PELAJAR
IPT YANG TAKSUB DAN BUTA MATA
Beberapa
tahun lalu (saya tidak ingat bila), negara kita pernah digemparkan dengan
kenyataan yang dibuat oleh sekumpulan penganalisis dari Amerika Syarikat
yang mengatakan bahawa para belia di negara kita mempunyai tahap kematangan
yang lebih rendah dari belia seangkatannya di negara barat. Pada ketika
itu saya masih belajar di Sekolah Berasrama Penuh. Saya masih ingat bahawa
pada ketika itu boleh dikatakan kesemua persatuan belia di negara ini dan
suku sakatnya di Institut Pengajian Tempatan menyuarakan bantahan keras
dan rasa tidak puas hati tehadap kenyataan tersebut. Saya sendiri merasa
sangat marah dan sering membincangkan perkara tersebut dengan kawan-kawan
saya di sekolah.
Kemudian
saya mendapat keputusan yang sangat baik dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia dan diterima untuk mengikuti kursus matrikulasi di salah sebuah
IPT negara ini. Bermula dari situlah saya telah dapat melihat sendiri perangai
majoriti belia kita terutama di kalangan pelajar IPT yang membuatkan saya
terfikir kembali dengan laporan tersebut. Bermula dengan sessi orientasi
dan `ragging haram', isu sex (tidak banyak) di kampus, isu akademik dan
isu politik. Kesimpulannya... adakalanya mahasiswa kita memang `kurang
matang'... terutamanya bila menyentuh soal akademik dan politik.
Ini
dapat dibuktikan bila menyentuh 3 perkara iaitu:
a)
Jika ada peluang, ramai pelajar IPT suka menunjuk-nunjuk kuasa semasa sessi
orientasi terutamanya jika me`ragging'. (Sekarang ragging tidak dibenarkan
lagi)
b)
Pelajar IPT kita kurang pengetahuan dan kurang suka membaca terutamanya
untuk mendapatkan pengetahuan am. Malah kemudahan internet sekarang pun
tidak banyak digunakan untuk mendapatkan pengetahuan. Internet lebih banyak
digunakan bagi menghantar e-mel kepada kawan, IRC chatting, download perisian,
dan melihat homepage gambar artis, motorsikal, kereta dan entah apa-apa.
c)
Dalam hal politik, kemenangan sesuatu parti lebih bergantung kepada penyokong-penyokong
fanatik. Ia juga selalu bergantung kepadan `warisan' fakulti. Jika sesuatu
fakulti itu adalah kubu kuat sesuatu parti maka letaklah siapa pun menjadi
calon di situ, jika ia mewakili parti yang disokong oleh fakulti itu maka
menanglah calon tersebut. Malah di kalangan mahasiswa selalu terdengar
lawak jenaka berbunyi "kalau diorang letak kambing jadi calon kat situ,
sure menang punyalah!"
Kini
negara digegarkan lagi dengan isu terbaru yang melibatkan pelajar IPT di
seluruh Malaysia iaitu isu bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Nampaknya rakan-rakan saya dari IPT tempatan belum lagi belajar dari kesilapan
yang dilakukan oleh rakan-rakan kita di Indonesia.
Pelajar-pelajar
IPT adalah terdiri daripada golongan berdarah panas iaitu dari kalangan
umur 20-an. Biasalah pada peringkat umur seperti ini kita sering berada
pada tahap yang sangat agresif dan dahaga dengan `pengiktirafan' orang
lain terhadap kita. Golongan berdarah panas ini sering cuba menonjolkan
diri supaya dipandang tinggi oleh orang lain. Saya rasa itulah sebabnya
kita sering cuba memiliki sesuatu yang tidak dimiliki oleh orang lain.
Bermula dengan keinginan membeli motor sebesar mungkin, membawa kereta
ke kuliah, keinginan mencari pasangan secantik mungkin, dan terlibat dengan
aktiviti-aktiviti di luar pembelajaran. Saya sendiri tidak dapat adakalanya
tidak dapat mengelak dari kesan `jam biologi' (biological clock) ini.
Namun
selalunya, para pelajar IPT selalunya suka `menghalakan' darah panas mereka
kepada aktiviti-aktiviti radikal dan di sinilah isu Anwar Ibrahim mengambil
tempat. Agaknya inilah kesan akibat terlalu sangat menyanjung tinggi `Zaman
Anwar' semasa beliau aktif dalam pergerakan pelajar di UM dahulu. Semua
pelajar merasakan `gerakan radikal pelajar' adalah satu warisan yang wajib
diteruskan walaupun warisan itu jika salah digunakan, akan lebih banyak
membawa keburukan kepada rakyat dan negara dari kebaikan.
