Laporan perubatan Anwar

        Datuk Seri Anwar Ibrahim (pesakit), 52 tahun, telah dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia
        (HUKM) pada tengah hari Jumaat 10 September 1999 dengan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
        supaya beliau menjalani pemeriksaan perubatan terperinci di HUKM mengenai dakwaan keracunan
        arsenik.

        Beliau dibawa ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan HUKM untuk diperiksa oleh doktor. Beliau
        mengadu telah mengalami keguguran rambut, penurunan berat badan, sakit-sakit kepala, kebas-kebas
        jari, sakit-sakit perut serta rasa kekeringan.

        Keluhan-keluhan ini amat ketara dalam beberapa bulan ini. Lebih kurang tiga - empat bulan lepas, beliau
        mengalami demam, sakit tekak dan batuk-batuk (tanpa kahak) dan berasa letih serta kehilangan tenaga
        semenjak itu.

        Beliau memaklumkan air kencing beliau yang diambil pada 18 Ogos 1999 telah dilaporkan oleh Gribbles
        Pathology, Melbourne, Australia, mengandungi paras arsenik yang tinggi (230ug/g kreatinin). HUKM
        telah menubuhkan satu pasukan perubatan bagi menjalankan pemeriksaan terperinci dan rawatan teliti dan
        menyeluruh pada pesakit.

        Sejarah kesihatan pesakit termasuklah fatty liver, gastritis, kemalangan terjatuh dari kuda beberapa tahun
        lalu serta mengalami trauma pada bahagian kepala dan leher pada September 1998. Beliau telah mula
        ditahan pada September 1998. Antara ubat-ubat yang beliau ambil ialah Omeprazole, Prepulsid dan
        Roaccutane.

        Pemeriksaan fizikal menunjukkan seorang pesakit yang kurus, cengkong dan telah mengalami penurunan
        berat badan. Rambut dari kepala beliau mudah gugur apabila ditarik. Bibir beliau berkuping-kuping.
        Beliau tidak pucat atau jaundis. Tekanan darah beliau ialah 150/100 mmHg (baring) dan 128/95 mmHg
        (berdiri) dan pesakit berasa pening sedikit apabila berdiri. Berat badan ialah 65.5 kg. Pemeriksaan
        jantung adalah normal. Pemeriksaan paru-paru menunjukkan terdapat fine crackles di bahagian bawah
        paru-paru kiri. Pemeriksaan abdomen adalah normal. Tiada kelenjar limfa dikesan. Ada banyak
        tompok-tompok hitam di kulit badan beliau, tetapi tiada tanda-tanda seperti hiperkeratosis di tapak kaki
        dan tapak tangan dan pigmentasi lain yang merupakan tanda-tanda patognomonik keracunan kronik
        arsenik.

        Berdasarkan dakwaan keracunan, keadaan kesihatan pesakit serta perintah Mahkamah Tinggi Kuala
        Lumpur itu, pesakit telah dimasukkan ke HUKM untuk pemeriksaan serta rawatan teliti dan terperinci.
        Dalam pemerhatian hospital, pesakit mengalami:

        a. Penurunan berat badan yang mendadak

        b. Keguguran rambut yang banyak

        c. Kebas-kebas jari, sakit-sakit kepala dan perut

        d. Hipotensi ortositatik

        e. Abnormaliti paru-paru

        Pesakit telah dilihat oleh beberapa orang pakar perubatan dan menjalani beberapa ujian bagi mengesan
        punca pada gejala-gejala di atas iaitu sama ada beliau:

        a) Menghidapi apa-apa penyakit yang boleh menyebabkan gejala-gejala ini

        b)Telah keracunan (arsenik atau lain-lain)

        Kesimpulan daripada pemeriksaan pakar dan ujian-ujian adalah seperti berikut:

        A. Kemungkinan menghidapi penyakit-penyakit:

        a. Ujian-ujian makmal menunjukkan beliau tidak mengidap diabetes, tirotoksikosis, kegagalan ginjal atau
        hepar, anemia kronik, tuberculosis atau penyakit barah.

        b. Beliau tidak mengalami penyakit HIV atau AIDS

        c. Ujian fungsi hepar menunjukkan sedikit keabnormalan.

        d. Ujian-ujian darah berikut adalah normal: FBC, ESR, CRP, zat besi dan feritin, folate dan B12, RBC
        transketolase, cortisol, renin, aldosterone, ANF, ds-DNA, CEA, AFP, PSA.

        e. Pemeriksaan sistem kardiobaskular:

        Oleh kerana adanya hipotensi ortostatik (penurunan tekanan darah sistolik hingga 20 mmHg), beberapa
        ujian telah dijalankan. EKG menunjukkan bradikardia sinus. Echolkardiografi adalah normal. ABPM dan
        Holter adalah normal. Sungguhpun begitu hipotensi ortostatik terus kekal semasa pemerhatian di wad; ini
        boleh disebabkan disfungsi autonomik yang puncanya belum dapat dikesan. Tekanan darah beliau juga
        didapati labil.

        f. Pemeriksaan paru-paru:

        i. Radiograf dada menunjukkan keabnormalan di bahagian bawah paru-paru kiri.

        ii. Skan tomograf berkomputer (CT Scan) dada pada 12hb September 1999 menunjukkan keabnormalan
        pada tempat sub-pleura bahagian bawah paru-paru kiri dan apabila skan ini diulangi pada 18hb
        September 1999 keabnormalan ini telah tiada. Bagaimanapun ada beberapa nodul pada paru-paru.

        iii. Ujian fungsi paru-paru menunjukkan 'reversible small airways obstruction'.

        g. Pemeriksaan sistem neurologi:

        Ujian 'nerve conduction' adalah normal. MRI otak menunjukkan 'subcortical hyperintense changes'.

