Risalah Ancam Keselamatan

        Kerajaan Perlis membuat laporan polis berhubung pengedaran risalah yang dianggap
        mengancam keselamatan ahli Umno, keluarga serta harta benda mereka.

        Tiga exco kerajaan negeri, Ibrahim Salleh, Ishak Arshad dan Arof Saad, membuat laporan itu di Balai
        Polis Kangar, di sini hari ini, meminta pihak berkuasa menyiasat serta memberi perlindungan kepada ahli
        Umno, terutama wakil rakyatnya.

        Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mesyuarat Exco hari ini mengambil keputusan
        supaya kerajaan negeri membuat laporan polis berhubung ancaman itu kerana ia boleh membawa kesan
        buruk kepada pemimpin dan ahli Umno.

        "Kita tidak pasti sama ada ancaman itu dibuat oleh pemimpin atau pengikut parti pembangkang tapi
        perbuatan terbabit sangat serius, lebih-lebih lagi jika dipatuhi oleh mereka yang naik angin.

        "Saya berharap pemimpin parti pembangkang menarik balik ancaman itu kerana ia sangat berbahaya,"
        katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini.

        Jumaat lalu, Pas mengedar risalah mengandungi qunut nazilah memohon Allah menghancurkan penentang
        parti itu dan menjemput orang ramai mengadakan sembahyang hajat kubra di Jejawi Dalam, Arau, selepas
        solat Maghrib.

        Sebahagian daripada risalah mengenai sembahyang hajat kubra itu dikesan mengandungi tulisan tambahan,
        yang mengajak ahli Pas memerangi ahli Umno, termasuk menghalalkan darah ahli keluarga serta harta
        benda mereka.

        Shahidan berkata, beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri akan meminta pihak
        keselamatan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab membuat dan mengedar
        risalah itu.

        "Saya berharap perkara ini ditangani segera kerana ia menimbulkan ketakutan kepada rakyat dan tidak
        mustahil pengikut parti pembangkang yang fanatik akan melakukan sesuatu sepertimana diseru dalam
        risalah itu," katanya.

        Kelmarin, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis, Hashim Suboh, membuat laporan mengenai
        pengedaran salinan perutusan palsu Hari Kebangsaan yang mengandungi tandatangan Shahidan.

        Sementara itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Hashim Jasin, ketika diminta mengulas perkara itu berkata,
        pihaknya tidak pernah menyuruh penyokong parti itu supaya membunuh dan mencuri.

        "Memang kita mengeluarkan risalah mengenai sembahyang hajat dan qunut nazilah tapi tulisan di sebelah
        (ditaip berasingan) itu dibuat oleh orang Umno. Itu taktik kotor mereka," katanya.