Para
pelajar harus ingat bahawa tujuan sebenar pergerakan pelajar adalah untuk
membela rakyat keseluruhannya dan bukan untuk membela individu. Kita juga
sebagai lambang akademik negara harus tahu bahawa kepentingan negara harus
diutamakan lebih dari kepentingan sekelompok orang. Tujuan utama perjuangan
pelajar ialah untuk memastikan kepentingan seluruh rakyat Malaysia terpelihara
dan bukannya kepentingan Dato Anwar Ibrahim sahaja.
Sekarang,
mari kita lihat 2 isu yang kini dihadapi oleh negara kita. Isu pertama
adalah isu kegawatan ekonomi manakala isu kedua pula ialah isu Anwar Ibrahim.
Mana satu isu yang jika tidak diberi perhatian, akan menjejaskan keseluruhan
hidup rakyat Malaysia? Isu Anwar Ibrahimkah?! Atau isu ekonomi?
Saya
bersyukur kerana saya dibesarkan dikalangan ahli keluarga yang suka membaca.
Saya lebih bersyukur kerana dengan pengenalan teknologi internet, sya dapat
membaca bukan sahaja sumber berita dari dalam negara, malah luar negara
seperti CNN, Washington Post, AsiaWeek, MSNBC dan lain-lain. Beranilah
saya katakan bahawa saya telah membaca semua berita berkaitan kegawatan
ekonomi ini, samada yang pro kerajaan bagi suratkhabar tempatan dan yang
mengkritik dari pakar ekonomi luar negara. Bak kata orang, jangan sekali-kali
membuat penilaian berdasarkan cerita satu pihak sahaja.
Di
sini jujurlah jika saya katakan bahawa negara kita sungguh bernasib baik
kerana mempunyai Kerajaan yang paling kukuh bagi menangani kegawatan ini.
Walaubagimanapun ada di antara pelajar IPT yang membenci Kerajaan, namun
saya rasa semua setuju bahawa Kerajaan kita belum gagal lagi dalam menangani
krisis ekonomi ini. Malah seluruh dunia (termasuk media asing yang memburukkan
negara kita) mengakui bahawa Kerajaan kita adalah kerajaan yang paling
berpengalaman dalam hal ekonomi. Kerajaan kita mempunyai banyak sebab untuk
berjaya menangani kegawatan ini, sokongan padu sektor swasta dan industri,
sokongan anggota keselamatan negara, sokongan part-parti komponen berbilang
kaum, sokongan media dan reputasi kukuh Perdana Menteri di kalangan ahli
perniagaan antarabangsa. Dikala ketua negara lain yang terjejas oleh kegawatan
ekonomi masih terkapai-kapai untuk meyakinkan ahli perniagaan domestik
terhadap pelan pemulihan negara, ahli korporat di negara ini awal-awal
lagi telah menaruh 100% kepercayaan terhadap Perdana Menteri dan MTEN serta
sanggup menurut cadangan langkah pemulihan Kerajaan tanpa banyak soal.
Upacara pembukaan sukan Komanwel sahaja sudah cukup untuk melenyapkan anggapan
seluruh dunia bahawa negara kita kononnya berada dalam keadaan kacau bilau
dan berbahaya kepada orang asing. Jika kita ingin memastikan negara kita
pulih 100% dari kegawatan ekonomi, kita peru mengelakkan sebarang usaha
untuk memburukkan imej negara di mata dunia. Dan dalam hal ini, satu-satunya
faktor yang tinggal yang boleh menyumbang kepada kesan negatif ini ialah
`kempen reformasi' anjuran Dato Seri Anwar Ibrahim.
Bukanlah
saya berkata bahawa Dato Anwar tidak berhak membela dirinya. Sebagai seorang
lelaki melayu beragama Islam, tuduhan yang dikenakan padanya itu memang
adalah berat. Orang melayu ni kadangkala memang pelik sikit, kalau seseorang
itu dituduh menerima rasuah $5 juta ringgit dia akan kata "itu biasalah!".
Contohnya baru-baru ini pelajar Malaysia dituduh melakukan jenayah komputer
di United Kingdom melibatkan ribuan ringgit, bukannya mereka dikeji malah
dipuji pula sebab kononnya `hebat'. Tapi kalau dah sampai isu sex apatah
lagi liwat memanglah sensitif. Kalau yang dituduh berliwat itu didapati
salah maka habislah dia, silap-silap mak bapaknya pun tak mengaku anak
lagi. Tapi walaubagaimanapun dalam hal ini Dato Anwar bukanlah terus siheret
ke penjara tetapi masih ada ruang untuk perbicaraan dan perbicaraan itu
pula adalah perbicaraan terbuka. Ini bermakna orang awam boleh terlibat
sama mendengar perbicaraan itu dan mendengar bukti-bukti yang ditunjukkan.
