STRATEGI MAKAN TUAN

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil jalan yang
melibatkan rakyat umum dalam meraih simpati atas musibah yang menimpanya sambil
melaungkan beliau menjadi mangsa 'konspirasi politik peringkat tertinggi' untuk
menumbangkannya daripada kecemerlangan kerjaya politiknya.

Pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan
yang diikuti penyingkiran daripada semua jawatan politik dan keahlian UMNO
setahun lalu memberi sedikit ruang simpati rakyat terhadapnya melalui
dakwaan-dakwaannya yang membakar semangat. Selepas berada dalam tahanan
polis, Anwar dihadapkan ke mahkamah pengadilan dengan mata yang lebam,
membawa simpati rakyat menyebelahinya.

Simpati inilah yang tidak mahu dipadamkan dan dengan itu strategi politik yang teratur
dilaksanakan.

Tetapi pimpinan kerajaan memperlihatkan ketelusannya dengan membentuk
Suruhanjaya Diraja yang akhirnya mempertemukan realiti sebenar tentang mata lebam
Anwar. Jika kerajaan mahu menyembunyikan rentetan peristiwa yang penuh
emosional ini, Anwar boleh dihadapkan ke mahkamah kemudian setelah matanya
tidak lebam lagi.

Sikap terbuka kerajaan ini memperlihatkan ketelusan dan keadilan mahkamah masih
lagi kukuh.

Anwar mengharapkan simpati berterusan dari rakyat dan supaya simpati itu tidak
padam, perkara-perkara seperti mata lebam perlu diketengahkan untuk menagih
simpati dan memburukkan kerajaan. Inilah yang cuba dilakukan sekali lagi dan
menjadi strategi Anwar dalam usahanya menentang arus dan gelombang-walaupun
sebelumnya beliau turut sama menyusur - arus dan gelombang - dengan mengadakan
isu yang boleh membakar semangat rakyat.

Di awal-awal Anwar ditahan, sudah hebuh beberapa andaian yang dibuat, seperti
kemungkinan suntikan kuman HIV yang bertujuan meningkatkan momentum
penyokong-penyokong berdemonstrasi di jalan raya untuk menggugat kerajaan pilihan
rakyat.

Penyokong-penyokong Anwar melihat pimpinan sebuah negara jiran diruntuhkan dan
dengan itu pimpinan Dr. Mahathir juga wajar ditumbangkan. Tetapi segala strategi
yang diatur tidak dapat menggugat kerajaan seperti berlaku di Indonesia. Sepertikan
dirancang setelah kes salah guna kuasa berakhir dengan dijatuhkan hukuman penjara
enam tahun dan sedang kes liwat tiba kepenghujungnya,sekali lagi perbicaraan Anwar
dikejutkan dengan kenyataan peguam bela Anwar bahawa Anwar diracun dalam
percubaan membunuhnya oleh mereka yang berkedudukan tinggi.

Kali ini permainan politik tidak menyebelahinya, tidak seperti mata lebam kerana
selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama
lebih tiga minggu, akhirnya keputusan laporan klinikal dan lain-lain keputusan
berdasarkan contoh rambut, kuku dan tidak setakat air kencing di dalam dan luar
negara mendapati tiada keracunan arsenik, apalagi Anwar diracun oleh sesaorang.

Kebenaran laporan jangan ada siapa cuba pertikaikan kerana ia dilakukan secara
terperinci, menyeluruh, mengambil masa secukupnya dan dilakukan secara profesional
di dalam dan luar negara. Strategi meraih simpati 'Anwar diracun' hanya berupaya
mencetuskan satu demonstrasi sedangkan akhirnya hakikat dan fakta tidak
menyebelahi Anwar.Kini kelihatan strategi memakan tuan sedangkan kerajaan keluar
lebih kuat dan kukuh bahkan kewibawaan telah dipulihkan dengan isu yang
menyelubungi kononnya Anwar diracun.