Jangan buat spekulasi

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, semua pihak termasuk kerajaan perlu menunggu hasil siasatan kes kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim keracunan arsenik dan bukan mengeluarkan kenyataan berdasarkan spekulasi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ini isu terbabit kerap digunakan oleh pakatan pembangkang sebagai bahan utama kempen pilihan raya dan kenyataan mereka lebih kepada ''spekulasi dan jangkaan''.

''Kita tunggulah hasil siasatan dan selepas itu tahulah apa pertimbangan dan komen yang kita nak buat,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Budaya Kraf Kuala Lumpur dan Pesta Kraf Kebangsaan 1999 di sini, hari ini.

Isu Anwar yang didakwa keracunan arsenik sering digunakan oleh parti pembangkang khususnya Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dalam siri-siri ceramah politiknya.

Malah dalam ceramah politik bertemakan Sumpah Keramat Pemuda Keadilan di Taman Medan, Jalan Klang Lama 21 September lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa dalam keadaan tenat dan dakwaan menghasut itu telah berjaya membangkitkan kemarahan hadirin.

Menurut Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri, tindakan pembangkang memanipulasikan kes keracunan Anwar jelas memperlihatkan mereka bersikap prejudis melulu kepada kerajaan.

''Apa sahaja yang kerajaan buat, walaupun baik sering dianggap tidak betul padahal kejayaan kita memulihkan ekonomi negara dan macam-macam lagi sering mendapat pujian pakar-pakar ekonomi dan dunia,'' katanya.

Ditanya sama ada perlu polis mengambil sampel kuku dan rambut Anwar bagi membantu siasatan kes itu selepas pihak hospital berbuat demikian, kata Abdullah:

''Saya tidak perlu komen bagaimana mereka buat siasatan. Ini sudah (bersifat) campur tangan. Saya yakin mereka tahu bagaimana nak jalankan siasatan yang rapi dan saintifik.''

Abdullah menambah, isu Anwar keracunan arsenik tidak akan menggugat kerajaan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum kelak.