        Semasa dalam wad, pesakit telah mengalami kesakitan kepala yang melarat pada Khamis 23 September
        1999. Pemeriksaan dijalankan oleh Pakar Perunding Neurologi, Profesor Dr Raymond Ali. Beliau juga
        telah dirujuk kepada Pakar Perunding THT, Profesor Dr Lokman Saim dan Pakar Perunding Oftalmologi,
        Prof Madya Dr Muhaya.

        h. Pemeriksaan sistem usus:

        Ujian esofago-gastro-duodenoskopi menunjukkan gastritis dan 'reflux oesophagitis'.

        i. Pemeriksaan mental:

        Pakar Perunding Psikiatri, Prof Madya Dr Hatta Shaharom, juga melihat pesakit.

        B. Kajian mengenai aduan keracunan arsenik

        i. Spesimen-spesimen air kencing, kuku dan rambut telah diambil dan diselaraskan oleh Pakar Perunding
        Perubatan Forensik, Prof Madya Dr Shahrom Wahid, mengikut kaedah-kaedah tertentu yang biasa
        diamalkan oleh pakar perubatan forensik dan dihantar ke Makmal-Makmal berikut. Keputusan
        ujian-ujian ini ialah: (Sila rujuk grafik)

        Interpretasi keputusan ujian-ujian makmal ini serta pandangan/pendapat klinikal di perolehi dari Profesor
        Dr Moyer dari Mayo Clinic, Amerika Syarikat (Lampiran 19) dan dari Dennis Herring dari Perth
        Chemistry Centre.

        Kesimpulan

        Pesakit yang ditahan mulai September 1998 telah mengalami beberapa masalah kesihatan, terutama sekali
        penurunan berat badan yang mendadak, keguguran rambut yang banyak, kebas-kebas jari, kekeringan
        badan dan ketidakselesaan badan. Air kencing yang didakwa diambil pada 18 Ogos 1999 telah
        dilaporkan oleh Gribbles Patholgy, Melbourne, Australia mengandungi paras arsenik yang tinggi. Keadaan
        klinikal boleh disebabkan keracunan arsenik atau ....... penyakit lain.

        Satu pemeriksaan perubatan terperinci telah dijalankan oleh HUKM. Beliau didapati tidak mengalami
        apa-apa penyakit seperti HIV/AIDS, kegagalan ginjal, diabetes, tirotoksikosis, anemia kronik,
        tuberkulosis atau penyakit barah yang boleh menjadi punca kepada gejala-gejala yang dialami. Beliau juga
        tiada tanda-tanda klinikal keracunan arsenik akut atau kronik. Spesimen-spesimen air kencing, rambut
        dan kuku menunjukkan paras arsenik yang tidak melebihi paras/julat yang dibenarkan di makmal-makmal
        berkenaan.

        Oleh kerana masalah kesihatan yang dialami pesakit tidak dapat disahkan penyebabnya dari beberapa
        jenis penyakit (setelah pemeriksaan dan ujian terperinci telah dijalankan) dan dari paras arsenik pada
        spesimen-spesimen yang telah diuji, adalah disarankan HUKM terus mengawasi status kesihatan pesakit
        ini. Nodul paru-paru, sakit kepala serta hipotensi ortostatik yang dialami pesakit perlu diawasi rapi dan
        pemakanan seimbang hendaklah dilaksanakan.

        Profesor Dr Khalid Yusoff

        PSK, MBBS (Melb.), FAMM, FRCP Edin.,FRCP Glasg., FRCP Lond., FACC

        Profesor Perubatan dan Pakar Perunding Kardiologi

        Ketua Pasukan Perubatan Rawatan Dato' Seri Anwar

        Profesor Datuk Dr Khalid Abdul Kadir

        DPMJ, MBBS (Mon.), BMed Sc, FRACP, PhD FRCPA, FRCP Edin, FRCP Glasg.

        Profesor Perubatan dan Pakar Perunding Endokrinologi

        Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia

        Prof Madya Dr Shahrom Wahid

        MD (UKM), DCP (Lond.), MRCPath (Forensic - UK)

        Pakar Perunding Perubatan Forensik

        Dr Abdul Latiff Mohamed

        MD (UKM), MRCP (UK), PhD (Leeds)

        Pakar Kardiologi

        Ahli-ahli lain Pasukan Perubatan Rawatan ini terdiri dari:

        1. Profesor Dr Raymond Ali, Pakar Perunding Neurologi

        2. Profesor Dr David Riches, Pakar Perunding Dermatologi

        3. Profesor Dr Lokman Saim, Pakar Perunding Tekak-Hidung-Telinga

        4. Prof Madya Dr Aminuddin Ahmad, Pakar Perunding Gastroenterologi

        5. Prof Madya Dr Hatta Shahrom, Pakar Perunding Psikiatri Forensik

        6. Prof Madya Dr Muhaya Hj Muhamad, Pakar Perunding Oftalmologi

        7. Dr Roslan Haron, Pakar Respiratori

        8. Dr Azhar Abdul Aziz, Pakar Kemalangan dan Kecemasan