Setiap desakan perubahan perlu munasabah

Golongan belia yang terlalu mendesak kerajaan untuk
melakukan pelbagai perubahan diingatkan supaya menyesuaikan permintaan mereka
dengan realiti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, memang tidak
dinafikan golongan belia mempunyai banyak idealisme namun ia perlu diadunkan
dengan realiti kehidupan agar mendatangkan manfaat untuk semua.

Ini kerana jika permintaan itu keterlaluan ditakuti mereka semata-mata mengikut
telunjuk pihak tertentu yang ingin menumbang serta merampas kuasa pemerintahan
yang dipegang kerajaan.

Menurut Fauzi, adalah tidak realistik untuk belia mendesak kerajaan membuat
perubahan dalam sekelip mata kerana proses mentadbir negara bukanlah mudah.

Katanya, biarpun pandangan dan kritikan daripada golongan belia kepada kerajaan
adalah normal, segala permintaan untuk perubahan perlu sesuai dengan keadaan.

''Jika mendesak keterlaluan tidak ada gunanya dipenuhi kerana lebih banyak buruk
daripada baiknya,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Program Rakan Muda
bersama Ahli Dewan Undangan Negeri di Kem 507, Askar Wataniah, Jalan Peel di
sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Koay Kar
Huah dan pengerusi program tersebut Lim Boo Chang.

Menurut Fauzi, yang penting pada masa ini ialah golongan belia sentiasa mensyukuri
keharmonian dan keamanan yang dinikmati di negara ini sejak turun temurun kerana ia
bukan timbul secara kebetulan.

''Jasa pemimpin veteran kita yang berjuang bermati-matian untuk mewujudkan
keamanan sesama rakyat berbilang bangsa mesti sentiasa disanjungi.

''Janganlah kerana dihasut oleh pihak tertentu, semua itu diketepikan tanpa berfikir
panjang,'' katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan peserta program agar sentiasa berusaha
meningkatkan prestasi diri dengan menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya
tidak diperalatkan oleh orang lain.