Ujian arsenik: Siapa Subramaniam

        Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, hari ini menimbulkan
        persoalan berhubung siapa sebenarnya Subramaniam, iaitu nama yang digunakan dalam ujian air kencing
        Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengandungi racun arsenik berlebihan.

        Sehubungan itu, Dr Ling yang juga Presiden MCA meminta pasukan yang ditubuhkan bagi menyiasat
        dakwaan itu, menghubungi hospital dan makmal perubatan di seluruh negara untuk menyemak
        kemungkinan pesakit bernama Subramaniam, 59, pernah dirawat kerana keracunan arsenik.

        "Lebih baik kita ketahui faktanya. Adakah seseorang bernama Subramaniam mengalami keracunan
        arsenik dan contoh air kencing siapa yang diambil?

        "Mereka (Anwar dan peguamnya) mendakwa air kencing dihantar menggunakan nama itu (Subramaniam)
        dan kita mesti semak kerana mungkin orang itu pernah dirawat," katanya.

        Pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis angkat sumpah ahli Jawatankuasa Perhubungan MCA
        Wilayah Persekutuan di sini, hari ini, Dr Ling juga meminta pasukan itu menyoal Anwar berhubung
        kelewatannya melaporkan kes berkenaan.

        Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad turut bertanya kenapa Anwar mengambil
        masa terlalu lama untuk mengemukakan perkara itu di mahkamah.

        "Jika seseorang itu berasa dirinya diracun, tentulah dia akan tergesa-gesa ke hospital untuk mendapatkan
        rawatan, bukannya selepas 14 hari menerima laporan perubatan," kata Dr Mahathir.

        Isu keracunan arsenik itu ditimbulkan peguam Anwar, Karpal Singh, di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat
        lalu berdasarkan keputusan ujian contoh air kencing yang dihantar ke Makmal Patologi Gribbles di
        Melbourne dan diterima semula pada 26 Ogos lalu. Contoh air kencing itu menggunakan nama
        Subramaniam, 59.

        Dr Ling juga berharap Karpal Singh mendedahkan nama orang berkedudukan tinggi yang didakwa
        bertanggungjawab meracun Anwar.

        "Jika beliau tidak mempunyai bukti, Karpal tidak patut membuat dakwaan seperti itu kerana ia tuduhan
        serius," katanya.

        Beliau juga menasihatkan rakyat supaya meneliti terlebih dulu dakwaan itu dan tidak terburu-buru
        membuat kesimpulan.

        "Dakwaan Azizah (Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail) bahawa orang berkedudukan tinggi terbabit dan
        sepatutnya dituduh melakukan cubaan membunuh (Anwar) adalah serius.

        "(Tetapi) Saya yakin tiada anggota Kabinet yang memikirkan untuk meracuni beliau (Anwar)," katanya

        Jumaat lalu, Azizah menuduh kerajaan cuba membunuh suaminya. Berikutan itu, Timbalan Perdana
        Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengarahkan pasukan penyiasat ditubuhkan bagi
        menyiasat dakwaan itu.

        Di BUTTERWORTH, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, menyifatkan dakwaan
        Anwar sebagai satu kejadian luar biasa.

        Katanya, jangka masa dua minggu diambil pihak terbabit sebelum mengemukakan laporan kejadian itu
        juga menimbulkan persoalan.

        "Kita tidak tahu apa yang benar-benar berlaku dan jika terbukti berlaku, ia adalah kejadian luar biasa,"
        katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan air bertakung di persimpangan bertingkat, Seberang
        Jaya.