Kenyataan Marina Yusuf bukti Keadilan terdesak

        Pergerakan Pemuda Umno hari ini membidas kenyataan Naib Presiden
        Keadilan, Marina Yusuf, yang menuduh pemimpin Umno merancang rusuhan kaum pada 13 Mei 1969
        dan bertanggungjawab membunuh orang Cina ketika rusuhan itu.

        Pemangku Ketuanya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, yang menganggap kenyataan berkenaan
        sebagai tidak beradab berkata, Keadilan kini sudah terdesak dan cuba meraih simpati rakyat tanpa
        menghiraukan soal perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini.

        "Marina ternyata tidak memahami sejarah atau mungkin sengaja menafikan fakta dan hanya
        mengutamakan isu perkauman saja, selain cuba mencetuskan semula ketegangan kaum di negara ini,"
        katanya dalam satu kenyataan di sini.

        Beliau mengulas dakwaan Marina yang membuat tuduhan bahawa Umno mencetuskan rusuhan itu pada
        Majlis Menyambut Kepulangan Lim Guan Eng di Bukit Mertajam, 29 September lalu.

        Dalam ucapan di Dewan Moral Uplifting Society yang dirakam Pemuda Umno, Marina dilaporkan
        berkata:

        "Saya nak cakap pada orang Melayu, Cina, India, punca 13 Mei dimulakan oleh Umno. Masa itu
        dirancang oleh pemimpin-pemimpin Umno dan Selangor diketuai oleh Datuk Harun (Idris).

        "Jadi orang Cina jangan ingat dia sokong Barisan (Nasional) itu bagus kerana dulu orang Umno dalam
        barisan yang membunuh orang Cina."

        Hishammuddin berkata, pemimpin Umnolah yang sebenarnya berusaha menghentikan peristiwa ngeri
        dengan menggerakkan semua jentera Perikatan (kini BN) supaya meredakan peristiwa berdarah itu.

        "Ekoran peristiwa itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan untuk memupuk semula keyakinan rakyat
        pelbagai kaum, malah merapatkan jurang perbezaan ekonomi di antara orang Melayu, Cina dan India.

        "Tanpa DEB, kedudukan orang Melayu di negara ini sudah pasti senasib dengan orang Melayu di negara
        jiran, yang ternyata kehilangan kuasa," katanya.

        Sehubungan itu, katanya, beliau yakin rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan tidak mahu
        peristiwa berdarah berkenaan berulang lagi ketika negara sedang menuju alaf baru untuk merealisasikan
        Wawasan 2020.

        Hishammuddin berkata, sikap Marina terbukti menjadi satu dasar reformasi yang didukung Keadilan
        kerana sanggup membawa apa saja isu ke jalanan tanpa menilai kesahihannya terlebih dahulu.

        Dengan memberi contoh isu keracunan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mencetuskan rusuhan bulan
        lalu, beliau mencabar Presiden Keadilan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membuktikan apakah benar
        mereka memperjuangkan ketuanan Melayu.

        "Mereka mendakwa memperjuangkan ketuanan Melayu tetapi sanggup bersekongkol dengan DAP untuk
        mewujudkan Malaysian Malaysia dan sekali gus menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu,"
        katanya.