Pelbagai pihak daripada pensyarah pengajian
Islam dan
peguam kes syarie hari ini berpendapat sumpah
yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh
Hamzah untuk membuktikan pembohongan Pas
di Kota Bharu, kelmarin, adalah sah
dan menepati syarat Islam.
Peguam syarie, Abdul Halim Lokman ketika memberi
pandangannya berhubung isu
itu berkata, masyarakat Islam tidak perlu
menjunjung al-Quran apabila bersumpah
sebaliknya hanya memadai dengan melafazkan
nama Allah bagi mengukuhkan
keterangan berhubung sesuatu perkara.
Katanya, apa yang penting dalam melakukan
sumpah ialah setiap orang Islam
hendaklah memulakan lafaz sumpah itu dengan
nama Allah dan bukan dengan
nama-nama lain.
''Adalah memadai seseorang masyarakat Islam
itu melafazkan sumpah mereka dengan
menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi dan
sumpah mereka boleh diterima
mengikut ajaran Islam,'' tegasnya.
Datuk Fadzil Noor dalam laporan akhbar hari
ini mendakwa lafaz sumpah yang
dilakukan oleh Tengku Razaleigh di hadapan
kira-kira 40,000 orang di pekarangan
bangunan UMNO negeri kelmarin tidak mengikut
cara Islam kerana tidak menjunjung
al-Quran.
Malah, Fadzil juga mendakwa Tengku Razaleigh
cuba membohongi rakyat Kelantan
dengan bersumpah kerana beliau hanya menyebut
secara umum perkara-perkara yang
menyentuh hubungan kerjasama antara parti
Melayu Semangat 46 (S46) yang pernah
dipimpinnya dengan Pas.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat pula mengeluarkan pendapat
yang berbeza iaitu bersumpah dengan menjunjung
al-Quran adalah tiruan Kristian
(junjung Injil).
Seorang lagi peguam syarie, Siti Harlina Mohd.
Shahran berkata, mengikut
peraturan dalam ajaran Islam, memang tidak
perlu menjunjung al-Quran semasa
melafazkan sumpah.
Katanya, sepanjang pengalamannya selama tujuh
tahun sebagai seorang peguam
syarie semasa mengendalikan kes syariah di
Mahkamah Syariah, seseorang saksi yang
melafazkan 'sumpah syarie' hanya perlu menyebut
Wallahi, Wabillahi,
Watallahitanpa perlu menjunjung Al-Quran.
Menurutnya, saksi melafazkan sumpah syarie
dalam kes-kes di mana saksi tersebut
tidak mempunyai saksi lain bagi menguatkan
keterangannya di mahkamah.
Bekas Naib Presiden Pas, Nakhaie Ahmad turut
bersependapat bahawa sumpah
yang dilafazkan oleh Tengku Razaleigh adalah
sah dan seperti yang disyaratkan oleh
Islam.
''Sumpah Tengku Razaleigh itu betullah. Selain
bersumpah dengan nama Allah, beliau
juga menyertakannya dengan perkataan-perkataan
sumpah seperti Wallahi,
Wabillahi dan Watallahi. Ia jadi sumpahlah,''
katanya yang kini Ahli Biro Agama
UMNO Pusat.
Ditanya pandangan Islam mengenai keperluan
bersumpah, beliau menyifatkan
perbuatan tersebut tidak boleh dipermain-mainkan
kerana apabila umat Islam
bersumpah dia perlu sedia membayar denda
atau kifarah untuk membebaskan sumpah
jika gagal menyempurnakan sumpah.
Di Jelebu, Menteri Besar Negeri Sembilan,
Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad
menyifatkan dakwaan presiden Pas itu sebagai
taktik kotor pemimpin itu untuk
menutup malu.
Seorang pensyarah Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
pula berkata, sumpah seorang individu muslim
menepati cara Islam dengan sekadar
menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi,.
Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata:
''Kalau junjung al-Quran sekalipun
tanpa menyebut tiga lafaz tadi, sumpah itu
tidak akan menjadi (diterima Islam),'' kata
beliau yang mengkhusus dalam bidang pengajian
al-Quran dan al-Sunah ketika
dihubungi di Bangi, hari ini.