Razaleigh bersumpah bukan kerana Pas

        Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah
        menegaskan, kenyataan bersumpahnya di hadapan ribuan rakyat Kelantan sempena Hari Kebangsaan
        Selasa lalu, semata-mata untuk menegakkan kebenaran.

        Katanya, beliau berbuat demikian setelah mendapat nasihat daripada orang berpengetahuan agama di
        Kelantan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik, sama ada Pas atau Umno.

        "Saya bersumpah bukan kerana dia (Pas), tetapi untuk menegakkan kebenaran. Saya bersumpah kerana
        Allah dan tidak mengharapkan diadakan perhimpunan ramai.

        "Tinggal lagi, saya memikirkan itulah sebaik-baik tempat dan masa saya bersumpah bagi mendedahkan
        pembohongan Pas. Saya lakukan itu dengan penuh keinsafan dan kesedaran. Tak ada tujuan lain,"
        katanya.

        Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata demikian selepas berucap di Kursus Penceramah
        Badan Perhubungan Umno Kelantan di Dewan Universiti Teknologi Mara (Unitekma), Bukit Ilmu, di sini
        hari ini.

        Tengku Razaleigh kesal kerana ada pihak tertentu bukan saja mempertikaikan keikhlasan beliau tetapi
        menyifatkan tindakan itu boleh meraih simpati pengundi untuk menyokong perjuangan politik mereka.

        "Ada orang kata, apabila saya bersumpah maka ia telah meraih simpati kepada Pas. Jadi, dia untunglah
        nampaknya. Saya tak kira untung atau rugi. Ini soal nak menegakkan kebenaran. Untung rugi tu saya
        serah kepada dia buat perhitungan," katanya.

        Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menyifatkan sumpah Tengku Razaleigh
        itu tidak menjejaskan pengaruh Pas, sebaliknya menambahkan lagi simpati rakyat terhadap perjuangan
        parti itu.

        Tengku Razaleigh berkata, kenyataan pemimpin kanan Pas mengenai cara bersumpah bercanggah kerana
        masing-masing mendakwa tidak mengikut ajaran Islam.

        "Ada yang kata, kalau nak bersumpah tak boleh pegang dan bersaksikan al-Quran. Ada setengah pula
        kata kena junjung al-Quran, barulah kena, itulah cara Islam.

        "Ini bermakna Pas ada dua mazhab, satu mazhab di Kedah, satu mazhab di Kelantan. Saya tak nak
        komen banyak. Patut dia oranglah cari jalan penyelesaian sesama dia orang.

        "Tetapi suka saya tegaskan di sini, saya sudah minta nasihat daripada orang alim di Kelantan yang tidak
        pro-Pas, tidak pro-Umno dan tidak pro sesiapa, tetapi saya rasa pro-Allah.

        "Dia memberi saya nasihat cara-cara bagaimana nak melafazkan sumpah dengan nama Allah ini. Dan
        itulah sebaik yang saya lakukan. Saya tak kira apa orang lain kata, kerana saya berpandu kepada nasihat
        yang baik. Saya kira apa yang saya lakukan itu untuk kebaikan kita rakyat di Kelantan," katanya.

        Ditanya sama ada beliau akan mencabar Pas turut berbuat demikian, Tengku Razaleigh berkata ia sudah
        terlewat kerana cabaran itu dibuatnya sejak dulu lagi.

        "Dia (Pas) bukan saja menolak, tetapi berdolak dalih. Ini bererti dia tidak ikhlas... tak sanggup berdepan
        dengan kebenaran," katanya.

        Beliau juga menafikan pernah melafazkan sumpah ketika mengetuai Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan
        bekerjasama dengan Pas dalam parti gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

        "Tak ada... inilah kali pertama saya bersumpah. Saya tak pernah bersumpah sebelum ini. Kalau ada yang
        kata begitu, itu orang nyanyok barangkali," katanya.