Polis cari 37 lagi perusuh

Polis hari ini mengedarkan gambar 37 orang yang dipercayai terbabit dalam perhimpunan haram dan rusuhan di Masjid Negara, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Mat Zain Ibrahim berkata mereka dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang mengenal pasti dan mempunyai maklumat mengenai mereka yang terbabit supaya menghubungi pegawai bertugas di IPK KL melalui talian 03-2020199.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada Cawangan Jenayah Utama di talian 03-2496918 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi melalui telefon 03-2302222 sambungan 252 atau 03-2303494.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, kira-kira 10,000 orang menyertai perhimpunan haram di Masjid Negara sebelum sebahagiannya berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan berhubung isu keracunan arsenik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian penyokong reformasi itu juga dilihat bersenjatakan kayu panjang, batu dan pisau.

Dalam rusuhan itu, tiga anggota polis cedera, manakala beberapa peralatan termasuk perisai Polis Simpanan Persekutuan (FRU) rosak.

Sebelum ini, polis menahan tujuh orang dipercayai menjadi dalang dalam perhimpunan haram dan rusuhan itu.

Mereka ialah Ketua Keadilan Gombak, Mohamed Azmin Ali; bekas aktivis pelajar, Hishamuddin Rais; Ahli Jawatankuasa Pusat Pas, Dr Hatta Ramli; Exco Suara Rakyat Malaysia, R Sivarasa, Naib Presiden Keadilan, Chang Tian Chua; Ketua Pemuda Keadilan, Mohamed Ezam Mohd Noor dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr Badrul Amin Baharon.

Rabu lalu, polis turut meminta lima lagi yang dipercayai menjadi dalang dalam rusuhan itu supaya menyerah diri. Mereka ialah Ketua Penerangan Keadilan, Ruslan Kasim; Naib Ketua Pemuda Keadilan, Mustaffa Kamil Ayub; Ketua Pemuda Keadilan Johor, Lokman Nor Adam, Penolong Setiausaha Pemuda Keadilan, N Gobalakrisnan dan Ketua Pemuda Keadilan Perak, Hanafiah Man.
 

Gambar-gambar perusuh

Kumpulan Satu
Kumpulan Dua
Kumpulan Tiga
Kumpulan Empat
Kumpulan Lima
Kumpulan Enam