Layanan istimewa yang diberi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di
penjara selama ini, akan dikaji semula berikutan semakin ramai rakyat mempertikaikannya,
kata Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya menerima banyak maklum balas
daripada rakyat biasa
selepas keistimewaan yang dinikmati Anwar dilaporkan media.
"Memang pada waktu awal (disebabkan) kita mengenang jasa dia dulu, kita
beri layanan lebih sikit. Tetapi
sekarang nampaknya tekanan sudah datang, mungkin antara mereka itu ada
juga daripada kalangan
keluarga mereka yang menjadi banduan.
"Walaupun mereka tidak bercakap, tentu sekali berasa marah dan mempersoalkan
mengapa keluarga
mereka tidak mendapat layanan (istimewa) sedangkan orang lain diberi layanan
lebih... perkara itu
sekarang sudah menjadi satu isu," katanya selepas merasmikan Francais Asia
1999 di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan beberapa pihak
termasuk Pergerakan
Pemuda Umno supaya Anwar yang kini ditahan di Penjara Sungai Buluh, tidak
diberi layanan istimewa
kerana ia mencetus perasaan tidak puas hati di kalangan banduan lain.
Abdullah berkata, kelonggaran yang diberi kepada Anwar atas budi bicara
Kementerian Dalam Negeri
antara lain ialah bekas timbalan perdana menteri itu tidak digari apabila
dibawa ke mahkamah dan
dibenarkan mengambil makanan yang dibawa keluarganya ketika di mahkamah.
"Orang lain digari, malah Datuk Harun (Idris) dulu pun digari... kata orang
pada masa itu lah. Tetapi
Anwar tidak digari.
"Malah, kami juga tidak menyekat beliau menghadiri majlis hari jadinya
yang dibuat di luar mahkamah
baru-baru ini," katanya.
Justeru, Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau akan meminta
penjelasan daripada
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Omar Mohamed Dan, untuk memastikan apakah
perbezaan layanan
yang diterima Anwar, berbanding banduan lain.
Menjawab soalan, beliau mengaku kerajaan tidak boleh mendiskriminasi antara
satu banduan dengan
banduan lain, malah makanan yang diberi mesti sama.
"Ketika ini terlalu banyak maklum balas diterima daripada orang ramai yang
mendakwa kita tidak
sewajarnya bersikap begitu (berat sebelah)," katanya.
Abdullah berkata, pembangkang perlu menyalahkan diri mereka sekirannya
layanan lebih baik yang diberi
kerajaan kepada Anwar, ditarik kembali kerana mereka tidak henti-henti
membuat pembohongan
berhubung isu berkaitan bekas timbalan perdana menteri itu.
"Orang sebelah Anwar berkata kita bagi makanan busuk, tidak elok dan sebaliknya...
takkanlah kita
sekejam itu.
"Malah baru-baru ini, bekas setiausaha politiknya berkata sejak Anwar keluar
dari hospital (selepas
dirawat untuk keracunan arsenik), sebiji nasi pun dia tidak jamah. Itu
pun satu pembohongan juga... saya
tahu dia makan.
"Pembangkang membohongi dan menyebarkan maklumat (seperti itu) hanya kerana
hendak melahirkan
simpati dan marah rakyat kepada kerajaan," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, kini semakin ramai rakyat sudah memahami taktik
yang dilakukan
pembangkang dan tidak percaya dengan pembohongan yang dilempar mereka terhadap
kerajaan setiap
hari.
"Dan hari ini kita sudah menerima desakan supaya mengkaji balik (layanan
istimewa yang diberi kepad
Anwar), jangan beri lebih daripada patut.
"Inilah apa yang kaki bohong dapat, akibat daripada apa yang mereka lakukan.
Kalau kita bagi mereka
tidak hargai, kalau kita tarik balik (layanan baik)..." katanya.
Mengenai laporan akhbar bahawa polis akan membuat penyiasatan terhadap
Naib Presiden Parti
Keadilan Nasional (Keadilan), Marina Yusof, berhubung tuduhan pasukan keselamatan
turut terbabit
mencetuskan peristiwa berdarah 13 Mei, 1969, Abdullah berkata:
"Saya tidak tanya polis (perkembangan lanjut mengenai kes itu)... saya
sudah suruh polis buat kerja,"
katanya.