Dato Anwar sendiri yakin menyatakan dia ada bukti membuktikan dia tidak
bersalah jadi silalah tunjukkan di hadapan kami semua. Polis juga mengatakan
mereka ada bukti maka janganlah pula dirahsiakan. Kalau betul-betul hendak
pastikan perbicaraan itu adil maka lebih baik kalau dibuat pengecualian
supaya perbicaraan dibuat siaran secara langsung biar satu Malaysia nampak.
Kalau kita rasa bukti-bukti itu palsu maka disitulah kita boleh bersuara.
Itulah baru cara yang betul. Alang-alang kita hendak menuntut keadilan
maka seelok-eloknya didengar dulu hujah kedua-dua pihak, alang-alang Polis
mengatakan mereka ada bukti kukuh biar semua orang nampak, alang-alang
Dato Anwar kata dia hendak membuat `roadshow' ke seluruh negara bukankah
lebih jimat dan senang sekiranya dibuat `liveshow'?
Apa
yang ingin saya tegaskan di sini ialah - MASIH ADA CARA. Tidak perlulah
hendak turun ke jalan menjerit-jerit ucapan REFORMASI. Apa yang hendak
direformasikan? Adakah selama ini negara kita miskin seperti di negara
Amerika Latin atau Afrika? Adakah rakyat di negara ini ditegah beribadat
dan menyebarkan agama seperti di Russia suatu masa dahulu? Adakah Kerajaan
negara ini telah gagal mengawal krisis ekonomi seperti di Indonesia? Adakah
negara kita dilanda perang saudara seperti di negara Balkan?
Langsung
tidak... Pelajar-pelajar IPT seluruh negara masih lagi menerima pinjaman
MARA dan JPA, masih lagi pergi makan ikan-ayam-dan-nasi di kafeteria, masih
lagi pergi ke kuliah naik motor atau kereta, masih lagi duduk di bilik
kuliah berhawa dingin dengan selesa, dan masih lagi tidur selesa samada
di asrama mahupun rumah sewa. Rakyat pula masih belum terpaksa menanam
ubi dan jagung untuk dimakan sebagaimana di Indonesia. Belum lagi terpaksa
menyamun lori makanan untuk berebut beras dan gula, dan belum ada lagi
mana-mana pihak yang melompat dari tingkap bangunan kerana dibuang kerja.
Tetapi
jika para pelajar IPT mula berarak dan menjerit-jerit perkataan reformasi
di jalanan, keyakinan pelabur antarabangsa dan domestik pasti tergugat
kalaupun tidak hancur terus. Berpuluh wartawan asing akan turun ke Malaysia
membuat liputan. Seperti biasa, mereka akan menepuk-nepuk bahu kita mengatakan
kita `hero' atau `pejuang hak asasi manusia' dan menggalakkan kita supaya
membuat lebih banyak kacau. Kemudian mereka akan mengambil gambar kita
yang penuh bergaya itu dan kemudian balik untuk `menempelkan' gambar-gambar
itu di seluruh dunia. Maka habislah kita, habislah negara kita dan habislah
bangsa kita. Gambar kita yang penuh warna warni itu sudah cukup untuk melakukan
kerosakan yang sama (atau lebih) teruk dari kerosakan yang dilakukan oleh
para spekulator sebelum ini. Lengkaplah sudah kebodohan kita, dan agaknya
10 tahun dari sekarang bolehlah kita menunjuk keratan akhbar itu kepada
anak-anak kita dan berkata "lihatlah nak, itulah ayah dan kawan- kawan
ayah sedang merosakkan negara sendiri..."
Itukah
yang kita mahu? Itukah matlamat sebenar pergerakan pelajar? Jika pelajar
beranggapan bahawa mereka berhak menunjukkan keunggulan akademik mereka
dengan merosakkan negara sendiri, maka malulah saya dipanggil mahasiswa.
Lebih rela saya berhenti belajar dan menjadi samseng atau pengedar dadah,
sekurang-kurangnya penjenayah-penjenayah ini pun tidaklah melakukan kerosakan
sedemikian besar!
Ingin
saya menyeru kepada semua pelajar IPT di sini supaya bersabar dan berfikiran
secara matang. Janganlah terlalu agresif atau terlalu fanatik. Jika terdapat
pihak yang sedang `berperang' janganlah kita pula menjadi `senapang'nya.
Jika ada ahli politik yang sedang bermain di padang janganlah kita pula
menjadi `bola'nya. Tanggungjawab sebenar kita adalah dan hanyalah memelihara
negara.
Pelajar
IPT Tempatan
Bangi,
Selangor