Guru bincang politik 

        Kementerian Pendidikan memberi amaran keras kepada semua guru supaya
        tidak membincang dan membawa fahaman politik ke sekolah sebaliknya memberi tumpuan kepada
        meningkatkan mutu pendidikan pelajar.

        Serentak amaran itu, kementerian meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak turut berbuat
        demikian bagi mengelakkan timbul pelbagai masalah yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi
        pendidikan itu.

        Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Khalid Yunus, berkata kerajaan memandang serius fenomena
        membawa masuk fahaman poliitk ke sekolah sejak kebelakangan ini yang dilihat boleh merosakkan
        pemikiran pelajar.

        Katanya, sekolah bukan tempat untuk dibincang atau dibawa fahaman politik dan cuba mempengaruhi
        pelajar ke arah itu.

        Katanya, kementerian kenal setiap guru yang terbabit dengan kegiatan seperti itu dan diharap dapat
        dihentikan segera.

        "Tetapi, kerajaan masih bertolak ansur dan tidak mudah mengambil tindakan melulu sebelum siasatan
        menyeluruh dilakukan.

        "Kita tidak nafikan ada guru menentang kerajaan dan semua dalam pengetahuan. Jadi kita minta guru dan
        PIBG janganlah mengambil kesempatan di atas sikap tolak ansur kerajaan untuk meneruskan sikap
        sedemikian.

        "Namun begitu, mereka yang melampau jangan cuba mencabar kesabaran kerajaan kerana kita sedia
        mengambil tindakan sewajarnya," katanya berucap pada majlis makan malam bersama guru besar, guru
        dan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam kawasan Parlimen Peringat, di Sri Puri, dekat
        sini, malam tadi.

        Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar Musa; Ahli Dewan Undangan Negeri
        (Adun) Melor, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir dan Adun Kunak (Sabah), Jasa Raudah.

        Mohd Khalid berkata, kerajaan memberi pelbagai kemudahan demi kepentingan pembangunan
        pendidikan di sekolah untuk melahirkan lebih ramai anak bangsa yang berilmu bagi memajukan negara
        dan masa depan mereka.

        Sebab itu, katanya kerajaan sama sekali tidak membenar urusan politik di bawa masuk ke sekolah kerana
        ia adalah institusi pendidikan.

        "Kerajaan bagi pinjaman buku teks, biasiswa, bantuan makanan kepada murid miskin, tetapi tidak pernah
        tanya ibu bapa mereka menyokong parti mana membuktikan kerajaan tidak berpegang kepada fahaman
        politik dalam soal keperluan pendidikan dan setiap bantuan pendidikan kita berikan berdasarkan
        kelayakan.

        "Tetapi sangat malang ketika kerajaan memberi kemudahan dan tempat begitu baik kepada guru, ada
        guru menghasut murid membenci kerajaan dan bertanya ibu bapa penyokong parti mana," katanya.

        Sehubungan itu, beliau meminta guru dan PIBG menumpukan perhatian kepada pembangunan pendidikan
        tanpa mengheret fahaman politik di sekolah.

        Katanya, jika ada guru berhasrat mahu berpolitik terutama yang menentang kerajaan adalah lebih baik
        mereka meletak jawatan.

        "Sekolah bukan tempat berpolitik yang boleh merosakkan pemikiran pelajar," katanya.