Kadar arsenik tinggi

Satu kajian pakar tempatan ke atas sekumpulan 12 individu sihat yang dilakukan secara berterusan mulai 12 September lalu, mendapati kandungan arsenik mereka adalah tinggi, iaitu purata 200 hingga 600 mikrogram bagi setiap liter air kencing (ug/L).

Kajian yang dilakukan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sukiman Sarmani, bermula dua hari selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mengalami keracunan arsenik.

Kajian itu bertujuan mendapat gambaran lebih tepat berhubung kandungan purata arsenik penduduk negara ini. Kajian itu membabitkan ujian air kencing, rambut dan kuku responden. Responden dipilih daripada kakitangan lelaki dan wanita UKM.

Ini adalah kajian pertama dilakukan membabitkan air kencing penduduk negara ini berikutan isu keracunan arsenik yang didakwa dialami Anwar. Kajian ke atas kuku dan rambut pernah dilakukan ke atas penduduk negara ini sebelum ini.

Isu keracunan arsenik Anwar ditimbulkan peguamnya, Karpal Singh, di Mahkamah Tinggi di sini, 10 September lalu, berdasarkan keputusan ujian contoh air kencing yang dilakukan di Makmal Patologi Gribbles di Melbourne, 26 Ogos lalu, menggunakan nama samaran Subramaniam, 59.
 

Berdasarkan laporan itu, kandungan arsenik pada sampel air kencing Anwar mencatat 230 ug/g kreatinin. (Satu ug/g kreatinin hampir menyamai satu ug/L).

Prof Dr Sukiman memberitahu Berita Harian, hasil analisis air kencing menggunakan kaedah inductively couple plasma mass spectrometer (ICP-MS) ke atas 12 responden itu, menunjukkan kandungan paras arsenik mereka lebih tinggi daripada dialami Anwar.
 

Analisis rambut dan kuku ke atas responden pula mendapati paras arsenik pada sampel berkenaan berada pada paras normal, iaitu kurang satu bahagian bagi setiap juta (ppm) atau mikrogram bagi setiap gram (ug/g).

Kajian itu membuktikan masyarakat negara ini mempunyai paras kandungan arsenik yang tinggi disebabkan amalan pemakanan serta keadaan geologi di negara ini.

Prof Dr Sukiman yang terbabit dalam kajian arsenik selama 20 tahun, berkata kajian dilakukan menerusi ujian air kencing responden yang dikumpul secara rawak antara jam 10 dan 11 pagi. Hasil ujian mendapati kadar bacaan yang tinggi.
 

Bagaimanapun, kajian mendapati kandungan arsenik dalam air kencing responden mencatat paras lebih rendah, iaitu kurang 50 ug/L apabila sampel itu dikumpul selama 24 jam untuk dianalisis.

Prof Dr Sukiman berkata, ahli sains antarabangsa sependapat bahawa paras di bawah 50 ug/L itu adalah paras normal bagi arsenik dalam air kencing yang dikumpul selama 24 jam.

Bagaimanapun, ahli sains juga bersetuju jika paras ini mencecah 200 ug/L (atau 200 ug/g kreatinin), kajian lanjut perlu dijalankan, termasuk meneliti tabiat pemakanan sebelum membuat kesimpulan bahawa seseorang itu mengalami keracunan.

"Walaupun kandungan arsenik yang tinggi dikesan dalam air kencing yang dikumpul selama 24 jam, kita tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa individu terbabit mengalami keracunan.

"Tambahan pula, jika benar seseorang itu keracunan, paras tinggi yang dikesan itu akan kekal secara berterusan sehingga sekurang-kurangnya tiga bulan.
 

"Keputusan ujian ini mengukuhkan lagi hujah bahawa kandungan arsenik pada air kencing masyarakat negara ini lebih tinggi berbanding penduduk negara lain, terutama di Barat," katanya.

Beliau berkata, kajian terdahulu ke atas penduduk Britain dan Denmark menunjukkan paras arsenik dalam air kencing yang diambil pada waktu pagi hanya 30 ug/L.

Beliau menjelaskan meskipun kajian itu hanya membabitkan 12 responden, ia dilakukan secara berterusan sehingga semalam. Ini sudah memadai untuk menggambarkan kandungan purata arsenik dalam air kencing penduduk negara ini.

Ditanya mengenai tempoh pemulihan bagi seseorang yang mengalami keracunan arsenik, Prof Dr Sukiman, berkata: "Ia bergantung kepada dos pendedahan.

"Tetapi, sukar untuk menyatakan secara tepat tempoh yang perlu untuk pulih daripada kesan keracunan ini. Ada yang boleh menunjukkan tanda pemulihan seawal tempoh 24 jam dengan syarat mendapat rawatan sejawarnya."

Apa yang penting, kata beliau, mereka yang keracunan arsenik perlu mendapatkan rawatan untuk menyingkirkan bahan itu daripada sistem badan sama ada melalui kaedah pengkelatan atau dijauhkan daripada sumber pencemar, selain mendapat makanan berkhasiat dan minuman yang tidak tercemar.

American Journal of Medical Science dalam keluarannya April lalu pula menyebut pesakit yang mengalami masalah pernafasan akibat keracunan arsenik yang teruk, hanya menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas hampir tiga bulan menjalani rawatan pengkelatan dan bantuan pernafasan secara mekanikal.

Menurut majalah itu, kajian sekumpulan pakar mengenai masalah berkenaan juga mendapati pesakit terbabit turut mengalami cirit-birit, muntah, kebas kaki dan tangan serta masalah kulit.

Sementara itu, Pusat Racun Negara (PRN) melalui laman webnya prn.usm.my menyebut pendedahan serendah 70 hingga 80 miligram kepada arsenik boleh membawa maut tetapi kajian mendapati ada mangsa dapat dipulihkan walaupun terdedah kepada dos yang lebih tinggi.

Kesan akibat keracunan seperti sakit perut dapat dilihat seawal 30 minit hingga dua jam selepas keracunan. Bagi yang mengalami keracunan teruk pula boleh menemui ajal antara 24 jam hingga empat hari kerana kegagalan jantung.

Namun, menurut laman web itu, seseorang yang kerap terdedah kepada arsenik mempunyai daya tahan terhadap bahan itu.

Tanda utama yang boleh dilihat terhadap mangsa keracunan arsenik yang serius ialah hiperkeratosis (penebalan lapisan kulit luar bersisik) dan melanosis (tisu badan kelihatan hitam yang ketara) pada tapak tangan dan kaki.