KEJADIAN RUSUHAN PENYOKONG ANWAR AMAT MEMALUKAN

Saya antara rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa di negara yang tercinta ini. Pelbagai peristiwa yang benar-benar mengaibkan berlaku sejak akhir-akhir ini. Rentetan ini berlaku sejak Datuk Seri Anwar ditangkap, dituduh dan diadili atas kes-kes yang didakwa. Selepas itu saya melihat ada pihak pembangkang lain mengambil kesempatan kononnya untuk memperjuangkan 'keadilan'.

Rusuhan demi rusuhan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati pada tindakan yang diambil terhadap 'pemimpin' mereka yang mana tindakan ini menunjukkan betapa rendahnya akhlak dan moral mereka. Ketaksuban yang keterlaluan pada pemimpin membuat mereka lupa bahawa mereka berada di sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan tatasusila.

Adakah hanya Datuk Seri Anwar dikenali ramai, dan mungkin sedikit sebanyak menyumbangkan baktinya kepada negara boleh membuatkan dia terlepas daripada melakukan kesalahan? Namun, dia hanyalah manusia biasa. Sebagai mahluk yang diciptakan sebaik-baik kejadian (dikurniakan akal fikiran) sepatutnya hal-hal begini tidak akan terjadi kerana ia perlakuan yang mengaibkan.

Cukuplah dengan bala yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t terhadap kaum-kaum sebelum ini. Janganlah hanya pentingkan keduniaan yang sementara dan hanya melekakan. Sesungguhnya Allah Maha Adil terhadap sesiapa yang benar. Keadilan tidak perlu dicari kerana ia akan diketahui apabila tiba masanya. Dunia kini hampir ke penghujungnya. Semoga kita sempat memohon keampunan dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah.

HAMBA ALLAH
Kuala Lumpur