Jangan jadikan sultan bahan kempen 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,
mengingatkan mana-mana pihak di negara ini agar tidak mengheret sultan dan raja
sebagai bahan kempen dalam pilihan raya kerana kedudukan sultan tidak boleh
diungkit oleh mana-mana pihak.

Katanya, kalau mahu memenangi pilihan raya ada banyak isu lain yang boleh
diperkatakan dan bukannya membabitkan sultan bagi mendapatkan sokongan.

''Kedudukan raja tidak boleh diungkit dan dipersoalkan dan saya tidak tahu apa
sebab mereka perlu membangkitkan hal-hal yang berkaitan dengan raja untuk
menagih sokongan,'' katanya kepada pemberita selepas upacara meletakkan batu
asas Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli dekat sini petang ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Wan Ismail
Wan Jusuh, yang memetik Wan Ismail sebagai berkata, rakyat Kelantan tidak lagi
mempedulikan keluarga diraja.

Ketika berceramah di Arau baru-baru ini Wan Ismail mendakwa, jika Sultan Kelantan
bertanding menentang Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada pilihan raya nanti,
baginda pun akan kalah, inikan pula Tengku Razaleigh Hamzah bapa saudara Sultan.

Ditanya apakah tindakan yang boleh dikenakan terhadap Wan Ismail, Abdullah yang
juga Menteri Dalam Negeri berkata, sekiranya apa yang mereka katakan itu berupa
hasutan mereka boleh didakwa dan ini bergantung jika ada individu yang membuat
laporan polis.

Katanya, ini kerana ada peruntukan raja dan sultan tidak boleh dipersoalkan oleh
mana-mana pihak dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta
Hasutan.

''Kementerian Dalam Negeri tidak melakukan sebarang siasatan setakat ini sebab
laporan yang dibuat oleh rakyat yang menyalahi undang-undang berada di bawah
kuasa polis.

''Apabila polis menerima aduan atau laporan daripada rakyat berhubung apa-apa yang
menyalahi atau melakukan kesalahan maka polislah yang membuat siasatan,'' kata
Abdullah.

Ditanya mengenai penubuhan Pas Baru, Abdullah menegaskan ia sekali gus
membuktikan rakyat sudah tidak lagi menaruh kepercayaan kepada barisan
kepimpinan Pas sekarang.

Katanya, kelahiran Pas Baru seharusnya dijadikan iktibar oleh rakyat khususnya di
Kelantan betapa rakyat sekarang sudah menolak Pas dan mahu diganti oleh kerajaan
Barisan Nasional.

''Jadi kalau mereka dah kecewa dengan Pas sekarang apa perlu lagi menyokong Pas
dan ini harus dijadikan iktibar oleh semua,'' katanya.

Abdullah juga mengajak Kelantan memberi sokongan kepada Barisan Nasional dalam
pilihan raya umum akan datang bagi memastikan segala projek pembangunan dapat
diteruskan.

Ditanya apakah beliau yakin BN akan menang Abdullah berkata, berdasarkan
sambutan yang diberi oleh rakyat setakat ini peluang BN semakin cerah berbanding
masa lalu.

Bagaimanapun katanya, untuk mencapai kejayaan rakyat mesti menyokong BN di
samping ahli-ahli tidak menimbulkan sebarang masalah kepada parti.

''Lupakan masalah lalu dan pastikan BN mesti menang dan menubuhkan sebuah
kerajaan baru selepas pilihan raya umum nanti,'' katanya.