Kerajaan tidak pernah mengabaikan pembangunan kawasan luar bandar seperti
didakwa parti pembangkang yang hanya mahu menanam perasaan tidak puas hati
di kalangan penduduk
kampung, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang membuat dakwaan tidak berasas
itu semata-mata
kerana mahu menambat hati rakyat dan menanam perasaan benci terhadap kerajaan.
"Pembangkang mendakwa kerajaan lupa pada luar bandar kerana lebih menumpukan
projek besar di
bandar. Ini tak betul... pembangkang hanya mahu menambat hati rakyat kampung
supaya benci dan tak
puas hati pada kerajaan.
"Sebenarnya, kerajaan tak pernah lupa pada luar bandar, sebaliknya masih
meneruskan projek dari segi
pembangunan pendidikan, ekonomi, pertanian, belia dan kebajikan," katanya.
Beliau turut mengingatkan pembangkang supaya tidak terlalu ghairah mencari
sokongan sehingga
menyalahgunakan demokrasi untuk menyebar maklumat tidak betul supaya rakyat
membenci kerajaan.
Abdullah berkata demikian pada majlis pecah tanah dan peletakan batu asas
Maktab Rendah Sains Mara
(MRSM) Parit Sulong, di Kampung Separap, kira-kira 15 kilometer, dari sini
petang ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi Mara merangkap
Ahli Parlimen Parit
Sulong, Ruhanie Ahmad serta Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
MRSM berkenaan dibina di kawasan seluas 20 hektar dengan kos RM46 juta,
dijangka beroperasi
sepenuhnya dan membuat pengambilan pertama pelajar pada pertengahan tahun
2001.
Sementara itu, di KUCHING, Abdullah berpuas hati dengan kerjasama yang
terjalin antara pemimpin
Islam dan bukan Islam dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, kerajaan BN mengamalkan perkongsian kuasa untuk semua kaum,
tanpa mengira
kepercayaan dan agama.
"Semua kita (dalam BN) bersatu hati, semuanya sepakat memajukan negara
dan rakyat yang terdiri
daripada pelbagai kaum," katanya selepas merasmikan Kongres Pembangunan
Masyarakat Islam
Sarawak, hari ini.
Abdullah berkata, BN sememangnya mengutamakan pembangunan semua kaum, kerana
ia tidak mahu
melihat mana-mana golongan terpencil atau dipencilkan.
Beliau berkata, walaupun ada usaha untuk membangunkan umat Islam, tetapi
ia tidak bermakna ia
merugikan rakyat bukan beragama Islam.
"Semua kaum di Malaysia, diberikan peluang mengecapi kemajuan. Tidak ada
diskriminasi di negara kita
ini.
"Sebenarnya BN membuktikan apa yang boleh dianggap satu perkongsian bijak
antara kaum... satu
perkongsian untuk hidup bahagia dan memberi kesempatan supaya terus bekerjasama
dalam kerajaan
demi kejayaan negara serta rakyat," katanya.
Keadaan sebegini, kata Abdullah, adalah sesuatu yang rakyat Malaysia patut
berasa gembira dan berpuas
hati, kerana kewujudan sebuah kerajaan yang melambangkan penyertaan semua
pihak.
Menjawab soalan lain, beliau berkata, pembangkang akan sentiasa mencari
kesilapan kerajaan dan tidak
ada apapun yang dilakukan kerajaan mereka anggap betul.
"Lepas satu perkara, satu lagi perkara timbul. Lepas selesai satu perkara...
akan timbul perkara lain yang
tidak betul.
"Itulah cara pembangkang, terutama dalam suasana kita menghadapi pilihan
raya, seperti sekarang,"
katanya sambil menambah, pembangkang mahu menggunakan Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai isu
mereka kerana ia adalah isu paling popular.
Beliau berkata, pembangkang tahu apa sahaja yang cerita berkaitan Anwar
terutama yang berbentuk
kononnya beliau dianiaya, maka ramailah orang akan membenci kerajaan.
Abdullah berkata, demokrasi di negara ini mestilah sihat, yang mana semua
orang berpeluang berkempen,
untuk meraih keyakinan pengundi bagi menghadapi pilihan raya.
"Ini adalah cara Malaysia. Cara inilah yang menjadikan Malaysia negara
yang berjaya dan rakyatnya
hidup aman dan selamat," katanya.
Selain itu, Abdullah menekankan pentingnya kerjasama sesama umat Islam
dipertingkat dan
diperhebatkan keberkesanannya. Sebarang perbalahan di kalangan umat Islam
akan mengurangkan
keupayaan masyarakat Islam mencapai kejayaan.
"Kita mesti memikirkan hal kemajuan lebih besar yang akan diperolehi pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata, umat Islam harus berusaha menukar imej mereka yang sering
dikaitkan dengan keganasan,
perbalahan sesama sendiri, kelemahan dan beberapa perkara buruk lain.
Pemimpin Islam pula, kata Abdullah, perlu menunjukkan imej kepimpinan yang
disenangi oleh bukan
Islam dan dikasihi umat Islam serta boleh berkawan dengan sesiapa pun.
Pada sidang media selepas itu, Abdullah mahu semua pihak berkuasa agama
negeri mematuhi arahan
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, supaya mereka menjalankan intipan
dan mengawasi
perkembangan ajaran sesat di negeri masing-masing.
Kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, sememangnya amat bimbang terhadap
gejala penyebaran
ajaran sesat kerana ini akan menyesat dan merugikan umat Islam.
"Inilah yang kita tidak mahu. Di samping itu, jika berlaku ajaran sesat,
mungkin akan timbul perbalahan
sesama kita.
"Ini kerana jika rakyat tidak berwaspada, mereka akan terikut dengan ajaran
sesat itu. Dalam situasi ini,
akan berlakulah keadaan dalam masyarakat Islam yang kita tidak ingini,"
katanya.