Kejahilan tidak halang Pas peralat ekonomi

SEJAK akhir-akhir ini, Pas amat hebat membangkitkan soal ekonomi - sesuatu yang jarang dilakukannya sebelum ini. A KADIR JASIN mengulas mengapa parti itu memperalatkan isu ekonomi. BOLEH dikatakan tidak ada pemimpin dan penceramah parti itu yang tidak bercakap mengenai ekonomi. Malahan isu ekonomi nampaknya sudah mengatasi negara Islam dan hukum hudud sebagai tema pilihan untuk mencemuh dan membelasah kerajaan. Ada beberapa kemungkinan kepada perkembangan ini.

Pertama, Pas mendapati isu ekonomi makin penting kepada khalayaknya. Kedua, Pas terpaksa mencari isu baru selepas mengambil keputusan membekukan isu negara Islam dan hukum hudud kerana mahu berpakat dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang menentang dua isu itu. Ketiga, ahli-ahli baru Pas daripada golongan korporat dan pihak bukan agama Islam yang bersekongkol dengannya mahu menampilkan kelainan mereka. Tidak mustahil golongan ini mahu mewujudkan agenda baru dalam parti itu. Keempat, kerana Pas tahu ia mudah mempengaruhi umum dengan menggunakan isu ekonomi sebab tidak banyak ahli dan penyokongnya faham isu itu secara mendalam.

Kepakaran Pas dalam hal ekonomi, apatah lagi perkembangan terbaru seperti serangan ke atas mata wang, langkah memulihkan ekonomi dan kegiatan pasaran modal, mencurigakan. Daripada kenyataan yang dibuat oleh pemimpin parti itu dan laporan lidah rasminya, jelas mereka jahil mengenai isu ekonomi. Sebaliknya yang sahih ialah mereka tidak teragak-agak memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan khalayak.

Pas tahu ia boleh menggunakan isu ekonomi sewenang-wenangnya walaupun fakta, unjuran dan kesimpulan yang dikemukakannya bolos kerana khalayak umumnya tidak arif mengenai ekonomi. Misalnya, Pas dan lidah rasminya mengatakan ekonomi Indonesia lebih kukuh daripada Malaysia. Pas mengatakan mereka membuat kesimpulan itu berasaskan media massa asing yang kononnya boleh diyakini.

Walaupun kita mengakui Indonesia mula mencatatkan pemulihan dan Malaysia belum, hakikat yang lebih penting ialah manakala ekonomi kita kuncup 7.5 peratus tahun lalu, ekonomi negara jiran itu kuncup 13.7 peratus. Dalam bahasa yang mudah, kalau pada tahun 1997 ekonomi kita bernilai RM100, tahun lalu ia menguncup kepada RM92.50 manakala ekonomi Indonesia menguncup daripada RM100 kepada RM86.30.

Mengikut keluaran terbaru majalah The Economist yang beribu pejabat di London, pengeluaran perindustrian Indonesia meningkat 1.3 peratus pada suku pertama tahun ini manakala pengeluaran perindustrian Malaysia naik 8.3 peratus (Jun lalu). Benar, ekonomi Indonesia pulih 1.8 peratus pada suku pertama, tetapi kadar inflasinya meningkat 13.5 peratus berbanding 2.5 peratus yang dialami Malaysia.

Walaupun Indonesia jauh lebih besar daripada Malaysia dari segi bilangan penduduk dan keluasan wilayah, ekonominya tidak lebih besar daripada ekonomi Malaysia. Tahun lalu ekonominya bernilai AS$42.1 bilion berbanding AS$34.6 bilion bagi Malaysia. Perangkaan The Economist menunjukkan Malaysia memiliki simpanan atau rizab luar yang lebih besar daripada Indonesia _ AS$30.6 bilion berbanding AS$26.3 bilion.

Tuduhan Pas terhadap kerajaan mengenai ekonomi jelas membayangkan kejahilannya. Namun ini tidak menghalang Pas memperalatkan isu itu untuk kepentingan politik jangka pendek. Tindak-tanduk Pas dalam isu ekonomi tidak berbeza daripada perbuatannya memperalatkan isu dan hukum agama untuk memancing undi. Pas tahu tidak semua orang Islam mempunyai pengetahuan yang luas dan dalam mengenai agama. Jadi pengetahuan yang sedikit mengenai agama boleh digunakan seluas-luasnya untuk mempengaruhi mereka. Pemimpin Pas dan lidah rasminya sudah berbulan-bulan mendakwa ekonomi negara bertambah tenat manakala ekonomi Indonesia dan Negara Thai sudah mengalami pemulihan.

Mereka mendakwa hujah mereka berasaskan laporan media massa dan pakar ekonomi asing. Demi kepentingan politik, Pas menjadikan media massa asing dan ahli ekonomi asing sebagai kitab dan tok guru mereka. Apakah agaknya reaksi mereka sekarang kerana media massa asing semakin banyak membuat laporan positif mengenai ekonomi Malaysia? The Economist dalam keluaran yang sama berkata, pelabur yang menanam modal dalam pasaran saham Malaysia dijangka tidak banyak meninggalkan negara ini apabila sekatan modal ditarik balik 1 September ini.

