Ramai yang hanyut akibat kemelut politik. Ada yang abaikan keluarga. dulu, paling kurang betapa penat sekalipun sempat juga menatap wajah anak yang nyenyak tidur. Perjuangan politik kini meminta kita menghadiri ceramah maki hamun, membaca laman web yang penuh dengan cerca dan minum teh dengan kawan-kawan serta bertekak semalaman.
Kalau ini berterusan punahlah cita-cita dan harapan. Perjuangan songsang menegakkan satu individu tidak mudah selesai. Bila keputusan pilihan raya keluar, mereka akan ke mahkamah kononnya menipu. Lihatlah dua pemimpin pembangkang yang memburukkan sistem demokrasi dan pilihan raya negara pada media asing di Bangkok.
Bila perjuangan yang macam ini berterusan, mangsanya ialah penyokong yang jadi pak turut. Lihatlah kalangan pemimpin Keadilan yang terpaksa menjual rumah dan balik kampung untuk meneruskan perjuangan.
KAYA RAYA
Tetapi ada kalangan pemimpin muda Keadilan yang cerdik yang sudah kaya raya. Perjuangan orang macam ini ternyata lebih selesa. mangsa lebih besar ialah anak-anak yang terbiar. Dan, isteri yang keseorangan menonton filem Tamil dan Hindu di Astro. Banyak keresahan menghantui orang Melayu ketandusan intelek (maknanya kurang cerdik). Lalu digunakan pelbagai helah. Yang menjadi mangsa ialah kita semua yang asyik bercakap dan bertengkar mengenai isu-isu berkaitan Anwar.
Tetapi orang yang paling saya kesiankan ialah Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail. Orangnya budiman tetapi terpaksa bercakap yag bukan-bukan. paling tragis ialah bagaimana strategi Keadilan membiarkan beliau terkapai-kapai untuk menjelaskan isu keracunan arsenik. Orang lain cuci tangan Kak Wan digunakan oleh pelbagai pihak termasuk Harakah untuk menjadi bahan kewartawanan fitnah-memfitnah.
Umum mengetahui Kak Wan baik orangnya. Anak-anak pun nampak bersopan santun. Mereka memerlukan belaian dan kasih sayang seorang ibu. Biarlah mereka membuat keputusan politik bila tiba masanya.
Sekarang Kak Wan perlu bersama mereka. Tian Chua, Sivarasa, dan pemimpin-pemimpin PAS sudah tentu tidak memperdulikan nasib anak-anak Kak Wan. Rakyat Malaysia sudah faham kemelut fikiran Kak Wan. Langkah terbaik ialah meninggalkan perjuangan politik sia-sia.
ABDUL RAHIM MAN
Gombak