Nikotin lebih mudarat daripada arsenik: PRN

Orang ramai, terutama perokok, seharusnya lebih bimbang dengan kesan nikotin dalam rokok kerana bahan itu lebih memudaratkan kesihatan berbanding arsenik.

Pusat Racun Negara (PRN) dalam laman webnya prn.usm.my, memetik Pengarah Unit Kawalan Racun Pusat Perubatan Universiti Duke, Jay M Arena, sebagai berkata arsenik juga terdapat pada rokok dalam bentuk gas arsen, tetapi kesannya tidak seburuk nikotin yang meracuni saraf.

Malah, kata Arena, nikotin dalam rokok adalah tiga kali lebih toksik daripada arsenik.

Beliau tidak menjelaskan lebih lanjut, tetapi perbandingan itu dipercayai dibuat berdasarkan pendedahan seseorang terhadap arsenik secara semula jadi, seperti melalui pemakanan.

PRN pula dikatakan membuat penerangan mengenai arsenik dalam laman webnya berikutan banyak pertanyaan diterima daripada orang ramai mengenai perkara itu sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mengalami keracunan arsenik.