Rusuhan: Ramai belum serah diri

        Polis akan menyiarkan semula gambar sebahagian daripada 37 orang yang
        dipercayai terbabit dalam perhimpunan haram dan rusuhan di Masjid Negara pada 19 September lalu,
        berikutan ramai lagi belum menyerah diri.

        Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Mat Zain Ibrahim, berkata
        pihaknya menerima banyak maklumat daripada orang ramai mengenai gambar yang disiarkan itu, tetapi
        separuh daripadanya belum dapat dikesan bagi membantu siasatan.

        "Ada yang sudah menyerah diri tetapi separuh daripadanya belum dapat dikesan. Masih ada juga yang
        belum dikenal pasti identitinya dan polis akan meneruskan siasatan," katanya.

        Sehubungan itu, Mat Zain sekali lagi menyeru mereka yang terbabit supaya menyerah diri dan orang ramai
        yang mempunyai maklumat pula diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur
        (IPKKL) menerusi talian 03-2020199 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi
        (03-2302222 sambungan 252 atau 03-2303494).

        "Kalau masih tak siap siasatan dan semua mereka belum menghadirkan diri ke IPKKL, kita akan
        keluarkan sekali lagi gambar mereka sehingga semua mereka berjaya dikesan," katanya di sini, hari ini.

        Dalam kejadian pada jam 3.30 petang 19 September lalu, kira-kira 10,000 menyertai perhimpunan haram
        di Masjid Negara sebelum sebahagiannya berarak ke Istana Negara bagi menyerah memorandum
        bantahan berhubung isu keracunan arsenik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

        Kira-kira seminggu selepas kejadian itu, polis mengedarkan gambar 37 orang yang dipercayai dapat
        membantu siasatan kes berkenaan.

        Beberapa pemimpin pembangkang juga sudah didakwa di Mahkamah Majistret kerana menyertai
        perhimpunan berkenaan.

        Mereka dituduh mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan
        tindakan mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama.Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga
        setahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.