Malah, ia menyebut ramalan banyak pihak yang mengatakan ekonomi Malaysia berkembang empat hingga lima peratus tahun ini walaupun kerajaan meramalkan pertumbuhan satu peratus saja. Pas menggunakan fakta dan hujah pihak luar yang bencikan Malaysia dan pihak dalam yang tidak sukakan kerajaan kerana ia sendiri tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai ekonomi. Ia hanya pak turut. Yang Pas tidak sedar ialah pihak luar ini bencikan Malaysia dan mahu negara ini kucar-kacir kerana mereka tidak senang dengan kemajuan ekonomi Malaysia. Walaupun adakalanya mereka kagum dan takjub dengan kemajuan ekonomi serta kestabilan Malaysia, mereka sebenarnya payah menerima hakikat ini kerana ia bertentangan dengan aliran pemikiran atau doktrin mereka.

Bagi mereka, negara Islam mustahil boleh diperintah secara demokratik, stabil dan maju, apatah lagi tanpa bergantung kepada Barat. Mereka juga sukar menerima kesederhanaan dasar dan tindakan Malaysia kerana bagi mereka orang Islam adalah pelampau, fanatik dan pengganas. Mereka lebih suka kalau negara ini diperintah oleh parti fanatik supaya mudahlah mereka menuduh negara kita sebagai negara pelampau. Dengan itu mudahlah mereka menanamkan jarum beracun mereka untuk menggagalkan kemajuan sebuah lagi negara Islam. Malangnya, oleh kerana Pas tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai politik antarabangsa, khasnya konspirasi terhadap Islam, maka ia dengan mudah mempercayai apa yang dikatakan oleh Barat dan jentera propagandanya.

Sebenarnya jarum beracun Barat ini sangat halus dan terasa manis. Hanya orang yang mendalami doktrin mereka secara mendalam akan memahaminya. Malangnya, kerana jarum itu terlalu halus dan racunnya pula manis bagai madu, banyak pihak yang cuba mendampingi Barat dengan tujuan belajar daripada mereka, tetapi akhirnya terperangkap. Mereka percaya bulat-bulat tunjuk ajar dan kata-kata manis Barat. Yang mereka tidak sedar, tunjuk ajar dan puji-pujian adalah taktik Barat yang paling berkesan untuk memerangkap dan memperalatkan seseorang.

Tidak memeranjatkan kalau Pas sendiri sudah mula diperalatkan oleh anasir ini melalui sekutu dan konco mereka. Misalnya, bukan perkara asing lagi melihat wakil kedutaan dan wartawan Barat serta pemimpin badan bukan kerajaan yang pro-Barat menghadiri muktamar dan ceramah Pas. Sebaliknya Barat tahu tidak mudah baginya memperalat atau mempermainkan Barisan Nasional dan Kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, kerana mereka faham taktik dan tipu-helah Barat.

Namun, semua ini mustahil menghalang Pas dan parti pembangkang lain daripada mendendangkan lagu dan seloka pihak luar asalkan harapan mereka untuk menjatuhkan BN dalam pilihan raya akan datang adalah cerah. Seperti juga halnya dengan isu ekonomi, Pas tahu ahli dan penyokongnya tidak mempunyai kefahaman yang dalam mengenai perhubungan luar, khasnya doktrin dan taktik Barat mengenai Islam. Pengakuan bagaimanapun harus dibuat bahawa DAP - sekutu Pas dalam pakatan pembangkang - mempunyai pendirian yang lebih sederhana dan rasional mengenai ekonomi. Walaupun ia tidak bersetuju dengan kerajaan mengenai banyak dasar dan pendekatan ekonomi, ia tidak sewenang-wenang menggembar-gemburkan isu ekonomi kerana ia tahu masyarakat Cina lebih arif mengenai ekonomi.

DAP nampaknya lebih mirip untuk menyelamatkan ekonomi negara daripada menjadikan kemerosotan ekonomi modal politik.
DAP sedar jika kegawatan ekonomi berterusan, masyarakat Cina yang menjadi teras sokongannya akan turut menderita. Tidak seperti Pas yang menganggap kemiskinan di kalangan orang Melayu sebagai takdir, DAP tidak mahu masyarakat Cina menderita akibat kegawatan ekonomi yang berpanjangan. Sementara itu, Parti Keadilan Nasional yang banyak ahli daripada golongan korporat dalam keadaan serba salah. Jika ekonomi tidak pulih, banyak pemimpin mereka akan menderita dan mungkin juga muflis. Di pihak yang lain pula, mereka kehilangan modal jika ekonomi pulih dengan segera kerana ini akan membuktikan dasar pemulihan Dr Mahathir betul dan dasar bekas timbalannya silap.