Parti lawan berkempen di mahkamah

        Pembangkang kini menggunakan mahkamah untuk berkempen dan akan terus cuba
        melengahkan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

        Perdana Menteri berkata, Anwar juga akan terus menggunakan pelbagai alasan seperti ujian air kencing
        dan keracunan arsenik bagi melengahkan perbicaraannya.

        Sehubungan itu, katanya, kerajaan menimbang untuk mengambil tindakan terhadap peguam bela Anwar,
        Karpal Singh, yang membayangkan seseorang dalam kerajaan cuba meracun bekas timbalan perdana
        menteri itu.

        "Akan ada lebih banyak perlengahan... lebih banyak drama, ujian air kencing dan arsenik. Adalah
        keterlaluan untuk menuduh kerajaan meracun dia.

        "Tuduhan itu berunsur fitnah. Kita akan kaji sama ada, ada asas atau tidak kerana Karpal bukan saja
        peguam bela tertuduh, tetapi juga ahli politik pembangkang," katanya kepada pemberita ketika mengulas
        laporan perubatan yang mendapati Anwar tidak mengalami keracunan arsenik akut atau kronik.

        Laporan itu juga menyatakan Anwar tidak mengalami penyakit seperti HIV, Aids, kegagalan kinjal,
        kencin manis, tirotoksikosis, anemia kronik, TB atau penyakit barah yang menjadi punca kepada gejala
        dialami.

        Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar sekembalinya dari Zimbabwe selepas menghadiri
        Dialog Antarabangsa Selatan Afrika 1999 (Said '99), di Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz
        Shah, di sini hari ini.

        Turut menyambut kepulangan Perdana Menteri ialah Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan
        Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S Subramaniam dan Setiausaha
        Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Rahmat.

        Dr Mahathir berkata, adalah tidak berasas menuduh kerajaan cuba meracun Anwar yang kini menjalani
        hukuman penjara enam tahun kerana rasuah.

        "Keputusan sudah diperolehi. Apa yang pasti kerajaan tidak pernah terbabit meracun orang," katanya
        sambil menambah pembicaraan kes liwat itu bukan lagi perbicaraan, tetapi kempen menggunakan
        mahkamah.

        Perdana Menteri berkata, Karpal sebagai ahli politik yang cuba mendapatkan faedah sebanyak mungkin
        daripada perbicaraan itu.

        Mengenai kenyataan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa Anwar sudah mengisytihar hartanya
        ketika menjadi Menteri Kewangan, Dr Mahathir berkata beliau tidak menerimanya.

        "Tak ada, saya tak dapat. Kena balik periksa kalau dapat. Setakat yang saya tahu, saya tak dapat.

        "Kita kena buat pengisytiharan dua tahun sekali, tetapi ada juga menteri yang lambat berbuat demikian
        tetapi setakat yang saya tahu, saya tak tengok perisytiharan harta oleh Anwar," katanya.

        Dr Mahathir berkata, Anwar barangkali ada salinan perisytiharan dan dia boleh memberinya untuk
        membuat perbandingan dengan apa yang ada sekarang.

        Sementara itu, Karpal memberitahu pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau bersedia
        diambil tindakan mahkamah berhubung kenyataannya di mahkamah, yang Anwar mengalami keracunan
        arsenik.

        Katanya, Dr Mahathir tidak boleh mengugut peguam bela yang menjalankan tugas untuk anak guamnya
        kerana tindakan itu boleh dianggap menghina mahkamah.

        "Apa yang dikatakan Perdana Menteri itu adalah satu kesalahan menghina mahkamah. Kami (peguam
        bela) akan mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Dr Mahathir tidak lama lagi.

        "Kami juga akan memanggil beliau sebagai saksi pembela jika Anwar dipanggil untuk membela diri
        terhadap tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar," katanya.

        Karpal juga berkata, Dr Mahathir sepatutnya tahu setiap kenyataan yang dibuat dalam mahkamah dan
        Parlimen tidak boleh dicabar kerana kekebalannya.