana pada hari terakhir konvensyen Pemuda BN di Sabandar Bay Resort, di sini petang semalam. Dr Mahathir yang kemudian berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Sabah, berkata sokongan rakyat di kebanyakan negeri terhadap BN kini semakin baik dan menggalakkan.

Berbanding dulu, katanya, rakyat kini lebih mesra serta memahami falsafah perjuangan serta agenda BN untuk rakyat dan negara. "Di kebanyakan negeri, tahap sokongan rakyat terhadap BN sangat menggalakkan, begitu juga terhadap perjumpaan yang dianjurkan. Semangat mereka juga sangat menggalakkan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata sokongan orang Melayu terhadap BN juga sangat baik seperti terbukti dalam setiap perjumpaan yang dianjurkan apabila mereka menjadi kumpulan majoriti. Ditanya apakah sokongan menggalakkan yang diterima dalam lawatan ke beberapa negeri menjadi inspirasi kepadanya mengadakan pilihan raya, Dr Mahathir berkata, beliau perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, beliau tidak membuat keputusan sesuka hati untuk seronok semata-mata atau ambil kira keadaan di sesuatu tempat, tetapi perlu tahu maklumat mengenai pelbagai aspek. Beliau juga berkata kerajaan diberi mandat selama lima tahun untuk memerintah dan jika tidak ada keperluan, maka tidak perlu mengadakannya secara tergesa-gesa.

"Saya berpendapat bahawa kita diberi mandat selama lima tahun. Pilihan raya ada kosnya dan kita, kalau tak perlu sangat, kita tak perlu ada pilihan raya sebelum genap lima tahun," katanya. Ditanya apakah ada negeri tertentu perlu diberi tumpuan, Dr Mahathir berkata beliau akan melawat ke beberapa negeri sekali atau dua kali atau apabila ada jemputan.

Mengenai amanatnya kepada Pemuda BN, Dr Mahathir berkata beliau memberi penjelasan mengenai sejarah dan latar belakang BN supaya mereka lebih memahami asal-usul BN, sekali gus berjuang berasaskan semangat BN. Beliau juga gembira dengan persiapan BN Sabah menghadapi pilihan raya dan berpendapat jentera yang ada masih kukuh, sekali gus memberi keyakinan dan semangat menghadapi pilihan raya umum.

"Sekarang rakyat di Sabah percaya bahawa BN boleh melaksanakan agenda yang dirancang. Mereka ada pengalaman ketika diperintah PBS dahulu apabila bandar Kota Kinabalu sendiri tiada lampu, jalan tidak dibaiki. "Tetapi apabila BN mengambil alih pemerintahan, hanya dalam tempoh singkat, semua berubah dan meningkat baik," katanya.